Pages

Wednesday, November 3, 2010

PISMP 5 - PK TERAPI DLM PK (EN AZMI ABU BAKAR)


KONSEP TERAPI
Secara umumnya, terapi merupakan satu cara untuk mengubah pemikiran, perasaan dan tingkah laku dimana ia boleh dibahagikan kepada tiga aspek terapi yang utama iaitu terapi kognitif, terapi psikodinamik dan terapi tingkah laku. Terapi kognitif contohnya bermula dengan pemikiran individu untuk mengubah perasaan dan tingkah laku, manakala terapi psikodinamik pula memberikan penekanan kepada  perasaan.


PENGENALAN TERAPI
            “Therapy is a session where a health professional aims to provide remedial compensatory strategies and treatment to improve a participants functions or well being”. Melihat kepada kenyataan di atas ini, dapatlah dirumuskan secara mudah bahawa terapi merupakan satu usaha untuk memulihkan orang yang sedang sakit (Azmi, 2010)



 
KEPENTINGAN DAN FAEDAH AKTIVITI TERAPI

            Tujuan utama terapi diwujudkan ialah bagi membantu individu yang mempunyai masalah-masalah samada dari segi fizikal, mental, emosi malahan sosial. Justeru pelbagai jenis terapi direka khusus mengikut masalah-masalah yang dialami oleh seseorang yang pada akhirnya akan mencapai tujuan yang sama iaitu melakukan perubahan atau lebih tepat lagi pemulihan kognitif, psikodinamik dan tingkah laku mereka. Penglibatan murid-murid bekeperluan khas di dalam sesi-sesi terapi ini memang diharuskan kerana ia mendatangkan banyak kepentingan dan faedah kepada mereka sehinggakan didalam perancangan persediaan mengajar para guru Pendidikan Khas turut diselitkan unsur-unsur  terapi.

Antara kepentingan dan faedah terapi kepada golongan kanak-kanak bekeperluan khas ialah membantu murid-murid mengembangkan kemahiran otot-otot mereka. Dari segi fizikal kanak-kanak khas dan kanak-kanak normal cuma terdapat sedikit perbezaan namun dari sudut penggunaan, fungsinya masih sama kerana manusia diciptakan mempunyai ketulan otot-otot yang terdiri daripada otot-otot besar dan otot-otot kecil. Melalui otot-otot besar, kita dapat melatih kemahiran motor kasar kanak-kanak khas apabila kita menggunakan terapi fizikal atau lebih dikenali dengan nama fisioterapi. Contoh kemahiran motor kasar ialah berlari, berjalan, melompat dan lain-lain. Manakala, bagi otot-otot kecil pula dapat kita bantu dengan mengembangkan kemahiran-kemahiran motor halus mereka, seperti memasukkan benang didalam straw minuman, menggunting, menampal, melipat kertas atau pakaian, membutangkan baju, menjahit dan lain-lain yang memerlukan mereka melakukan kawalan terhadap penggunaan otot-otot yang paling kecil untuk melakukan pergerakan berfungsi pada tahap paling mudah.
            Kepentingan dan faedah terapi ke atas kanak-kanak bekeperluan khas yang seterusnya ialah membantu mereka ini menghilangkan tekanan. Disebabkan kekurangan yang terdapat pada diri mereka, masyarakat sekeliling seperti murid-murid normal, guru-guru dan jiran tetangga banyak memandang rendah kepada kanak-kanak khas ini. Ada yang mengambil pendekatan menjauhkan diri apabila didekati oleh kanak-kanak khas, tidak kurang juga yang berasa jijik melihatkan mereka ini walaupun tidak dizahirkan melalui percakapan  tetapi hal ini dapat ditafsirkan melalui tingkah laku mereka. Justeru, perkara-perkara seumpama ini akan mendatangkan tekanan kepada kanak-kanak khas dari segi emosi dan mempengaruhi tingkah laku mereka. Melalui terapi yang dijalankan kepada kanak-kanak khas ini, ia akan berfungsi sebagai satu saluran kepada mereka bagi melepaskan sebarang tekanan yang dihadapi. Antara contoh terapi yang boleh dilakukan ke atas kanak-kanak khas ini bagi membantu mereka melepaskan tekanan ialah terapi bermain dan terapi seni. Melalui permainan, murid-murid akan berasa seronok dan melupakan segala masalah dan tekanan yang sedang mereka hadapi. Begitu juga dengan terapi seni, melalui luahan seni mereka akan dapat memahami cara untuk mendedahkan keperluan dalaman dan konflik jiwa sekaligus dapat memberi bantuan dalam pencarian resolusi.
            Kepentingan dan faedah terapi selain daripada yang dinyatakan di atas ialah melalui terapi, kanak-kanak khas ini akan dibantu tentang kawalan kendiri atau cara mengurus diri sendiri. kita telah sedia maklum tentang kelemahan dan kekurangan kanak-kanak khas ini daripada pelbagai segi, contohnya dari segi fizikal murid-murid mempunyai masalah dalam kemahiran yang melibatkan motor halus dan motor kasar serta koordinasi tubuh seperti koordinasi tangan-mata dan lain-lain. Melalui sesi terapi yang dijalankan ke atas mereka ini, mereka akan dapat melatih dan mengembangkan kebanyakan fungsi mereka hingga ke tahap yang paling tinggi mereka dapat capai. Ini secara tidak langsung akan mendedahkan mereka bahawa mereka mampu melakukan sendiri kebanyakan pergerakan dan fungsi-fungsi tubuh dimana ia akan menjurus kepada pengurusan kendiri. Ini amat penting kerana sebagai kanak-kanak khas, mereka memang memerlukan banyak bantuan samada dari segi fizikal, mental mahupun emosi. Namun, apabila mereka dapat mengurus diri hasil daripada sesi terapi yang dijalankan bermaksud ia membantu murid tersebut satu kemahiran untuk hidup iaitu berdikari.
            Selain itu, terdapat banyak lagi kepentingan dan faedah terapi kepada kanak-kanak khas seperti membina keyakinan dalam diri murid, mernagsang pertuturan dan meningkatkan komunikasi serta meningkatkan kesabaran murid dan melatih daya konsentrasi.



