Pages

Saturday, October 30, 2010

PPISMP SEM 3 - BMK TEKS UCAPAN (EN SHAFIE B. HASSAN)

  

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, para pensyarah yang saya muliakan, yang dikasihi rakan sepelatih sekalian serta para hadirin sekalian. Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, segala puji hanya baginya yang memiliki sekalian alam ini. Pada hari yang mulia ini, ingin saya sampaikan sebuah syarahan yang bertajuk  ”Gejala samseng dikalangan pelajar perlu ditangani segera”. Acap kali kita terbaca dan sering dipaparkan di dada akhbar tentang penglibatan golongan pelajar di dalam pelbagai gejala sosial dan disiplin, antaranya gejala dadah dan rokok, lumba haram, pelacuran, ponteng sekolah, gangsterism dan lain-lain. Sejak akhir-akhir ini kes gangsterism atau gejala samseng dikalangan pelajar semakin berleluasa, bagaikan barah yang sedang merebak dengan pantas dan langkah-langkah bagi mengubati barah yang kian parah di institusi persekolahan ini perlu diambil dengan segera.

            Para hadirin yang saya muliakan,

Sebelum saya meneruskan syarahan saya dengan lebih lanjut, ingin saya menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan istilah gangsterisme dan disiplin supaya hadirin sekalian lebih jelas dengan tajuk syarahan saya pada hari ini. Memetik kata Dr. Amir Mohd Selleh, Unit Penyelidikan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Kajian Gangsterisme di Sekolah Menengah Harian, mendefinisikan gangsterisme atau gejala samseng di sekolah sebagai kewujudan kumpulan samseng yang melibatkan para pelajar sekolah harian sebagai ahlinya sama ada sebagai ahli aktif atau penyokong sesuatu kumpulan dalam melakukan salah laku dan pelanggaran disiplin dan undang-undang. Malahan, kumpulan pelajar yang terlibat dalam kumpulan samseng ini terdiri daripada pelbagai jantina, etnik, peringkat umur, peringkat persekolahan dan jenis tempat kediaman mereka. Istilah disiplin menurut Kamus Dewan pada tahun 1984 secara amnya adalah sebagai latihan terutamanya pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri manakala Laporan Jawatankuasa Kabinet mengenai Pelaksanaan Dasar Pendidikan pada tahun 1979 pula menyebut disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu menghormati undang-undang, bekerja mengikut tertib, menghormati hak individu, mengamalkan tingkah laku yang baik, saling hormat menghormati, tolong menolong dan membaiki keadaan dalam usaha membina.

Para hadirin yang saya hormati,

Sengaja saya kupas istilah ini satu persatu bagi membuka pemikiran dan sebagai santapan minda hadirin sekalian. Istilah disiplin dan gejala semseng atau gangsterisme di kalangan pelajar ini saling berkaitan bagai isi dengan kulit  kerana ia gejala samseng ini melibatkan disiplin pelajar serta keberkesanan badan disiplin di sekolah sendiri. Terdapat beberapa salahlaku dan masalah disiplin yang dikategorikan dalam masalah samseng dikalangan pelajar sekolah ini, menurut sumber Unit Penyelidikan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan Oktober 1999 di dalam Kertas Penyelidikan Kementerian Malaysia menyenaraikan terdapat 13 jenis salah laku yang melibatkan kumpulan pelajar samseng ini mengikut respon pengetua dan guru-guru di sekolah iaitu ;berjudi, mencuri, melawan guru, melawan pengawas, peras ugut, buli, pelacuran salah guna dadah, bawa senjata, cabul kehormatan, ancam murid, mengancam guru dan menceroboh. Sementara itu terdapat 5 salah laku lucah yang sering melibatkan kumpulan gengster di sekolah mengikut respon pengetua dan guru sebagaimana senarai berikut :- berkhalwat, intai murid perempuan, bawa bahan lucah, guna kata lucah dan lukis gambar lucah.
 Berdasarkan pennyelidikan di atas kita dapati bahawa aktiviti kumpulan gengster di sekolah agak menyeluruh dalam pelbagai kegiatan. Ini merupakan satu fenomena yang kurang sihat terhadap iklim pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah di negara kita. Masalah serius atau tidak sesuatu salah laku itu bukan menjadi pokok perbincangan syarahan ini. Saya tidak akan menghuraikan satu persatu sesuatu kes gensterisme di atas. Salah laku melawan guru termasuk mengugut, merosakkan harta benda guru sering berlaku. Baru-baru ini akhbar harian melaporkan tentang ancaman pelajar dengan membaling mercun ke kawasan sekolah , mengancam guru dengan bersenjatakan parang dan sebagainya. Apa yang mencemaskan kewujudan salah laku tersebut walaupun satu kes ia boleh menjejaskan iklim persekolahan dan mengganggu pelbagai peringkat proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Hadirin sekalian,

