Pages

Sunday, October 31, 2010

SLIDE SHOW SUKAN REKREASI 2007 : PENDIDIKAN LUAR


Read more...

PISMP 1 - TITAS (USTAZAH MAJDAH BT MOHAMAD)

Pengenalan

Terdapat banyak perkataan yang boleh mendefinisikan tamadun antaranya menurut kamus dewan, tamadun bererti kebudayaan,kemajuan dan peradaban. Perkataan ini berasal dari perkataan Bahasa Arab-tamaddun yang berakar umbi dari perkataan maddana. Maddana ertinya membangunkan atau memajukan sesebuah Bandar  atau berpunca dari perkataan madana yang bermaksud kehalusan budi pekerti dan akhlak mulia. Terdapat juga istilah lain yang digunakan iaitu ‘umran seperti yang digunakan oleh Ibnu Khaldun. Turut digunakan  juga ialah perkataan hadharah, Madaniyyah, Thaqafah dan menurut Barat pula civilization.
Jika diambil secara dasarnya, tamadun berkaitan dengan  kebendaan seperti pembangunan bandar atau kerohanian seperti pembangunan akhlak. Oleh itu dalam pengertian mudah, tamadun merupakan kemajuan jasmani atau fizikal dan rohani dalam bentuk yang abstrak. Marilah kita melihat pengertian tamadun dari perspektif Islam iaitu segala kemajuan kebendaan dan kerohanian  yang tidak bercanggah dengan prinsip Islam aakan tetapi kemajuan ciptaan orang bukan Islam boleh diikuti dan diambil oleh umat Islam sekiranya tidak bercanggah dengan Islam. Jika sekiranya bercanggah dengan Islam, pembangunan ciptaan umat Islam sendiripun  tidak boleh diterima
      Dalam tamadun Islam dan tamadun Asia ini, perkara inilah yang mahu dikopek supaya pemahaman terhadap kehendak Islam dalam cara peradaban dan kehidupan kita dapat diuji dan memberi kita peringatan serta pengetahuan tentang dari mana asalnya Islam ke Alam Melayu itu dan pengaruh beserta kesan yang timbul kepada kita, generasi hari ini. Walaupun banyak teori yang dikemukakan oleh para sejarawan tentang kemasukan Islam itu, ada yang bercanggah pendapat tetapi perlu kita ingat akan asal kita iaitu dari ciptaan Allah yang maha Esa. Tetapi daripada kesemua teori-teori yang dikemukakan iaitu teori dari Tanah Arab, dari India dan akhir sekali China semuanya bermula dengan hubungan diantara dua negara samada hubungan diplomatic mahupun hubungan perdagangan. Dari sini sahaja sudah dapat dilihat tentang kemurnian Islam Dallam menyatukan dua buah empayar berbeza, bangsa dan adat menjadi satu dan menuju kepada konsep tuhan yang hakiki, Allah SWT. Dan kesan kedatangan Islam ini telah meninggalkan pengaruh yang dapat dilihat hingga ke hari ini.
      Maka, melalui tugasan ini diharapkan kita dapat mengetahui elemen-elemen penting yang menjadi asas kepada sesuatu teori kedatangan Islam ke Alam Melayu itu dan pengaruh-pengaruhnya dalam kehidupan masyarakat Malaysia kita pada hari ini. Justeru, saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak kerana dapat menyiapkan tugasan ini tanpa sebarang masalah. 

TEORI KEMASUKAN ISLAM

Teori kedatangan islam dari Tanah Arab
Secara umumnya, terdapat tiga teori utama yang menceritakan tentang kedatangan islam ke Kepulauan Melayu, Alam Melayu iaitu teori kedatangan islam dari Tanah Arab, China dan Negara India. Teori-teori ini diketengahkan oleh banyak sejarawan seperti Pijnappel, Snouck Hugronje, B. Harisson, Thomas Arnold, Morquette, R.O Winstedt, S.Q. Fatimi, Syed Muhammad Nuqaib al-Attas, HAMKA dan sebagainya. Antara teori yang diguna pakai ialah teori kedatangan Islam dari Tanah Arab. Teori ini diguna pakai kerana terdapat beberapa bukti kuat yang menunjukkan bahawasanya Islam itu dibawa secara langsung dari Tanah Arab oleh pedagang-pedagang Arab. Teori ini juga dipersetujui oleh John Crawford, Niemann dan De Hollander. Sebagai contoh, Maharaja Derbar Raja II iaitu raja Kedah telah diislamkan pada tahun 531 H/ 1136 M oleh Sheikh Abdullah Bin Sheikh Ahmad al-Qaumiri al-Yamani, seorang ulama berbangsa Arab yang datang dari Yaman.(Abdullah Ishak, 1990:60).
 Selain itu, menurut satu catatan yang ditemui, terdapat sebuah perkampungan Islam bernama ‘Tashih’ telah ditemui di Sumatera Utara pada tahun 650 Masihi bersamaan 30 Hijrah. Perkampungan ini dihuni oleh orang-orang Arab yang datang ke Sumatera pada abad ke-7 Masihi (Abdullah Ishak, 1990:35). Manakala S.M. Naquib al- Attas juga menegaskan bahawa kandungan persuratan Melayu lama menunjukkan istilah dan konsep serta tulisan jawi merujuk atau menunjukkan persamaan ciri sumber Arab dari Timur Tengah. (Hashim Musa,2001:165). Ini dapat disokong oleh kewujudan tulisan Jawi dipercayakan hasil sintesis tulisan Arab (Aramic) dan tulisan non-Aramic. Tulisan non-Aramic yang dimaksudkan adalah “Ga”, “Cha”, “Nya: dan sebagainya. Segelintir Sarjana berpendapat asal tulisan non-Aramic ini dari Parsi (di Asia Tengah; kini dikenali sebagai Republik Islam Iran). Namun, menurut, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan HAMKA, penambahan beberapa huruf non-Aramic ini dilakukan oleh cendekiawan Melayu-Muslim sendiri sesuai dengan sebutan bahasa Melayu-Kuno di Nusantara. Penulis secara peribadi bersependapat dengan al-Attas dan HAMKA. Selaian itu, sebutan dan tatacara bacaan al-Quran di Nusantara lebih hampir dengan sebutan dan tatacara bacaan al-Quran di Timur Tengah (khususnya rantau Arabia); tidak mirip pada bacaan ala penganut Islam di India mahupun China.

