Pages

Tuesday, November 2, 2010

PISMP 5 - PJ REFLEKSI PERMAINAN TRADISIONAL (EN AZEMI B. ABDULLAH)


REFLEKSI INDIVIDU
Oleh : MUHAMMAD ZULHILMI B ISMAIL
          

PENGENALAN
Pertandingan Permainan Tradisional bagi pelajar-pelajar semester lima Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) telah diadakan pada 3 dan 4 Mei 2010 di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman secara tertutup. Sebanyak empat buah kelas telah diberikan tugasan untuk menganjur dan mengelolakan pertandingan di mana setiap kelas diminta memilih empat jenis permainan tradisional yang berbeza bagi setiap kelas. Bagi kelas kami iaitu PISMP semester 5, PK/PJ 02 yang telah melalui perbincangan dan dipersetujui semua pelajar, empat jenis permainan tradisional yang dipilih ialah permainan Naik Haji, Lompat Untai Gelang Getah, Baling Tin serta Tarik Upih dan kami akan memulakan pertandingan pada sesi pagi, 3 Mei 2010.

Pelajar-pelajar dari kelas kami seramai 20 orang telah dibahagikan kepada empat buah kumpulan yang terdiri daripada lima orang ahli dimana setiap satu kumpulan dikehendaki menganjurkan satu jenis permainan seperti yang dinyatakan diatas. Kumpulan saya terdiri daripada diri saya sendiri, Nurulain Fazillah, Nurul Hidayah Ismail, Nur hafiza Rumli serta Muhamad Irrwan Zakaria dan kami telah memilih permainan tarik upih untuk dianjurkan.
Bagi permainan ini, kami sepasukan telah menetapkan agar ianya diadakan di kawasan padang bola jaring IPG Kampus Darulaman, yang bertentangan dengan Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dan Kafeteria Sri Lawang. Tujuannya ialah kerana permukaan padang yang berumput lembut dan adalah amat sesuai bagi peserta untuk menarik upih selain faktor keselamatan kepada peserta.
Kami telah menyediakan lima buah lorong yang panjangnya 10 meter bagi lima buah pasukan dimana setiap pasukan adalah terdiri daripada 6 orang peserta. Disebabkan permainan ini memerlukan dua orang pemain pada satu masa iaitu seorang pemain akan bertindak sebagai penarik dan seorang lagi akan duduk di atas upih untuk ditarik maka kami telah meminta supaya setiap pasukan menyediakan tiga pasangan.  Pasangan yang pertama akan bergerak dari kawasan permulaan ke kawasan pertukaran dan mereka akan bertukar peranan daripada penarik kepada orang yang ditarik dan sebaliknya sehinggalah kepada pasangan kedua diikuti oleh pasangan yang ketiga. Pemenang akan ditentukan melalui bendera yang diangkat oleh pengadil lorong sebaik pasangan ketiga tersebut sampai ke garisan penamat.
Tempoh yang telah ditetapkan bagi permainan ini adalah selama 45 minit dan ia menggunakan sistem pertandingan menyerupai sistem kalah mati. Ini kerana permainan ini tidak sesuai dijalankan secara liga kerana ia merupakan sejenis permainan yang melibatkan stamina serta kerahan kekuatan fizikal dari peserta. Disebabkan bilangan peserta adalah sebanyak 10 pasukan, maka kami telah pecahkan kumpulan tersebut kepada dua buah kumpulan yang sama banyak  iaitu kumpulan A dan kumpulan B dimana kumpulan A terdiri daripada lima buah pasukan, begitu juga dengan kumpulan B. Mengikut kesesuaian, jadual perlawanan pun diatur dimana hanya akan terdapat tiga perlawanan sahaja bagi permainan tarik upih ini termasuk perlawanan akhir. Lima pasukan dari kumpulan A akan memulakan perlawanan pertama, diikuti lima pasukan daripada kumpulan B sebagai perlawanan kedua. Kemudian, dua buah pasukan dari kumpulan A dan kumpulan B iaitu johan dan naib johan kumpulan akan dipilih sebagai empat pasukan yang layak ke perlawanan akhir dan merupakan perlawanan ketiga. Melalui jadual ini, keputusan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga akan dapat ditentukan dengan mudah dan cepat.