LAPORAN KELEMAHAN MURID YANG MEMERLUKAN TERAPI

Saya telah memilih terapi cara kerja untuk dilaksanakan ke atas pelajar saya bagi membantunya memulihkan otot-otot kecil yang melibatkan kemahiran motor halusnya. Seorang murid telah dipilih daripada kelas Program Khas Bermasalah Pembelajaran di SK Pauh,Perlis. Murid tersebut dipilih daripada kelas K2 iaitu Muhammad Syakirim yang telah didiagnostik oleh pakar perubatan mengalami masalah slow learner.
Selain itu juga, Syakirim juga mengalami masalah dileksia tetapi bukan pada tahap yang serius. Ini berdasarkan pemerhatian saya ke atasnya selama seminggu setelah mula mengajar di kelasnya iaitu apabila diminta menuliskan namanya, kebanyakan huruf yang dituliskannya akan berada dalam keadaan terbalik selain jari-jarinya akan menggigil apabila memegang pensil untuk menulis.
Justeru, saya mendapati dia menghadapi masalah yang melibatkan penggunaan otot-otot kecil pada jari jemari yang mempengaruhi kemahiran motor halusnya seperti kemahiran untuk memenipulasi jari, menggenggam dan memegang benda atau objek terutamanya yang bersaiz kecil.




PERANCANGAN LAPAN SESI TERAPI
Sebelum memulakan sesi terapi saya telah melakukan perbincangan bersama dengan guru pembimbing saya iaitu En. Zakaria B. Abdullah bagi memilih jenis dan aktiviti terapi yang sesuai dilakukan. Hasil daripada perbincangan yang dilakukan, kami bersama telah mencapai kata sepakat dan memilih terapi cara kerja untuk dijalankan ke atas Syakirim.
Setelah perbincangan dan melalui hasil pemerhatian serta pembacaan yang dilakukan, saya telah mencadangkan beberapa aktiviti berbentuk terapi cara kerja kepada guru pembimbing saya bagi memastikan kesesuaian aktiviti tersebut dengan tahap murid. Jadi, setelah disahkan dan dibenarkan oleh guru pembimbing saya, maka aktiviti-aktiviti terapi yang akan dilakukan terhadap Syakirim telah disusun di dalam bentuk berikut :-


SESI

ALATAN

AKTIVITI YANG DIRANCANG

1

Kertas A4 berwarna

Melipat kertas

2

Pensil warna, gambar

Mewarna

3

Gunting, kertas

Menggunting


4

Gam, lembaran kerja


Menampal


5

Baju berbutang

Membutangkan baju

6

Kasut berzap

Memakai kasut

7

Benang,  jarum dan kain cross stitch

Memasukkan jarum dan benang ke dalam kain

8.