Seterusnya, proses islamisasi di Alam Melayu juga berkait rapat dengan hubungan perdagangan di antara Alam Melayu (Malay Archipelago) dengan Tanah Arab, malah sejak sebelum wujudnya Islam dan masih berterusan selepas kelahiran Islam itu sendiri. Hubungan perdagangan ini wujud hasil aktiviti perdagangan oleh pedagang-pedagang Islam yang datang dari Yaman, sebuah pelabuhan perdagangan  ke Asia Tenggara untuk mendapatkan barangan seperti kapur barus, kemenyan dan sebagainya. Menurut seorang penulis blog dalam “Teori Kedatangan Islam ke Alam Melayu : Suatu Analisis” (Zainulfaqar : 2007) dipercayai bahawa kapur merupakan keperluan pada masyarakat Asia Tengah dan sekitar laut Mediterranean. Keperluan inilah yang menjadi asas perhubungan dagangan ini kerana Alam Melayu terkenal dengan rantau pengeluar kapur (juga dikenali kapur barus). Kapur sendiri menjadi sebahagian dari budaya dan bahasa Arab itu sendiri- kāfūrā (كافورا ). Asimilasi suku kata Nusantara dalam perbenderahaan Arab dapat dilihat sendiri dalam al-Quran al-Karim. Firman Allah di dalam al-Quran al-Karim :-
إِنَّ اْلأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسً كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورًا ﴿ سورة الإنسان : 5 ﴾
Sesungguhnya orang-orang yang berbuat baik meminum dari gelas (minuman tersebut) bercampur dengan kapur (nama tumbuh-tumbuhan yang harum baunya)”
Menurut al-Sabuni di dalam karyanya Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, maksud kāfūrā (كافورا ) sebagaimana ayat di atas ini adalah “…kekuatan yang boleh mendinginkan (menahan dari rosak) dan mempunyai bau yang harum…”. Menurut Prof. Dr. HAMKA, kāfūrā (كافورا ) dalam ayat di atas ini merujuk pada kapur barus. Kapur barus ini hanya tumbuh di Nusantara khususnya di Beruas. Pada pandangan penulis tersebut, suku kata kāfūrā (كافورا ) sendiri adalah kalimah ‘ajam (asing) dan tergolong dalam mamnu’ mina as-sorfi (dihalang daripada perubahan baris dan bunyi).
Dia mengatakan bahawa mustahil kapur barus ini dalam pengetahuan dan perbendaharaan kata Arab Quraisy kecuali terlebih dahulu wujud hubungan langsung antara kedua-dua peradaban ini iaitu melalui proses asimilasi kāfūrā (كافورا ) dalam dunia Arab. Dengan erti kata lain, hubungan perdagangan Alam Melayu dan Tanah Arab sudah wujud sebelum kebangkitan Rasulullah s.a.w lagi.
Teori ini diperkuatkan oleh hadith Nabi Muhammad s.a.w yang diriwayatkan Jama’ah daripada Ummu ‘Athiyyah yang bermaksud, “…Rasulullah S.A.W masuk menemui kami ketika meninggalnya puterinya, maka sabdanya: Mandikanlah ia tiga atau limau atau beberapa kalian yang dianggap perlu, lebih banyak lagi, dengan air dan bidara dan terakhir campurlah dengan kapur (kapur barus) atau sedikit dari kapur (kapur barus). Jika sudah selesai, beritahukanlah saya. Setelah selesai, kami memberitahu Nabi, maka diserahkannya kepada kami kain sarungnya, serta sabdanya: lilitkanlah pada badannya…”
Bagi penulis tersebut, sebutan kāfūrā (كافورا ) oleh Rasulullah s.a.w membuktikan bahawa keperluan kāfūrā (كافورا ) tersebut wujud dalam masyarakat Arab sendiri; sekurang-kurangnya dalam tatacara menguruskan jenazah seorang Muslim. Lebih daripada itu, mustahil keperluan kāfūrā (كافورا ) tersebut wujud pada zaman Nabi, jika sekiranya hubungan perdagangan antara Tamadun Arab dan Peradaban Melayu tidak terlebih dahulu wujud secara rasional dan tabi’e (semulajadi).
Kesempatan perdagangan kāfūrā (كافورا ) dan barang-barang lain yang hanya terdapat di AM; dan realiti keperluan masyarakat rantau Arab dan Mediteranean sebagaimana di atas ini turut dimanfaatkan oleh para pedagang Muslim-Arab (dan yang datang daripada rantau Arab) untuk menyebarkan agama Islam sama ada kepada para pedagang Melayu yang pergi ke sana atau dakwah Islamiyyah tersebut berlaku di rantau Nusantara sendiri. Dengan erti kata lain, teori kedatangan Islam adalah dari Arab. (Abdul Rahman Haji Abdullah: 31).
Secara peribadi saya berpendapat bahawa, teori kedatangan islam ke Alam Melayu melalui Tanah Arab ini adalah berpunca daripada hubungan perdagangan yang sedia terjalin antara tamadun Melayu dengan tamadun Arab atas keperluan masing-masing. Malahan, hubungan perdagangan ini telah wujud sejak sebelum Islam itu berkembang dan melalui aktiviti perdagangan inilah, satu lembaran baru dalam sejarah keislaman Alam Melayu tercipta. 