KEKUATAN/ KELEBIHAN
            Semasa menganjurkan permainan tradisional tarik upih ini, antara kelebihan yang kami dapati ialah cara bermain permainan ini telah diketahui oleh kebanyakan pelajar-pelajar PISMP semester lima. Justeru, ia akan memudahkan kami dari segi penerangan cara bermain dimana kami hanya perlu menetapkan peraturan yang sesuai untuk menjadikan permainan ini lebih menarik. selain itu, kami dapat menjimatkan masa tanpa perlu memberikan penerangan panjang lebar tentang cara bermain kepada para peserta.
Kelebihan kedua yang kami dapati semasa menganjurkan permainan ini ialah para peserta berasa seronok semasa bermain permainan tradisional tarik upih ini. Ini amat penting kerana permainan kami merupakan acara yang terakhir bagi sesi pagi Pertandingan Permainan Tradisional PISMP semester 5 dimana pada waktu tersebut, semua peserta telah pun keletihan, malah terdapat peserta yang jatuh pengsan. Namun, para peserta masih mampu berseronok semasa bermain permainan tarik upih ini selain memberikan penuh kerjasama kepada kami pihak penganjur. Melihatkan peserta berasa seronok, matlamat kami boleh dikatakan 80% tercapai walaupun dari aspek afektif.
Kelebihan yang ketiga ialah peralatan yang diperlukan bagi menganjurkan permainan tarik upih ini senang didapati dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Antara alatan yang kami gunakan ialah skitel dan tepung sebagai penanda kawasan permainan dan lorong peserta, bendera bagi menentukan kemenangan dan juga upih. Bagi peralatan seperti skitel, dan bendera, kami mendapatkannya di setor alatan Pendidikan jasmani dan tepung pula kami beli di kedai manakala upih pula kami dapatkannya secara percuma hasil bantuan daripada bapa angkat ahli kumpulan kami iaitu Nurainfazillah yang merupakan penduduk dari kampong berdekatan IPG Kampus Darulaman. Selain itu, kawasan gelanggang bagi permainan ini adalah di atas padang rumput yang lembut sekaligus mampu mengurangkan risiko kecederaan dan memudahkan peserta untuk menarik pasangannya di atas upih.
Kelebihan yang terakhir ialah masa bagi permainan ini adalah sangat singkat dan boleh menjimatkan masa selain tidak memerlukan susun atur jadual perlawanan yang banyak.