Bagi membendung gejala samseng dikalangan pelajar-pelajar,  kita perlu mengetahui apakah punca-punca yang menyebabkan gejala samseng dikalangan pelajar ini? Bahkan kita perlu menyelami setiap punca dengan mendalam supaya kita dapat mengurangkan gejala ini seterusnya mencegahnya daripada merosakkan pelajar-pelajar di negara ini yang akan menjadi belia tonggak negara. Banyak faktor yang menjurus kepada isu gensterisme di sekolah. Namun disebalik faktor-faktor tersebut terdapat satu faktor utama yang menjadi kunci kepada faktor-faktor yang lain. Faktor utama tersebut ialah kurangnya bimbingan dan asuhan agama oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka di rumah. Dalam konteks ini ia bukan sahaja terbatas kepada pelajar-pelajar muslim sahaja bahkan juga pelajar-pelajar non-muslim. Di sebabkan kekurangan asuhan dan bimbingan dari rumah maka anak-anak kurang mempunyai daya tahan dalam menghadapi cabaran dan rintangan hidup. Mereka mudah terpengaruh dengan persekitaran, rakan sebaya, media massa, internet, gaya hidup yang mengejar keseronokan dan hiburan, meterialistik dan sebagainya. Keadaan ini akhirnya menjuruskan kepada pelbagai gejala jenayah dan salah laku. Di sekolah wujudnya kumpulan-kumpulan samseng atau gengster yang sering melakukan jenayah dan mengganggu ketenteraman dan mencemar iklim persekolahan. Maka tidak hairanlah sehingga kini gengsterisme menjadi isu hangat yang perlu ditangani segera.





Antara punca-punca gejala ini semakin berleluasa pada zaman ini ialah kerana terpengaruh dengan pengaruh media massa dan arus perdana globalisasi serta tamadun materialistik masa kini.  Pengaruh media massa dapat kita lihat apabila terdapat lambakan majalah-majalah hiburan yang tidak bermoral dan tidak beretika di pasaran serta dijual pada harga yang murah serta mampu dibeli oleh golongan pelajar. Selain itu, pengaruh television yang menayangkan filem-filem ganas dan mempunyai unsur-unsur seks secara bebas telah memberi kesan ke atas pembentukan diri pelajar. Melalui gaya hidup yang berasaskan hiburan yang dihidang didepan mata pelajar, mereka menjadi lalai dan alpa tentang dunia akademik yang perlu dilepasi. Pelajar-pelajar juga mudah terpengaruh dengan budaya barat yang tidak sihat  seperti budaya punk, skin head, black metal, gothic dan lain-lain. Maka tidak menghairankan apabila mereka menjadi keliru dan tidak tahu memilih saluran maklumat yang terbaik bagi proses membina kehidupan mereka.

Punca yang seterusnya pula ialah pengaruh dari persekitaran. Hadirin yang saya kasihi, dengan arus perdana globalisasi yang telah dicapai oleh negara pada masa kini, kita dapat melihat pusat-pusat hiburan, kafe siber, kedai-kedai video game dan berbagai-bagai pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan. Memburukkan lagi keadaan apabila tiada penguatkuasaan undang-undang dari pihak berwajib atau pihak berkuasa tempatan yang telah menambahkan lagi kemelut dan keruntuhan akhlak moral pelajar sehingga akhirnya membawa remaja dan pelajar terlibat dengan aktiviti jenayah dan kumpulan samseng atau gangster. Contohnya, pusat- pusat hiburan ini akan dijadikan tempat mereka melepak serta berkumpul bagi berseronok dan melakukan agenda kumpulan masing-masing samada merokok, menghisap dadah, meragut  dan mengganggu ketenteraman orang awam.