Islam datang dari China dan Champa

            Pada kurun ke 13 M, seorang sarjana iaitu Marco Polo telah berhenti singgah di perlak dalam pelayarannya ke China. Menurut buku catatan beliau, Suma Oriental, rakyat Perlak telah pun mengamalkan cara hidup Islam dan berbudaya sebagai muslim. Marco Polo merasakan pengamalan kepada cara hidup Islam ini adalah amat mustahil akan wujud kecuali jika telah berlakunya penyebaran Islam sebelum waktu tersebut di Pasai khususnya dan Alam Melayu amnya. Pendirian oleh Marco Polo ini turut disokong oleh seorang lagi ahli sejarawan, iaitu P.E. De Josselin De jong. Hujah Josselin juga adalah berdasarkan penemuan batu nisan milik Malik al Salih di wilayah jiran Perlak iaitu Pasai. Pada batu nisan itu, tertera nama sultan Malik al Salih, Sultan Pasai dan pada bati itu juga terdapat tarikh meninggalnya Malik Al Salih iaitu pada 1297 M. Melalui bukti penemuan batu nisan yang simbolik menandakan kubur penganut agama Islam ini, maka Josselin telah menyimpulkan tentunya Islam  telah sampai lebih awal ke Alam Melayu lebih awal dari tarikh tersebut. Penemuan bukti artifak batu nisan ini telah diperkukuhkan lagi oleh catatan sejarah oleh kerajaan China yang mencatatkan tentang hubungan diplomatik yang telah berlangsung pada kurun ke-13 M. Hubungan diplomatik ini terjalin berikutan pengutusan dua diplomat Pasai ke Negara China tersebut dan peristiwa sejarah ini berlaku pada 1282 M. (Dr. Mohd Radzi Haji Othman, et. al., h. 64).
            Lain pula menurut ahli sejarawan Gardener dan Emmanuel yang mengatakan Islam sampai ke China melalui jalan darat dan penyebaran dilakukan oleh pedagang Arab yang datang dari Tanah Arab sejak zaman Khalifah Uthman al  Affan lagi. Proses penghijrahan ke China secara besar-besaran oleh pedagang Arab sejak zaman Abbasiyyah dan Ummayyah telah menyebabkan wujudnya pertapakan Islam di China dan seterusnya hingga berlaku perkembangan. Buktinya, dalam catatan sejarah China, telah wuiud penempatan masyarakat peranakan Arab di Canton sejak kurun ke 8M lagi. Malahan kewujudan masyarakat Arab tersebut bukan hanya di nilai melalui kewujudan penempatan-penempatan kekal tersebut tetapi juga melalui kewujudan Jabatan Kira-Kira yang diselenggarakan oleh pedagang Arab itu sendiri,(Dr. Mohd radzi Hj. Othman, et. al., h. 164). Melalui fakta ini dapat diterangkan hubungan kewujudan pedagang Arab di Canton dengan teori kedatangan Islam bahawa Islam itu datang dari China. Proses islamisasi yang berlaku di Alam Melayu ini telah disebarkan sendiri oleh pedagang Arab yang tinggal di Canton dan bukannya disebarkan oleh pedagang-pedagang berketurunan China. Maka dapat disimpulkan bahawa Islam itu bukan didatangkan dari Tanah Arab tetapi disebarkan dari China oleh pedagang Arab yang telah menetap di situ dan datang berdagang ke Alam Melayu.

            Secara ringkasnya, daripada teori di atas ini kita dapat mengetahui bahawa hubungan perdagangan dan hubungan diplomatik merupakan dua elemen yang utama dalam proses islamisasi yang berlaku di China sebelum islam disebarkan dan di bawa pula ke Alam Melayu oleh para pedagang yang ingin mencari destinasi perdagangan alternatif.





