Pages

Monday, November 1, 2010

PISMP 2 - PK LAPORAN PBS (PN SHARINA BT SHAHABUDIN)


PENGENALAN
            Pada 24/9/2008 hingga 28/9/2008, saya dan beberapa orang rakan telah pergi ke Sekolah Sultan Ahmad Tajuddin untuk melakukan tugasan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS). Tugasan pada kali ini telah diberi oleh Jabatan Pendidikan Khas mengikut Opsyen yang diambil di Institut Perguruan. Selama empat hari di sekolah tersebut, kami perlu mencari segala maklumat tugasan yang berkaitan dengan murid, guru dari Program Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) serta maklumat untuk subjek pengurusan tingkah laku. Tugasan kami bermula pada hari kedua dan selepas mendapat kebenaran oleh Penolong Kanan Pendidikan Khas, Pn Hayati kami menjadikan Bilik PKBP di sekolah tersebut sebagai ‘ibu pejabat’ kami untuk melakukan tugasan. ( rujuk rajah 1(a) dan 1(b) )

 
Kelas Program Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) di sekolah ini adalah sangat unik dimana terdapat banyak stesen pembelajaran seperti stesen kemahiran hidup, bahasa melayu, pendidikan islam dan matematik. Stesen ini juga unik kerana ia fleksibel dan guru akan bergerak mencari kelasnya jika ada sesi pengajaran bagi memudahkan murid-murid PKBP. Ini kerana murid-murid tersebut terdiri daripada pelbagai kategori kecacatan termasuklah Spastik dan Sindrom Down, maka jika setiap kali pertukaran waktu murid harus bergerak ia akan menyusahkan dan memenatkan mereka terutama penghidap spastik. Sasaran kami adalah stesen bahasa, yang telah dikendalikan oleh Cikgu Farahwahida Bt. Mohamed Zahiruddin untuk sesi pengajaran Bahasa Melayu.
            Pada sesi pengajaran Bahasa Melayu tersebut, saya telah melakukan pemerhatian sendiri walaupun melakukan tugasan bersama rakan-rakan yang lain di mana Cikgu Farah mengajar kemahiran membunyi, membaca dan menulis sukukata yang melibatkan huruf-huruf vokal ‘a’,’e’,’i’, ‘o’ dan ’u’ kepada murid-murid. Ini kerana pada set induksi sesi pengajaran, beliau telah menulis beberapa sukukata mudah dan menyuruh murid-murid membacakannya. Pada rancangan pembelajaran hariannya juga telah mengiakan tekaan saya kerana terdapat tajuk aktiviti pengajaran pada hari tersebut yang berbunyi ‘sukukata’.
Sebagai aktiviti pertama, beliau telah memberikan sekeping kad sukukata kepada setiap murid dan murid-murid telah diminta supaya menyebutkan sukukata yang telah diberi sehingga berjaya(rujuk rajah 2(a) ). Pada aktiviti seterusnya, Cikgu Farah telah memberikan sekeping kertas berwarna hijau berukuran A4 kepada murid-murid. Beliau kemudiannya meminta murid-murid supaya melipat kertas yang telah diberi (rujuk rajah 2(b)).  Pada pemerhatian saya, beliau melakukan tindakan yang bijak kerana secara tidak langsung beliau telah memasukkan unsur-unsur latihan kemahiran motor halus dalam sesi pengajarannya. Ini kerana, melipat kertas mungkin perkara yang senang bagi murid-murid normal tetapi tidak kepada murid-murid khas PKBP, contohnya murid-murid yang mengalami spastik. Mereka ini menghadapi kesukaran dalam mengawal otot-otot badan, kaki dan tangan kerana masalah yang terjadi di bahagian otak. Jadi adalah satu langkah bijak oleh beliau meminta murid melipatkan kertas tersebut.
            Pada aktiviti yang seterusnya, beliau telah membacakan sukukata-sukukata yang dimulakan dengan huruf  ‘b’ seperti ‘bah’, ‘bit’, ‘bis’ dan lain-lain kepada murid-murid. Murid-murid dikehendaki menulis sukukata yang telah dibacakan oleh beliau tadi, tetapi murid-murid harus menulisnya di dalam petak-petak yang terdapat di kertas A4 berwarna hijau yang terhasil dari lipatan pada aktiviti sebelumnya.(rujuk rajah 2(a) dan 2(c)). Pada aktiviti ini juga dapat saya perhatikan perkara tersirat apabila guru membacakan sukukata, menyuruh murid menulis sukukata di dalam petak  kerana aktiviti ini secara tidak langsung menguji penguasaan murid-murid dalam mengenali sukukata yang dibacakan, mengenali huruf-huruf dalam sukukata tersebut serta melatih murid berdisiplin agar kemas dalam melakukan kerja. Ini kerana, sekiranya murid-murid tidak menulis di dalam kotak hasil lipatan kertas tersebut, kerja mereka akan menjadi kotor, comot dan tidak kemas. 