Manik, benang

Memasukkan benang ke dalam lubang manik




AMALI SESI TERAPI – TERAPI CARA KERJA
Tarikh : 24 Mac 2010
Tempat : Stesen Pengurusan Diri
Terapi : Cara kerja
Aktiviti : Melipat Kertas
Alatan : kertas A4 berwarna

            Bagi sesi terapi yang pertama, saya telah menyediakan aktiviti melipat kertas untuk dilakukan oleh Syakirim. Aktiviti melipat ini saya lakukan dengan meminta murid menghasilkan origami baju bagi menarik minat murid selain mendatangkan keseronokan. Terapi ini telah dijalankan sewaktu kelas pengurusan diri dan hanya menggunakan sehelai kertas A4 berwarna. Aktiviti ini dilakukan bagi menguji kemahiran murid untuk memanipulasikan jari bagi tujuan menghasilkan lipatan kertas yang kemas dan sekata. Maksudnya, murid boleh mengawal kekuatan tekanan yang diperlukan untuk melipat kertas dan pada masa yang sama mampu melipat kertas mengikut paksi simetri seperti melipat kertas A4 kepada dua bahagian yang sama besar dan seimbang.
            Hasil daripada aktiviti yang dilakukan, Syakirim boleh melakukan kemahiran melipat tetapi masih belum kemas. Dia tahu mengagak jumlah daya tekanan yang diperlukan untuk melipat sehelai kertas dan hasil lipatannya tidak berapa seimbang. Namun begitu, dia berjaya menghasilkan sebuah origami baju.





Tarikh : 26 Mac 2010
Tempat : Stesen Pengurusan Diri
Terapi : Cara kerja
Aktiviti : Mewarna
Alatan : Pensil warna, kertas bergambar

            Bagi sesi terapi yang kedua pula Syakirim diminta untuk melakukan aktiviti mewarna. Aktiviti ini dilakukan dengan meminta murid untuk mewarnakan gambar yang telah disediakan dengan kemas.alatan-alatan yang diperlukan untuk melakukan aktiviti ini hanyalah sebekas pensil warna dan sehelai kertas bergambar. Tujuan aktiviti ini dilakukan ialah untuk melatih murid mengawal pergerakan sendi tangan bagi mewarnakan gambar dengan kemas supaya murid tidak mewarna sehingga melebihi bahagian yang tidak perlu diwarnakan. Semasa aktiviti ini dijalankan juga, kita dapat mengajar murid cara memegang pensil warna dengan kemas bagi menghasilkan warna yang sekata di atas kertas.
            Hasil daripada aktiviti yang dilakukan, tangan Syakirim masih menggigil apabila memegang pensel warna, namun dia boleh mewrna dengan cantik dan kemas. Melalui dapatan yang telah diwarnakan olehnya, dia mampu mengawal pergelangan tangannya dengan baik.


 
Tarikh : 31 Mac 2010
Tempat : Stesen Pengurusan Diri
Terapi : Cara kerja
Aktiviti : menggunting
Alatan : Gunting, kertas

            Aktiviti terapi yang ketiga ialah Syakirim diminta menggunting gambar objek yang telah dicetak diatas sehelai kertas. Hanya gunting dan sehelai kertas bercetak digunakan sebagai alat untuk melaksanakan terapi cara kerja ini. Melalui aktiviti menggunting ini, murid diminta menggunting kertas mengikut garisan gambar yang telah dicetak di atas sehelai kertas. Melalui aktiviti menggunting, koordinasi diantara tangan yang memegang kertas dan tengan yang menggunting serta koordinasi mata dan tangan akan dilatih.
            Hasil daripada aktiviti yang dilakukan, Syakirim sudah boleh memegang gunting dengan baik sepertimana yang telah dilatih dalam aktiviti sebelum ini, iaitu mewarna. Pergerakan pada pergelangan tangannya sudah semakin lancar dan jari-jemarinya sudah kurang menggigil. Melalui aktiviti menggunting ini juga, didapati koordinasi tangan –tangan dan mata-tangan Syakirim perlukan sedikit bantuan lagi, ini kerana proses untuknya menggunting agak memakan masa. Gambar yang digunting oleh Syakirim digunting dengan elok kerana dia menggunting mengikut garisan pada gambar.