Islam datang dari India

Melalui teori kedatangan Islam dari India di percayai bahawasanya terdapat dua wilayah di India sebagai tempat asal pembawa Islam ke  Alam Melayu. Pertama ialah Gujerat dan kedua ialah Bengal Coromandel. Pijnappel berpendapat bahawa kedatangan Islam ke Alam Melayu disebarkan oleh golongan pedagang Arab yang telah bermukim di Gujerat dan Malabar. Pendapat ini adalah berdasarkan kaitan kedua-dua nama ini dalam sejarah awal Alam Melayu. Malahan pendapat Pijnappel telah disokong oleh Snouck Hurgronje dan Harry Hazzard yang mengaitkan persinggahan oleh pedagang islam ke Nusantara  sebagai titik permulaan perkembangan islam di Alam Melayu sebelum mereka meneruskan perjalanan ke China dan sebagainya untuk berdagang. Malahan teori kedatangan Islam dari Gujerat dan Malabar ini diperkukuhkan lagi dengan penemuan batu nisan di Pasai yang bertarikh 1428M dan di Gerisik yang bertarikh 1419M oleh Marquette. Terdapat persamaan oleh kedua-dua batu nisan ini dari segi rupa fizikal yang dikatakan mirip dengan batu nisan di Gujerat.
            Walaubagainanapun, teori dan hipotesis ini tidak dipersetujui oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau berkata penemuan tersebut tidak boleh dijadikan asas sebagai kedatangan Islam ke Alam Melayu melalui india, pernyataan bahawa persamaan dari segi rupa fizikal batu nisan hanya sesuai untuk dihujahkan tentang tempat asal batu tersebut iaitu dari Gujerat, India. Menurut S.Q.fatimi, kedatangan islam ke Alam Melayu adalah dari Bengal, Coromandel, India melalui aktiviti perdagangan oleh pedagang-pedagangnya. Bengal telah menerima Islam terlebih dahulu berbanding Gujerat dan Malabar. Mengambil kira pernyataan ini, tentulah munasabah jika penyebaran Islam di Alam Melayu itu dilakukan oleh pedagang dari wilayah yang menerima islam lebih awal ini. Pandangan ini juga telah disokong oleh Arnold dalam buku akademianya, The Muslim world yang menyatakan para pedagang Bengal bermazhab Shafie; sama seperti kebanyakan penduduk-penduduk Nusantara. Malah adalah mustahil sekiranya dikatakan islam itu dibawa ke Alam Melayu oleh pedagang Gujerat dan Malabar  kerana mazhab yang telah dipegang oleh mereka adalah mazhab Hanafi, berbeza dengan mazhab yang di anuti oleh penduduk Alam Melayu secara umum.
            Teori kedatangan Islam melalui India ini telah diperkuatkan dengan catatan sejarah yang telah ditulis oleh Ibnu Batutah semasa melakukan persinggahan di Pasai. beliau telah mendapati bahawa terdapat persamaan dari segi budaya di antara  Pasai dengan kebudayaan yang terdapat di Bengal, India terutamanya pakaian diraja. Malah, pemerintahnya Merah Silu sebenarnya beragama Hindu yang kemudiannya memeluk Islam dan baginda dikatakan mempunyai hubungan diplomatik dengan masyarakat Islam Bengal, India.
            Walaupun terdapat banyak fakta-fakta sejarah dan penemuan-penemuan yang menunjukkan kedatangan Islam ke Alam Melayu itu datang dari India, diakui bahawa teori ini masih kurang tepat. Menurut Haji Abdul Rahman Haji Abdullah, Pasai menerima Islam lebih awal iaitu pada 1042 M dan Malik al Salih bukanlah pemerintah pertama yang memeluk Islam. Sebelum Pasai menerima Islam secara bernegara, Meurah Giri atau Mahmud Shah lebih awal memeluk islam daripada beliau. (Abdul Rahman Haji Abdullah (1990), pemikiran umat islam di Nusantara, h 44). Malahan penemuan batu nisan Malik al Salih sendiri bertarikh 1297 M, di mana kita dapat melihat sudah tentunya Islam telah sampai lebih awal dari tempoh masa tersebut. Bukti yang dapat mengukuhkan lagi hujah ini adalah dengan kebenaran sejarah Gujerat yang menerima Islam secara bernegara pada tahun 1301 M apabila berlakunya pembukaan wilayah Gujerat oleh kerajaan Islam Delhi. (Mohd Radzi Haji Othman, Etal. (1989), Beberapa Aspek Tamadun Islam)