 
Pada akhir sesi pengajarannya, Cikgu Farah menyemak sukukata yang ditulis oleh murid-murid dan membetulkan kesalahan mereka. Murid-murid yang salah akan menyebut, membunyikan dan menulis sukukata yang betul semula. Melalui aktiviti semakan, murid-murid mengetahui kesalahan mereka, membezakannya dan membetulkan semula kesalahan mereka.
            Bilangan murid-murid dalam sebuah kelas bagi Program Khas Bermasalah Pembelajaran ini adalah amat terhad. Sebagai contoh, hanya terdapat enam orang murid dalam kelas yang dimasuki oleh Cikgu farah (rujuk rajah 3). Kesemua enam-enam pelajar adalah berbangsa melayu yang terdiri daripada tiga orang pelajar lelaki dan tiga orang pelajar perempuan. Jika dilihat dari segi kategori pula, terdapat 4 orang murid dikategorikan sebagai lembam, seorang murid sebagi hyperaktif dan seorang murid dalam kategori spastik. Semasa berada di kelas ini barulah saya mengerti dan percaya bahawa walaupun murid-murid khas ini terdiri dari pelbagai kategori tetapi mereka berusaha menuju ke arah yang sama iaitu untuk mendapatkan pendidikan.

 
Jangkamasa bagi pembelajaran dan pengajaran pada sesi Bahasa Malaysia berlangsung selama 30 minit untuk sebuah sesi. Jangkamasa ini adalah sangat bersesuaian dengan tahap murid-murid khas bermasalah pembelajaran kerana jika masa yang diperuntukkan terlalu lama, murid akan bertindak agresif dan mengganggu sesi pembelajaran dalam sesebuah kelas. Begitu juga jika masa terlalu singkat seperti 15 minit sebuah sesi, dikhuatiri objektif rancangan pengajaran yang dirancangkan pada hari tersebut gagal kerana murid tidak faham apa yang diajar oleh guru.
            Oleh kerana sesi pembelajaran bahasa pada hari tersebut adalah kemahiran membunyikan, membaca dan menulis sukukata, maka peralatan yang digunakan oleh guru adalah sangat ringkas dan mudah digunakan serta mudah dipelajari murid. Alat dan bahan bantu mengajar yang digunakan Cikgu Farah ialah kad sukukata, kad gambar, papan putih, kertas A4 berwarna dan juga lembaran kerja. Dalam lembaran kerja yang digunakan, dapat dilihat ciri-ciri tertentu pemilihan lembaran kerja tersebut dengan gambar kartun yang menarik, saiz gambar yang besar dan juga saiz tulisan yang besar bagi memeudahkan pembacaan dan pemahaman murid. Selain itu, petikan teks yang terkandung dalam lembaran kerja juga adalah dalam kuantiti yang sedikit, sesuai dengan murid-murid bermasalah pembelajaran ini.
            Keadaan kelas di dalam Bilik Program Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP), adalah sangat luas dan ceria. Kebanyakan dinding dan sudut-sudut bilik dipenuhi dengan carta-carta nombor, huruf dan juga gambar-gambar alat bantu mengajar termasuklah di bahagian syiling bilik tersebut. Hiasan yang disusun begini bukan sahaja nampak menarik tetapi secara tidak langsung memberikan input kepada murid-murid yang sentiasa lalu lalang di sudut-sudut sekitar bilik tersebut. (rujuk rajah 4(a) dan 4(b))