Punca seterusnya ialah kerana sifat semulajadi pelajar itu sendiri. Kebanyakan remaja sentiasa merasakan bahawa mereka sudah dewasa dan matang. Mereka akan berasa hidup mereka perlu bebas dari kongkongan ibu bapa dan peraturan-peraturan. Sekiranya mereka berasa tidak selesa dan terasa diri terlampau dikawal, pelajar-pelajar ini akan memberontak  dan melanggar peraturan peraturan sekolah dan juga peraturan peraturan lain. keluhan dan rasa tidak puas hati mereka akan dilepaskan dalam bentuk yang ganas seperti memecahkan cermin tingkap kelas, membakar sekolah, menconteng dinding sekolah, membuli dan juga mengugut. Selain daripada pemberontakan jiwa remaja dan darah panas mereka, pelajar pelajr ini juga menyertai kumpulan samseng ini sebagai cara untuk menjadikan diri mereka tumpuan ramai khususnya dikalangan rakan sebaya. Faktor ini juga berkaitan dengan kurangnya perhatian daripada ibu bapa yang terlampau sibuk mengejar hal kemewahan dunia dan tidak berkesempatan bermesra dengan anak-anak mereka malah tanggungjawab ini telah diserahkan sepenuhnya kepada cikgu di sekolah.

Para hadirin yang saya muliakan sekalian, selain punca-punca yang saya senaraikan tadi, terdapat satu lagi faktor yang menyumbang kepada penglibatan pelajar didalam isu gajala samseng di sekolah. Faktor ini  ialah faktor pengaruh dari ahli keluarga itu sendiri mahupun pengaruh jran pelajar yang tinggal sekampung atau di kawasan kediaman yang sama. Pelajar-pelajar akan lebih cenderung untuk menyertai kumpulan kumpulan samseng apabila terdapat ahli keluarga dan jiran yang telah tersedia menjadi ahli kepada kumpulan samseng. Kemungkinan pelajar ini telah dipengaruhi oleh ahli keluarga sendiri adalah amat tinggi walaupun bilangan yang terlibat adalah seorang. Mungkin juga, pelajar ini menyertai kumpulan samseng ini kerana ia merupakan adat keluarga yang telah diamalkan. Selain itu, pelajar turut akan terpengaruh atau dipaksa masuk ke dalam kumpulan samseng tertentu apabila mereka tinggal di kawasan-kawasan kediaman di mana terdapat kumpulan gangster dan samseng yang bergerak aktif. Pelajar pelajar akan terpengaruh kerana ramai diantara kawan-kawan mereka menyertai kumpulan sertab mempunyai kumpulan dengan identiti masing-masing seperti seolah olah terdapat trend dikalangan mereka ini samada terlibat secara aktif ataupun sekadar menjadi penyokong kumpulan samseng tersebut. Pergaulan pelajar dengan ahli kumpulan samseng juga akan mencetuskan keinginan di dalam diri mereka untuk mencuba yang akhirnya mengakibatkan pertambahan ahli kumpulan kumpulan samseng bukan sahaja di kawasan kediaman malahan berlarutan di sekolah.

Hadirin yang saya hormati,

                        Kita tahu banyak langkah dan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan serta pihak sekolah bagi membendung masalah ini namun gejala samseng dikalangan pelajar ini masih lagi berleluasa dan jika dibiarkan akan dikhuatiri menjejaskan iklim pesekolahan serta menggangu prestasi akademik negara dan membantutkan visi negara dalam membentuk negara yang membangun dari segi intelek. Setelah punca gejala ini kita ketahui, untuk membendung masalah ini terdapat usaha yang boleh ditambah oleh kerajaan bagi mengurangkan dan seterusnya menangani sepenuhnya gejala semseng dikalangan pelajar ini. Yang pertama ialah langkah yang patut diberi perhatian oleh golongan ibu bapa untuk memastikan masalah gejala samseng dikalangan pelajar ini dapat  dibendung. Pihak ibu bapa perlu memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat bimbingan agama dan moral yang secukupnya agar mereka mempunyai keimanan yang mantap dan mampu membentuk keperibadian dan akhlak serta mempunyai daya tahan dalam mengharungi hidup yang penuh dengan rintangan dan cabaran. Keimanan yang mantap akan mencegah diri seseorang dari perbuatan keji dan mungkar sekali gus menghindar mereka dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti kumpulan samseng dan gengster di sekolah atau di mana sahaja. Firman Allah swt yang bermaksud bahawa sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar (al-Ankabut : 45) adalah merupakan menifestasi didikan dan bimbingan yang mantap dari rumah. Faktor agama dan moral berkait rapat antara satu sama lain dalam membentuk kepribadian dan akhlak serta moral yang tinggi di kalangan remaja. Kewujudan suatu kod moral ialah sifat bagi semua agama yang utama di dunia. Dalam agama-agama seperti Islam, Kristian, Hindu, nilai-nilai agama adalah terjalin begitu kuat sehingga perbezaan di antara mereka menjadi tidak ketara dan tidak penting. Pendek kata agama dapat memainkan peranan dalam pembentukan akhlak yang baik dan mempengaruhi kelakuan akhlak seseorang individu. (W.P.Yong, 1989) Oleh yang demikian penekanan kepada pendidikan agama amat penting untuk membentuk individu yang seimbang sekali gus menjauhkan diri dari terlibat dengan aktiviti gengsterisme.