Kemunculan pusat-pusat perkembangan Islam

Kedatangan islam ke Alam Melayu telah melahirkan banyak negara-negara atau kerajaan Islam melalui pengislaman raja mereka. Kerajaan ini juga berfungsi sebagai sebuah pusat kegiatan islam antarabangsa atau setidak-tidaknya kepada pmasyarakat Nusantara Alam Melayu. Antara pusat-pusat Islam yang terawal dalam kerajaan-kerajaan Melayu ini ialah kerajaan Perlak-Samudera-Pasai (840), Kerajaan Islam Acheh (1507), Minangkabau (1500), Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511), Kerajaan Johor-Riau-Lingga(1673), Patani di selatan Thailand (1500), Brunei (1480) .
Walaupun ada sejarah mengatakan bahawa kerajaan Melayu Melaka merupakan kerajaan Melayu islam yang pertama di Alam Melayu tetapi sebenarnya ,Kerajaan Perlak dan Samudera-Pasai merupakan pusat tamadun islam melayu yang terawal. Perlak merupakan kerajaan Melayu Islam yang pertama yang ditubuhkan pada tahun 840 dengan raja pertamanya, Sultan Syed Maulana Abdul Aziz Syah manakala kerajaan Samudera-Pasai pula telah muncul sekitar tahun 1042 sehingga tahun 1450 dengan raja pertamanya, Meurah Giri yang kemudiannya menggunakan gelaran Maharaja Mahmud Syah.
.
Selepas itu, Semenanjung Tanah Melayu, muncul Melaka sebagai pusat Tamadun Melayu Islam yang menguasai Persisiran Selat Melaka sekitar kurun ke-15 dan kurun ke-16. Asal usul Melaka bermula dengan pembukaan oleh Parameswara, seorang keturunan Raja Srivijaya yang telah berundur dari Palembang setelah diserang dengan Kerajaan Jawa. Mula-mula baginda ke Temasik dan kemudian melaka seterusnya membuka melaka dan menerima Islam di tangan Makhdum Syed Abdul Aziz, seorang mubaligh dari Makkah sekitar 1414. Zaman kegemilangan Melaka adalah pada pertengahan kurun ke-15 dengan menjadi sebuah pusat pelabuhan bagi perdagangan entreport antara Timur dan Barat yang sibuk. Selain itu, Melaka juga merupakan pusat penyebaran islam dan pengajaran Islam. Kekuasaan Melaka terserlah apabila menguasai wilayah-wilayah di pesisiran Semenanjung dan juga bahagian Timur Sumatera di pesisiran Selat Melaka. Malangnya, setiap negara akan mengalami jatuh bangun begitu juga halnya  kejatuhan Melaka pada tahun 1511 di tangan Portugis yang telah menawan ibu kota Melaka.
Kemudian muncul kerajaan Acheh. Kerajaan yang berkembang selepas kejatuhan Melaka dan memainkan peranan penting sebagai pusat penyebaran dan kegiatan islam terutama di kawasan barat Alam Melayu sekitar kurun ke-17. Antara Raja Acheh yang terkenal ialah Sultan Alauddin Ri’ayat Shah(1588-1604), Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam(1606-1636), Sultan Iskandar Thani (1636-1641). Walaubagaimanapun, teraju pemerintahan Acheh kemudian dikuasai oleh raja perempuan bermula dengan pemerintahan Sultanah Safiudin (1641-1675). Sumbangan dan peranan kerajaan Acheh sebagai pusat penyebaran dan kegiatan Islam telah menyebabkan kerajaan ini digelar ‘Serambi Makkah’ selain berfungsi sebagi pusat perdagangan.
Di Pulau Borneo juga muncul sebuah pusat tamadun Melayu Islam terulung iaitu Kesultanan Melayu Brunei. Brunei dikatakan menerima Islam apabila rajanya bernama Awang Alak Betatar memeluk Islam dengan menggunakan gelaran Sultan Muhammad (1363-1402, terdapat juga pendapat pengkaji yang menyatakan pada 1480). Namun terdapat penemuan batu nisan bertarikh 1048. ini menunjukkan terdapat penempatan orang Islam yang lebih awal lagi dikawasan ini. Kekuasaan kerajaan Brunei menjadi lebih kukuh dan berkembang pada awal kurun ke-16 terutama selepas kejatuhan Melaka. Ini disebabkan oleh pendakwah-pendakwah islam yang ingin berdakwah mencari alternatif lain selain daripada pelabuhan Melaka yang telah berada dibawah kekuasaan Portugis yang rata-ratanya pemeluk agama Kristian. Kekuasaan Brunei juga telah berkembang hingga ke Kepulauan Filipina, (Sulu, Luzon, Mindanao) sebelum wilayah-wilayah ini dikuasai oleh Sepanyol dan Inggeris pada sebahagian lagi jajahan takluknya (Sabah dan Sarawak).
Kesimpulannya, kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu islam menunjukkan peranan yang dimainkan oleh raja dan golongan pemerintah dengan memberikan naungan kepada Islam. Manakala kejatuhan empayar Melaka telah menyebabkan kemunculan pusat-pusat islam lain secara bertaburan di setiap kawasan rantau melayu / Malay Archipilago dan mengambilalih peranan kerajaan Melaka. 





Kesan dan pengaruh Islam dalam Tamadun Melayu

            Terdapat banyak kesan dan perubahan yang dibawa oleh kemasukan Islam di Alam Melayu dan sebahagian daripadanya masih kekal hingga ke hari ini. Pengaruh dan kesan ini meliputi aspek agama dan kepercayaan, pendidikan, bahasa dan kesusasteraan, perundangan, politik dan pemerintahan, adat dan cara hidup dan lain-lain.

Agama dan kepercayaan

            Kesan utama yang dapat dilihat setelah kedatangan Islam ke Alam Melayu secara amnya ialah dari segi agama dan kepercayaan. Kedatangan Islam telah menyebabkan masayarakat Alam Melayu meninggalkan agama Hindu, Buddha dan kepercayaan animisme. Kedatangan islam juga telah mengubah pandangan semesta masyarakat Alam Melayu ketika itu daripada mempercayai roh, semangat dan dewa-dewa kepada mempercayai tuhan yang Esa, kepercayaan kepada nabi-nabi, rasul-rasul, malaikat dan kitab-kitab suci. Mereka juga telah mengamalkan konsep Islam dalam kehidupan harian mereka seperti mengamalkan nilai hormati sesama manusia, menitikberatkan persamaan taraf dan perkara ini dapat dibuktikan melalui pengamalan ibadah seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji. Selain itu, mereka turut menyambut hari-hari kebesaran dalam Islam seperti sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan Nuzul Quran. Menurut Syed naquib al Attas, islam itu telah mencetuskan zaman baru. Perubahan yang dibawa merupakan perubahan secara menyeluruh berteraskan kepada asas tauhid. Maka kesan yang timbul daripadanya ialah berlaku perubahan terhadap ‘rupa dan jiwa’ Alam Melayu.
            Sebagai contoh, ajaran dan nilai-nilai Islam dihayati oleh masyarakat Melaka selepas pengislaman Parameswara sebagai Raja mahkota Iskandar Shah. Para rakyat telah menerima Islam secara rela hati dan mereka mengamalkan ajaran serta hokum-hukum Islam dengan baik sekali. Ini dapat dibuktikan melalui perubahan dalam kegiatan kemasyarakatan yang menggambarkan penerimaan dan penghayatan mereka terhadap Islam seperti aktiviti muzakarah, kuliah dan ceramah, marhaban dan kegiatan agama yang lain-lain. Mereka juga mula belajar mengaji al-Quran dan ilmu tafsir daripada ulama-ulama yang dating ke Melaka. Anak-anak mereka turut dididik dengan cara hidup Islam.
            Akan tetapi, masih ada kepercayaan-kepercayaan dan tradisi yang masih dikekalkan. Antara salah satunya ialah penggunaan mantera :