KELEMAHAN
            Sepanjang permainan ini dijalankan, terdapat beberapa kelemahan yang timbul. Pertama, dari segi pengurusan masa. Pada sesi pendaftaran peserta, terdapat segelintir pelajar yang datang lewat. Ini menimbulkan masalah bukan sahaja kepada pihak urusetia, malahan kepada peserta-peserta lain juga. Akibatnya, perjalanan pertandingan pada pagi 3 Mei terganggu dan menjejaskan para peserta sendiri dimana peserta tidak mendapat rehat yang mencukupi dan terpaksa bermain sehingga ke tengahari dan waktu permainan bagi trik upih ini juga terpaksa disingkatkan.
            Kelemahan kedua yang kami dapati daripada pemilihan permainan ini ialah masalah dalam kumpulan. Maksudnya, bilangan ahli perempuan dan lelaki tidak seimbang diantara setiap kumpulan. Bagi permainan yang memerlukan kudrat dan tahap kecergasan yang tinggi, masalah akan timbul apabila ahli perempuan terpaksa menarik ahli lelaki untuk mencukupkan pasangan bermain seperti yang dinyatakan di atas. Begitu juga apabila terdapat kumpulan yang kesemua ahlinya merupakan lelaki ataupun sebaliknya, maka keputusan permainan akan menjadi tidak adil. Selain daripada masalah di atas, masalah saiz badan turut mempengaruhi dan menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan peserta. Memang mudah bagi ahli yang besaiz badan besar untuk menarik ahli yang bersaiz badan kecil, tetapi apabila tiba waktu untuk brtukar peranan maka masalah mula timbul.
            Kelemahan yang ketiga pula ialah dari segi kawasan gelanggang. Disebabkan permainan tarik upih dijadualkan sebagai permainan penutup untuk sesi pagi, 3 Mei 2010 maka kami sekumpulan telah berpakat pada hari sebelumnya untuk menandakan dahulu kawasan gelanggang dengan menggunakan batu dan tali. Kawasan gelanggang sepatutnya ditandakan dengan skitel dan tepung namun setelah mengambil kira banyak faktor dan risiko contohhya, apabila hujan turun dan kawasan padang menjadi becak, maka akan sia-sialah usaha kami menyiapkan kawasan gelanggang tersebut. masalah timbul pada hari pertandingan dimana para peserta dengan sengaja memasuki atau melintasi kawasan gelanggang kami yang telah ditanda dengan tali dan batu tadi lalu menyebabkan ukuran yang telah dibuat sebelum ini menjadi kucar-kacir. Setiap kali peserta bergerak untuk bermain permainan tradisional yang lain, mereka akan melintasi kawasan yang sama sehingga ahli kumpulan kami terpaksa membetulkan semula ukuran yang telah dibuat.



CADANGAN
            Penyelesaian adalah perlu bagi mengelak masalah-masalah seperti yang disebutkan daripada berulang pada masa hadapan. Berikut merupakan antara cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh pihak pengelola pada masa hadapan iaitu, yang pertama hal berkaitan pengurusan masa. Pihak peserta mungkin datang lewat pada awal pagi kerana bersarapan, maka pihak pengelola harus melihat kepada perkara ini dan melakukan sesuatu mengenainya. Sebagai cadangan, pihak pengelola boleh memberitahu dan menyediakan sarapan kepada peserta di tempat pertandingan. Bagi peserta yang sengaja datang lewat pula, wujudkan satu peraturan tegas dan nyatakan di dalam borang peserta bahawa peserta yang lewat mendaftarkan diri akan dibatalkan penyertaan kumpulannya. Ini akan menyebabkan setiap ahli rasa bertanggungjawab tentang kumpulan dan tidak mementingkan diri sendiri sahaja.
            Cadangan kedua ialah berkenaan dengan masalah dalam kumpulan. Pihak pengelola sepatutnya sedar dan harus mengambilkira akan faktor perbezaan individu seperti jantina, saiz dan bentuk badan peserta. Mungkin peserta tidak patut ditentukan kumpulannnya dan dibiarkan bertanding mengikut kelas mereka. dengan ini, peserta akan memilih calon yang sesuai dari segi jantina  dan saiz badan sebagai wakil bagi permainan seperti tarik upih ini. Selain itu, pastikan bilangan ahli wanita dan lelaki adalah seimbang bagi mengelakkan sebarang bentuk bantahan samada sebelum, semasa dan selepas pertandingan dijalankan.
            Cadangan seterusnya ialah berkenaan dengan kawasan gelanggang. Bagi mengelakkan kawasan permainan dilintasi atau dirosakkan oleh peserta, tandakan pita keselamatan disekeliling kawasan gelanggang dan letakkan notis atau tanda peringatan yang bertindak sebagai amaran kepada para peserta melainkan pihak penganjur sahaja
            kesimpulannya, sesuatu projek mahupun pertandingan itu memerlukan perancangan yang rapi dimana ia merupaka elemen terpenting dalam bidang pengurusan terutamanya dalam dunia sukan. Setiap kelemahan yang timbul selepas sesuatu pertandingan itu harus diperbaiki dimana ia akan bertindak sebagai sebuah panduan agar perjalanan pertandingan pada masa akan datang akan berjalan dengan lebih lancar.

No comments:

Post a Comment