Pages

Monday, November 1, 2010

PISMP 3 - PK (EN AZMI ABU BAKAR)

Pengenalan

Pada 8/3/2009 hingga 12/3/2009, saya telah menjalani Latihan Pengalaman Berasaskan Sekolah saya di Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra kedah Darul Aman. Tugasan yang diberikan adalah supaya saya menjalankan pentaksiran terhadap murid yang dipilih dan dalam beberapa bidang iaitu kemahiran pembelajaran asas, kemahiran tingkah laku, kemahiran sosial, kemahiran bahasa juga matematik.

Pada helaian seterusnya saya telah lampirkan murid yang dipilih beserta laporan mengenai tugasan sepanjang seminggu menjalankan Latihan Pengalaman Berasaskan Sekolah di sekolah tersebut. Murid yang saya pilih merupakan seorang murid yang mengalami masalah disleksia yang tidak mempunyai masalah dalam beberapa aspek seperti sosial, tingkah laku yang normal seperti kanak-kanak lain tetapi mempunyai masalah dalam kemahiran pembelajaran asas yang akhirnya memberi kesan kepada kemahiran bahasa dan matematiknya.



 
Kemahiran Pembelajaran Asas

            Komponen ini merupakan komponen yang paling awal saya perhatikan kepada rekod ujian diagnostik murid tersebut. Kebolehan pembelajaran asas merupakan kesediaan individu itu untuk mempelajari sesuatu berdasarkan keupayaan menal dan fizikalnya. Komponen ini terbahagi kepada tiga aspek iaitu  pertama; kemahiran pengamatan seperti penglihatan, pendengaran, kinestetik, taktil dan haptik, kedua; kemahiran konseptualisasi dan mengorganisasi dan terakhir ialah kemahiran keputusan memproses maklumat. 

Komponen ini saya perhatikan kerana kepentingannya membolehkan murid-murid membina kemahiran baru berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Ini bermakna komponen ini merupakan asas yang membawa kepada pergerakan yang lebih sukar dan saling berkait.  

Selepas melihat kepada rekod ujian diagnostik, secara umumnya saya dapati murid tersebut mempunyai masalah pengamatan dari aspek penglihatan kerana keliru dengan huruf dan nombor. Contohnya, menulis huruf secara terbalik, salah tulis kedudukan huruf dan nombor dan lain-lain. Keadaan ini mendatangkan beberapa masalah kepada murid itu sendiri terutamanya untuk mempelajari matapelajaran Bahasa Malaysia dan matematik. Masalah ini akan saya huraikan dalam komponen Bahasa dan matematik di muka surat lain.


Kemahiran Sosial

            Komponen seterusnya yang saya perhatikan ialah kemahiran sosial. Melalui kemahiran sosial, aspek yang saya fokuskan ialah tentang bagaimana murid tersebut mengawal dan menguruskan dirinyadi sekolah, ketika bersama kawan-kawan dan ketika di dalam kelas. Selain itu, saya juga melihat kepada faktor lain seperti persekitaran yang mana selalunya akan mempengaruhi kemahiran sosial seseorang.

            Setelah beberapa ketika melakukan pemerhatian, saya dapati murid ini tiada masalah dalam kemahiran sosialnya. Ini kerana dapat dilihat murid tersebut mempunyai ramai kawan dan tidak seperti murid-murid khas lain yang selalunya duduk keseorangan mengasingkan diri di sudut-sudut tertentu di dalam kelasnya. Apabila tiba waktu rehat, murid ini akan berlari ke kantin untuk makan dan bermain bersama kawan-kawannya. 

            Walaubagaimanapun, saya tidak menolak bahawa faktor pergaulan bersama jiran-jiran dan rakan sebaya di rumah dan bahawasanya murid ini mendapat perhatian wajar dan kasih sayang penuh daripada ibu bapa dan guru telah menyebabkan hubungan sosialnya menjadi positif, berbeza dengan kanak-kanak khas lain yang sebayanya. 


Komponen kemahiran tingkah laku.

            Komponen seterusnya ialah kemahiran tingkah laku. Tingkah laku merupakan karektor asas benda hidup. Menurut teori Behavioris, manusia dikatakan belajar apabila terdapat perubahan pada tingkahlakunya. Tingkah laku seseorang juga boleh berubah mengikut persekitarannya. Russ (1974), menyatakan bahawa terdapat perhubungan di antara tingkah laku dan persekitaran. 

 Melalui komponen ini, cara pentaksiran yang saya lakukan ialah melalui pemerhatian secara langsung. Pemerhatian ini saya lakukan pada sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di kelasnya. Pada awal sesi pembelajaran, dapat dilihat murid ini mempunyai tingkah laku suka mengetuk meja dengan pensil yang mana dia tidak menyedari tindakannya itu sedang mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh gurunya. Selain itu, murid ini juga mempunyai masalah tingkah laku dengan mengganggu kawan-kawannya yang sedang menyiapkan kerja apabila dia telah menyiapkan kerjanya. 