Kabul aku menawar ubat pontianaksi anu
Kabul Allah
Kabul Muhammad
Kabul Baginda Rasulullah
Kabul berkat guru
La ila ha ilallah, Muhammadar
Rasulullah

Mantera seperi ini masih diamalkan oleh sesetengah ahli perubatan tradisional kerana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Pendidikan

            Dari apek pendidikan pula, konsep persamaan taraf yang telah ditekankan dalam Islam menyebabkan golongan bawahan dan golongan atasan menerima pendidikan yang sama. Tiada unsur diskriminasi dalam menuntut ilmu. Proses perkembangan Islam yang semakin berkembang turut membantu pendidikan dalam Alam Melayu. Hujah ini dapat diterjemahkan melalui perkembangan sistem pendidikan yang bermula dari istana yang kemudiannya beralih menjadi institusi pendidikan Islam seperti pondok dan madrasah. Melalui sistem pengajian ilmu ini maka lahirlah para cendekiawan dan ulama-ulama yang terbilang dan menyumbangkan pula tenaga mereka untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di Alam Melayu. Antara tokoh-tokoh yang disegani ini ialah Syeikh Abdul Malik Abdullah, Sheikh Wan Hasan Wan Ishak dan ramai lagi (Hashim Hj. Musa, 2004: 46). Malahan, prinsip keilmuan yang ditekankan oleh ajaran Islam telah menyebabkan berlakunya perkembangan tradisi pendidikan yang lebih tersusun.. Selain itu, perubahan dari segi pendidikan ini juga adalah hasil daripada peranan yang dimainkan oleh golongan pemerintah dan pembesar. Hujah ini menunjukkan bahawasanya golongan pemerintah dan pembesar ini sedar akan pentingnya Ilmu pengetahuan.
            Dalam bidang intelektual dan keilmuan Islam pula, islam memberikan penghormatan yang begitu tinggi bagi mereka yang mencapai tahap pemikiran logik dan berteraskan al sunnah dan al hadis. Melalui ajaran Islam, satu kedah pemikiran berteraskan ilmiah dan rasional sejajar dengan tuntutan Islam.  Keilmuan rasional dan intelek ini adalah pendekatan baru dalam cara berfikir iaitu dengan  meninggalkan sesuatu yang berunsurkan tahyul serta memuja sesuatu yang bersifat estetik kepada sesuatu yang mementingkan akal, pemahaman ilmu metafizik serta pandangan hidup yang munasabah pada akal yan sihat. (Rashid Muhammad, 1996: 140)
            Sebagai meyokong huraian diatas, kita ambil Zaman Melayu Melaka untuk dijadikan contoh. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, istana telah dijadikan pusat Ilmu yang menjalankan aktiviti pendidikan dan turut berfungsi sebagai tempat perpustakaan, tempat penyalinan dan penterjemahan selain sebagai pusat pentadbiran. Disebabkan berlaku perkembangan budaya menuntut ilmu, bukan sahaja istana malah rumah-rumah ulama, masjid, surau dan madrasah turut digunakan sepenuhnya bagi menuntut ilmu. Para guru-guru pula terdiri daripada pedagang-pedagang berbangsa Arab dan contoh ilmu-ilmu yang diajarkan termasuklah usuluddin, fiqh, tauhid dan tasawwuf. Antara kitab-kitab yang menjadi pegangan oleh masyarakat Melaka ketika itu ialah al  Manzum oleh Abu Ishak al-Shirazi, Ihya Ulumuddin oleh al-Ghazali dan Minhaj al-Talibin oleh al-Nawawi.

Bahasa dan kesusasteraan.