 
Semasa sesi pengajaran berlangsung pula, didapati sesetengah murid dapat memberikan respons yang baik dan cepat manakala sebahagian lagi agak perlahan, tetapi keadaan ini juga difahami kerana faktor kategori yang mereka tergolong. Contohnya, murid hyperaktif akan cuba menjawab kebanyakan soalan yang ditanyakan guru walaupun tidak semuanya betul akan tetapi murid-murid lembam pula hanya akan berdiam diri dan tiada keyakinan. Manakala, murid kategori spastik pula akan mejawab dengan tahap mereka. Guru tidak akan memaksa murid spastik untuk menjawab tetapi dapat dilihat bahawa murid spastik juga memberi respons apabila guru bertanyakan soalan tetapi dengan gaya tersendiri.



RUMUSAN
            Secara keseluruhannya tugasan ini telah dapat diselesaikan dengan jayanya walaupun dalam tempoh masa yang singkat iaitu selama empat hari sahaja. Kami memulakan tugasan dengan menjadikan Bilik Program Khas Bermasalah Pembelajaran sebagai rujukan utama dimana di dalam bilik tersebut  dibahagikan kepada stesen-stesen mengikut matapelajaran dan guru yang bergerak apabila berlaku pertukaran waktu. Hal ini berbeza sekali dengan senario di kelas normal di mana murid yang akan bergerak mencari kelas seterusnya apabila cukup waktu.
            Semasa sesi pengajaran Bahasa Melayu, guru telah mengajar kemahiran membunyikan sukukata dan menyebut sukukata. Namun secara tidak langsung, terdapat juga unsur-unsur terapi di terapkan semasa sesi pembelajaran berlangsung bilamana kemahiran melipat dan menulis (motor halus) dilakukan oleh murid. Ini secara tidak langsung membantu murid-murid bukan sahaja dari segi akademi tetapi juga jasmani. Selain itu, kekemasan juga dititik beratkan dalm kerja-kerja rumah.
            Jangkamasa pelajaran adalah selama 30 minit sesuai dengan tahap murid-murid PKBP. Jika terlalu lama murid akan menjadi bosan dan mula bertindak agresif serta mengganggu sesi pembelajaran dalam kelas akan tetapi jika masa yang terlalu singkat pula ditakuti objektif pembelajaran tidak tercapai. Maka, guru harus bijak menguruskan sesi pembelajaran dan menggunakan segala pengalaman dan pendekatan bagi menarik minat murid untuk terus belajar.
            Bahan bantu mengajar yang digunakan perlulah jelas, mudah dibaca dan menarik. Ini dapat dilakukan berdasarkan ciri-ciri seperti berikut iaitu tulisan bersaiz besar, teks yang ringkas dan mudah difahami  juga disertakan dengan gambar yang menarik. ManakalaKeadaan kelas mampu menarik perhatian murid dengan memenuhkan hiasan-hiasan di dalamnya mengguanakan carta nombor, carta huruf, kad sukukata dan lain-lain hiasan yang mampu memberikan input kepada pelajar.
            Akhir sekali, respons yang diberikan murid sewaktu proses P&P berlangsung adalah bergantung kepada tahap intelek dan kategori kecacatan yang dialami murid-murid tersebut. Ada murid yang akan memberi respons dengan cepat,dan ada juga yang mendiamkan diri dan bermacam-macam gelagat.

No comments:

Post a Comment