Tarikh : 2 April 2010
Tempat : Stesen Pengurusan Diri
Terapi : Cara kerja
Aktiviti : Menampal
Alatan : Gam, lembaran kerja

            Bagi sesi terapi yang keempat ini aktivit yang dirancangkan ke atas Syakirim ialah aktiviti menampalkan gambar yang telah digunting keatas sehelai kertas kosong.. Aktiviti ini dilakukan dengan meminta murid untuk menggunting dahulu gambar yang telah diberikan sebagai mengukuhkan aktiviti yang telah dilakukan pada sesi lepas iaitu menggunting. Kemudian, murid akan diminta menampalkan gambar yang telah diguntingkan ke atas sehelai kertas kosong sebagai lembaran kerja. Alatan yang akan digunakan pada sesi ini ialah utama bagi terapi ini ialah gam dan kertas kosong/ lembaran kerja manakal alatan sampingan ialah gunting. Tujuan aktiviti ini dilakukan ialah supaya murid boleh menampal objek yang telah digunting ke atas sehelai kertas dengan kemas. Terapi ini dilakukan bagi membantu Syakirim untuk membiasakannya dengan aktiviti menampal yang selalu dilakukan di dalam kelas.
            Hasil daripada aktiviti yang dilakukan, Syakirim boleh menampal kertas yang telah diguning dengan baik dan sekata. Hasil tampalannya tidak comot dan kemas.








Tarikh : 7 April 2010
Tempat : Stesen Pengurusan Diri
Terapi : Cara kerja
Aktiviti : Membutangkan baju
Alatan : Baju berbutang
Aktiviti terapi yang kelima ialah aktiviti membutangkan baju. Syakirim telah diminta untuk membutangkan baju satu-persatu mengikut urutan dari atas ke bawah. Saya telah membawakan sehelai baju kemeja berbutang ke kelas sebagai alatan yang diperlukan bagi sesi terapi ini. Kemahiran membutang ini merupakan satu aktiviti bagi melatih kemahiran motor halusnya dan sangat penting kerana ia merupakan salah satu daripada rutin harian dan kemahiran mengurus diri.
            Hasil daripada aktiviti yang dilakukan, Syakirim boleh memegang butang yang terdapat pada bajunya dan memasukkan butang tersebut ke dalam lubang butang yeng tersedia pada baju tersebut satu persatu mengikut urutan walaupun memakan masa yang lama. Kesukaran ini disebabkan kawalan pada jari-jemari untuk memegang butang yang bersaiz kecil supaya dapat dimasukkan ke dalam lubang butang baju.









Tarikh : 9 April 2010
Tempat : Stesen Pengurusan Diri
Terapi : Cara kerja
Aktiviti : Memakai kasut
Alatan : kasut berzap/pelekat
Aktiviti terapi yang keenam ialah aktiviti memakai kasut mengikut langkah yang betul. Murid dikehendaki memakai kasut dengan mengikut langkah yang betul, bermula dari memakai stoking seterusnya memakai kasut serta dimulakan dengan kaki kanan dahulu kemudian barulah diikuti dengan kaki kiri. Alatan yang diperlukan hanyalah sepasang kasut dan stoking.  Aktiviti ini juga merupakan salah satu rutin harian yang perlu dilakukan oleh murid. Melalui aktiviti ini, murid dilatih supaya boleh memakai kasut dengan betul dan belajar berdikari.
            Hasil daripada aktiviti yang dilakukan, Syakirim boleh  memakai kasut dengan turutan langkah yang betul. Dia memulakan langkah dengan mengambil stoking, memakinya kemudian memakai kasut. Langkah ini dilakukan pada sebelah kaki kanan dahulu sebelum ditukar kepada kaki sebelahnya.