Pengaruh Islam dalam aspek bahasa dan kesusasteraan pula dapat dilihat apabila Bahasa Melayu mula menerima pengaruh Islam bermula abad ke 14 M dan berkembang sehingga akhir abad ke 18 M. pengaruh ini diterima kerana pada waktu tersebut kedudukan Islam semakin teguh dan peyebarannya semakin meluas. Buktinya, kewujudan penggunaan tulisan jawi oleh orang Melayu ketika itu.
Perubahan yang pertama yang dapat dilihat ialah pengenalan tulisan Arab setelah kedatangan Islam. Perubahan dramatik mula berlaku apabila masyarakat Melayu mula menyesuaikan perkataan Arab dengan Bahasa Melayu akan tetapi perubahan ini mengalami proses sukar sehinggalah diperkenalkan tulisan arab yang telah diubahsuai dan dikkenali sebagi tulisan Jawi malahan nama itu terpahat sebegitu hingga ke hari ini. Melalui sistem tulisan ini, maka peranan Bahasa Melayu itu dapat memainkan peranan lebih penting apabila aplikasinya digunakan untuk menulis kitab-kitab agama, hikayat-hikayat, undang-undang dan pentadbiran.
Selain itu, Bahasa Melayu juga diangkat martabatnya apabila dipilih sebagai bahasa pengantar persuratan dan juga sebagai alat penyebaran dan penyampaian agama islam di seluruh Alam Melayu. Pemilihan ini adalah berdasarkan kepada faktor bahasa itu sendiri iaitu sifat dalaman Bahasa Melayu dan juga peranan yang dimainkan oleh wilayah dan daerah Melayu di Sumatera dan di Semenanjung Tanah Melayu  dalam penyebaran Islam ke seluruh Kepulauan Melayu.
Seterusnya, kedatangan islam telah membawa impak yang besar terhadap warisan kesusasteraan Melayu. Banyak hasil kesusasteraan Melayu ditulis antaranya Hikayat Nabi Muhammad SAW, Hikayat Para Nabi dan Rasul, Hikayat Para Sahabat, Hikayat Para Pahlawan Islam dan Hikayat Ahli-ahli Sufi serta orang-orang yang Salih. Manakala syair terkenal yang dipengaruhi sastera Islam ialah Syair perahu oleh Hamzah Fansuri dan Syair Makrifat oleh Abdul Rauf Fansuri.
Terdapat satu kesimpulan yang dapat dilihat di sini iaitu pemindahan ilmu dari bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu telah menyebabkan berlakunya perkembangan keilmuwan yang pesat di Alam Melayu. Kedatangan islam juga telah menaikkan martabat bahasa Melayu kea rah mengungkapkan sesuatu yang bersifat ilmiah dan saintifik sehingga mencapai taraf Lingua Franca  yang digunakan secara meluas di Alam Melayu.

Perundangan

            Terdapat satu lagi perubahan dan kesan yang utama berlaku iaitu dari segi sistem perundangan di Alam Melayu. Antara contoh sistem perundangan tempatan yang mengalami perubahan selepas kemasukan Islam ialah Hukum Kanun Melaka, Adat Perpatih dan  Adat Temenggung. Undang-undang kerajaan sebelum proses islamisasi dikekalkan sekiranya tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam.
            Kedatangan Islam dan penyebarannya telah merubah sistem perundangan kepada sistem adapt dan Islam. Contohnya dalam Hukum Kanun Melaka, undang-undangnya meliputi tanah, sungai, dusun dan setiap tanah jajahan takluk di Melaka. Manakala dalam Undang-Undang Laut Melaka pula meliputi hal-hal perusahaan perkapalan, perdagangan di laut dan di darat dan kegiatan yang berkaitan dengannya. Kedua-dua kumpulan undang-undang ini adalah berdasarkan kepada hokum syariah dan juga hukum adapt yang telah wujud sejak dahulu lagi. (Zainal Abidin Abdul Wahid,1992:29)
            Menurut beberapa orang sarjana barat seperti William R. Roff dan Alfred P. Rubin, Hukum Kanun Melaka dihasilkan untuk panduan  dan merupakan contoh tentang wujudnya pengaruh Islam dalam perundangan. Pada dasarnya, Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Melaka berasaskan undang-undang Islam disamping berpegang pada hukum akal dan hukum adat. Terdapat juga undang-undang yang berhubung dengan jenayah, muamalah, kekeluargaan, keterangan dan acara yang berpandukan undang-undang Islam. (Afifah Abu Yazid,2003:41)

Politik dan pemerintahan

            Aspek pemerintahan dalam kerajaan Alam Melayu turut mengalami perubahan selepas kedatangan Islam. Antaranya, agama Islam dijadikan agama rasmi di Melaka. Setelah kedatangan islam di Alam Melayu, sistem politik dan pemerintahan telah bertukar bentuk dan dsuaipadankan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, gelaran raja bertukar kepada sultan dan disamakan dengan khalifah seperti yang terdapat dalam sistem politik Islam. Melalui kedatangan islam juga, terdapat suatu unsur kekuasaan rakyat dalam menentukan penubuhan sistemberaja. Rakyat boleh mengubah perjanjian ini jika sultan tidak mematuhi syarat-syarat perjanjian. Walaubagaimanapun konsep ini adalah berbeza dengan asas penubuhan yang disarankan oleh Tajus Salatin dan Bustanus Salatin yang menekankan fardhu bagi penubuhan sistem beraja sebagai kurniaan tuhan kepada manusia dan merupakan pekerjaan yang hanya dapat ditanggung oleh orang yang terpilih mewarisi kedudukan khalifah.
            Selepas kedatangan Islam, konsep dewaraja telah bertukar kepada konsep sultan. Ia merupakan gelaran kepada individu yang dipercayai untuk mentadbir sesebuah negeri dan juga sebagi khalifah Allah di muka bumi ini. Kepatuhan dan kedaulatan kepada sultan merupakan kepatuhan yang bersyarat dan bukannya kepatuhan yang mutlak seperti konsep dewaraja. Malahan daripada aspek sosial lagi islam telah mengajar supaya tidak ada pengkelasan dan pengkastaan dalam masyarakat seperti yang di amalkan dalam pengaruh Hindu-buddha, dan pembentukan masyarakat mestilah diasaskan pada keadilan yang bersendikan agama. raja dan rakyat, tua dan muda, kaya dan miskin, semuanya mempunyai peranan dalam masyarakat (Afifah Abu Yazid, 2003: 54)
            Dalam hal ehwal pentadbiran pula, sulatan adalah berkuasa mutlak. Sultan juga berperanan dalam hal agama dan mempunyai fungsi sebagai ketua agama selain menjadi seorang ketua negara.