                                    Selain itu, Di sekolah pula penguatkuasaan disiplin perlulah tegas dan berterusan. Usaha yang berterusan perlu dilakukan termasuk  mengukuh, memperjelas dan menentukan kebolehgunaan surat-surat peraturan dan pekeliling yang berkaitan sejajar dengan perubahan-perubahan persekitaran dan masa. Sistem pengurusan disiplin di sekolah juga perlu berkesan meliputi rekod individu pelajar, rekod pelanggaran disiplin serta hukuman dan ganjaran.Pengawalan kumpulan gengster dan samseng perlu dilakukan secara bersepadu atau melalui kaedah permuafakatan dengan melibatkan semua kumpulan atau pihak iaitu sekolah, ibu bapa, masyarakat, kerajaan dan penguatkuasa undang-undang. Kerjasama perlu dibentuk melalui satu rangkaian yang jelas dan melibatkan pelbagai aktiviti seperti penyampaian dan penyaluran maklumat tentang sesuatu kegiatan gengster dan samseng yang melibatkan pelajar sekolah harian kepada pihak pengurusan sekolah dan pihak penguatkuasa undang-undang. Kerjasama dalam bentuk perancangan dan penyediaan pelan tindakan secara bersama berdasarkan kefahaman yang jelas untuk mencegah dan membasmi aktiviti geng dan samseng di kalangan pelajar. Aktiviti pengawalan dan tindakan bersama juga perlu bagi menghapus aktiviti-aktiviti gengster dan samseng di dalam sekolah khususnya tindakan yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang dan disiplin.


Seterusnya, pihak yang berwajib dan berkaitan perlulah melemahkan dan menghapuskan faktor-faktor penarik dan penolak yang mempengaruhi pelajar untuk terlibat dalam kumpulan-kumpulan gengster dengan menjadikan sekolah sebagai faktor yang kuat untuk menarik semua kumpulan pelajar agar sayangkan sekolah dengan menyediakan sekolah dan persekitannya sebagai tempat yang kondusif dan seronok untuk belajar. Antara faktor-faktor penarik dan faktor penolak ialah tersebut ialah pertumbuhan pusat-pusat hiburan yang bagai cendawan, pengaruh media massa dan arus kemodenanserta pengaruh budaya barat, malah kegagalan dalam bidang akademik.

Para hadirin yang saya muliakan dan saya hormati,

Kesimpulannya, gejala samseng dikalangan pelajar bukanlah sebuah isu yang boleh dipandang muda dan diambil ringan, isu ini sejak sekian lama telah wujud dalam dunia pendidikan di negara kita pada setiap lapisan tahap pendidikan samada pendidikan rendah, menengah rendah dan tahap institusi pengajian tinggi dan pada masa kini ia umpama bom jangka masa yang menunggu masa untuk meletup. Sebelum masalah ini menjadi lebih parah, adalah diharapkan semua pihak bekerjasama bagi membendung masalah ini. Pihak ibu bapa terutamanya perlulah memainkan peranan penting dalam menjayakan langkah mengatasi ini. Didikan dan bimbimngan seawal dari kecil melalui institusi kekeluargaan perlulah disemai bak kata pepatah, ” kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Melalui didikan ibu bapa terutamanya akan membentuk jati diri pelajar tersebut yang seterusnya membina ketahanan iman dan mental dalam menghadapai cabaran arus perdana globalisasi. Ketahanan iman yang terdapat di lubuk hati pelajar ini akan melahirkan pelajar yang luhur, suci dan bersih dari segala masalah dan salah laku jenayah dan akhirnya mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara kita.









No comments:

Post a Comment