Tarikh : 14 April 2010
Tempat : Stesen Pengurusan Diri
Terapi : Cara kerja
Aktiviti : Memasukkan jarum berbenang kedalam kain cross-stitch
Alatan : Benang, jarum dan kain Cross-stitch
Aktiviti terapi yang ketujuh ialah aktiviti memasukkan jarum berbenang ke dalam kain cross-stitch. Guru akan membantu murid dengan memasukkan benang ke dalam lubang yang terdapat pada jarum dan meminta murid memasukkan jarum berbenang tersebut ke dalam kain cross stitch mengikut corak yang telah ditandakan pada kain tersebut. . Alatan yang diperlukan ialah jarum, benang dan kain cross stitch.  Aktiviti ini merupakan satu lagi aktiviti yang mampu melatih koordinasi mata dan tangan murid selain mengembangkan kemahiran motor halus murid.
            Melalui aktiviti ini, Syakirim didapati dapat memasukkan jarum ke dalam kain cross stitch yang telah diberikan tetapi menghadapi masalah untuk memasukkannya mengikut corak yang telah ditandakan oleh guru. Ini mungkin disebabkan kelemahan untuknya mengagak jarum yang perlu dimasukkan ke dalam lubang kain cross stitch tersebut.










Tarikh : 16 April 2010
Tempat : Stesen Pengurusan Diri
Terapi : Cara kerja
Aktiviti : Memasukkan benang ke dalam lubang manik
Alatan : Benang, Manik
Aktiviti terapi yang kelapan ialah aktiviti benang ke dalam manik. Alatan yang digunakan bagi tujuan aktiviti ini ialah benang dan manik pelbagai saiz. Syakirm diminta memasukkan benang kedalam lubang manik dalam pelbagai saiz. Aktiviti ini juga merupakan aktiviti yang mampu melatih koordinasi mata dan tangan murid selain melatih murid kemahiran memanipulasi jari jemarinya.
            Melalui aktiviti ini, Syakirim didapati boleh memasukkan benang kedalam manic yang mempunyai saiz lubang yang besar dan apabila bertukar kepada saiz lubang yang semakin kecil, dia menghadapi masalah disitu. Dia akan mengambil masa yang lama untuk memasukkan benang kedalam lubang manik yang bersaiz kecil. Walaubagaimanapun, terdapat sedikit kemajuan apabila tangannya sudah boleh memegang objek iaitu jarum tanpa menggigil.







RUMUSAN
            Keseluruhan aktiviti –aktiviti yang telah dirancangkan ini mempunyai satu tujuan yang utama iaitu bagi membantu Syakirim untuk mengembangkan kemahiran motor halusnya selain daripada koordinasi diantara tangan dengan tangan dan koordinasi tangan dan mata. Begitu juga dengan kemahiran memanipulasi jari jemari bagi melakukan sesuatu aktiviti.
            Hasil daripada aktiviti yang dilakukan ini didapati boleh membantu Syakirim untuk menjalani kehidupan seharian dengan labih baik kerana melalui aktiviti terapi cara kerja yang telah dirancangkan, secara tidak langsung mereka dapat mempelajari kemahiran mengurus diri selain membantu memulihkan masalah yang dihadapinya. Walaupun terdapat aktiviti yang tidak mencapai objektif yang telah disasarkan sepenuhnya, namun ia tetap satu pencapaian yang amat baik kepada murid tersebut kerana melalui pencapaian itu kita akan mengiktirafkannya sebagai satu perubahan yang berbentuk positif. Sekurang-kurangnya kita telah dapat membantu murid-murid khas ini daripada keadaan sedia adanya yang lebih teruk sekiranya tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang berbentuk terapi ini.
            Kesimpulannya, setiap aktiviti ini telah dirancangkan dengan berfokuskan kepada faedah dan kepentingan murid yang akhirnya akan membawa kepada kemahiran berasakan hidup umumnya dan kemhiran berkaitan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya. Walaupun hasilnya tidak akan membuahkan keputusan yang menyeluruh namun semua pencapaian murid akan diambil kira dan direkod. Berdasarkan rekod-rekod yang dikumpulkan ini, banyak lagi perubahan positif akan dapat dilakukan agar mereka ini dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.



No comments:

Post a Comment