Adat dan cara hidup

            Masyarakat Melayu lama cukup sinonim dengan animisme dan hinduisme sebelum kedatangan Islam. Pengaruh-pengaruh tersebut amat jelas dan dapt dilihat dalam setiap aspek  kehidupan, adapt-adat juga sistem perundangan dan pemerintahan. Namun begitu, selepas kedatangan Islam ke Nusantara, tradisi yang mempunyai unsur Hinduisme dan Animisme telah disingkirkan dari kehidupan masyarakat Melayu ketika itu dan digantikan dengan cara hidup islamik. Malahan sejak individu itu masih kecil lagi ditanamkan nilai-nilai dan pengajaran Islam. Adat resam masyarakat Melayu telah dimantapkan lagi dengan ajaran islam tetapi terdapat beberapa adapt dan cara hidup yang masih dikekalkan atas dasar tidak melanggar hukum agama.
            Adat itu merupakan perbuatan atau perlakuan yang menurut kepada kebiasaan masyarakat atau bangsa yang berkenaan. Kebanyakan masyarakat Melayu dahulu menganggap adapt sebagai satu peraturan yang menentukan hidup mereka. Adat akan dipatuhi dan di hormati dengan keyakinan bahawa sekiranya adapt itu dilanggar, ia akan dianggap sebagai perbuatan yang biadap dan mungkin membawa akibat yang lenih buruk lagi. “ mereka mematuhi adapt serta menghormatinya dengan keyakinan bahawa melanggar adapt dianggap sebagai suatu sikap atau perbuatan buruk dan akibatnya akan merosakkan diri dan sekaligus mencemarkan kesejahteraan hidup masyarakat. (Asmad, 1990: 4)
            Sebelum kedatangan islam , masyarakat banyak mengamalkan adat tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang mereka dan setelah mereka memeluk Islam, adat- adat ini mula diubahsuai supaya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Islam bukan sahaja mengubah sistem kepercayaan kita tetapi juga mengenepikan adat yang dianggap bercanggah dengan akidah dan kepercayaan Islam. Antara adat-adat yang telah digantikan oleh adat islam ialah kelahiran bayi yang disambut dengan azan dan iqamat, mengadakan majlis bacaan yasin dan doa selamat, adapt perkahwinan dilakukan oleh orang kadi dan dua orang saksi, upacara khatam al-Quran dan bacaan ayat-ayat al-Quran untuk mengelakkan gangguan syaitan.

            Kedatangan Islam telah meninggalkan impak yang amat mendalam kepada tamadun Melayu. Samada sedar atau tidak, Islam telah merangkumi setiap aspek kehidupan kita samada cara hidup, pemerintahan, adapt, pendidikan dan lain-lain lagi. Semua ini tidak mungkin berlaku tanpa usaha-usaha yang ditanamkan sejak dahulu dan kita harus memelihara kesemua sumbangan agar generasi akan datang dapat menikmati erti islam dari sudut sejarah.






Kesimpulan

      Kedatangan islam ke Alam Melayu berkait dengan banyak teori-teori dan pendapat tokoh-tokoh. Teori-teori mereka ini sama ada berasaskan pada jumpaan sumber sejarah atau rasionalisme sejarawan itu sendiri dalam menyusun kepelbagaian pendapat sehingga lahir teori-teori kedatangan Islam di Alam Melayu. Proses islamisasi yang berlaku di Alam Melayu berlaku secara berperingkat-peringkat di kalangan masyarakat Melayu bermula dari golongan pemerintah dan pembesar hinggalah kepada golongan rakyat. Melalui islam, masyarakat Melayu mula berubah dari banyak aspek dan berlaku penambahbaikan dalam setiap aspek supaya tidak bertentangan dengan syariat islam.
Kemasukan islam telah menyebabkan masyarakat mula mengamalkan nilai-nilai dan ajaran islam dalam kehidupan harian serta menuju kepada jalan kehidupan yang diredhai oleh Allah dalam mencapai kesempurnaan hidup samada dari segi duniawi dan akhirat. Walaupun terdapat banyak teori dan pendapat-pendapat oleh sejarawan, namun hanya satu yang pasti. Kedatangan islam bukan sahaja mengubah pegangan hidup masyarakat Melayu, malah telah membentuk cara hidup baru. Amalan-amalan yang berunsur tahyul dan khurafat telah ditinggalkan, masyarakat mula berfikir menggunakan rasional akal dan berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Masyarakat Melayu telah menjadi berilmu melalui konsep kebudayaan ilmu yang ditekankan oleh Islam. Hal ini juga berpunca dari sokongan dan galakan oleh pihak pemerintah kerajaan itu sendiri yang berdedikasi dalam menyebarkan ilmu untuk tuntutan agama.
Melalui penyebaran islam ini,  agama Islam telah dijadikan sebagai tonggak utama dalam pembinaan tradisi dan budaya Melayu. Masyarakat Melayu yang menganuti agama Islam mula menyedari dan memahami nilai-nilai islam serta berusaha mengaplikasikannya di dalam kehidupan seharian. Prinsip Islam yang dipelajari dan diamalkan ini diturunkan melalui generasi ke generasi yang lain agar hidup ini diharapkan mendapat keredhaan dari Allah SWT.






Read more...