Walaubagaimanapun, guru kelasnya mengambil langkah bijak untuk mengawal tingkah lakunya dengan mengenakan “time-out” kepada murid tersebut. Dia diminta berpindah tempat duduk di sebuah meja di sudut terpencil, jauh di belakang kelas daripada rakan-rakannya yang lain. Apabila dipisahkan daripada kawannya,tingkah laku murid tersebut kelihatan terkawal dan dia tidak menimbulkan sebarang masalah. 

Walaupun begitu, murid tersebut merupakan seorang yang rajin kerana selalu menyiapkan kerjanya dan melalui pemerhatian saya, tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid ini tidaklah sampai ke tahap yang begitu membimbangkan sperti tingkah laku mmencabar dan agresif yang boleh mendatangkan kecederaan.

Kemahiran Bahasa

            Pentaksiran seterusnya melibatkan komponen bahasa. Melalui rekod ujian diagnostik yang saya perolehi daripada guru yang mengajar murid ini, saya dapati murid ini mempunyai masalah yang besar dalam kemahiran bahasa. Masalah dalam kemahiran ini juga berkaitan dengan masalah kemahiran pembelajaran asas iaitu  aspek pengamatan. 

            Melalui aspek pengamatan, masalah yang ketara dapat dilihat dalam kemahiran bacaan apabila murid terkeliru dengan sebutan huruf seperti sebutan /p/ dibunyikan sebagai /q/ atau sebaliknya , /j/ dibunyikan sebagai /g/ dan lain-lain. Akibat daripada masalah ini, murid tidak dapat membatang sukukata.

Selain itu, murid tidak dapat mendiskriminasikan bunyi apabila membaca  pekataan “ubi” menjadi ”ibu” dan “abu” menjadi “ibu”. Masalah ini kelihatan seperti remeh tetapi akan memberikan kesan kepada pembelajaran kemahiran yang akan seterusnya. Contohnya, dengan kesalahan sebutan perkataan-perkataan ini, murid sama sekali telah mengubah makna perkataan tersebut.

            Manakala dari aspek kemahiran menulis, murid telah terkeliru dengan bentuk huruf dan kedudukannya. Sebagai contoh, murid telah menulis perkataan yang sepatutnya “gajah” kepada “gagah”, “sabun” kepada “sadun” dan “rumput” menjadi “rumqut”. Walaubagaimanapun, murid ini tidak mempunyai masalah apabila membaca menggunakan huruf-huruf besar. 


Kemahiran Matematik

            Secara umumnya, masalah yang dihadapi oleh murid ini adalah seperti masalah yang dihadapi dalam kemahiran bahasa yang juga mempunyai kaitan dengan kemahiran pembelajaran asas. Antara masalah yang dihadapi oleh murid ini adalah seperti berikut iaitu masalah dari segi orientasi kedudukan. Contohnya salah menulis kedudukan nombor dan terkeliru dengan bentuknya walaupun ia mempunyai perbezaan dari segi nilainya. Selain itu, murid terbabit juga menghadapi masalah turutan iaitu mengingati sesuatu mengikut susunan. Contohnya, menulis 16 menjadi 19, 15 – 2 jadi 51 -2.Kenapakah masalah-masalah ini perlu ditaksirkan? Ini adalah supaya guru Pendidikan Khas boleh melakukan intervensi dan merancang pengajaran terhadap murid dengan berkesan khusus mengikut masalah yang dihadapi. Jika guru tidak bertindak, maka masalah ini akan berlanjutan sehingga usianya tua. 


Kepentingan pentaksiran 

Pentaksiran merupakan suatu usaha danlangkah awal bagi seseorang guru Pendidikan Khas kerana ia mempunyai beberapa kepentingan seperti penapisan dan kenalpasti murid-murid khas(screening and identification), menguji kesesuaian dan diagnosis(eligibility and dignosis), perancangan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) dan penempatan, membantu guru menentukan Rancangan Pengajaran Harian (RPH), sebagai suatu penilaian dan akhir sekali membantu guru menentukan intervensi.



Kepentingan pentaksiran 

            Pertama sekali, pentaksiran berfungsi sebagai satu medium penapisan dan usaha mengenalpasti jenis masalah yang dihadapi oleh murid. Ini bermaksud, melalui pentaksiran, guru-guru Pendidikan khas dapat melihat masalah-masalah yang dihadapi oleh murid-murid dan mengenalpasti punca kepada masalah tersebut. Contohnya, semasa melakukan ujian diagnostik guru akan mengetahui jika seseorang murid mempunyai masalah dan mengesan punca kepada masalah murid tersebut. 

            Kepentingan yang kedua pula ialah guru dapat melakukan ujian diagnosis untuk menguji kesesuaian program pengajaran yang dilaksanakan kepada murid-murid khas. Ini merupakan satu langkah permulaan penting yang dapat membantu guru melakukan persediaan pengajaran dan maklumat awal tentang perihal murid-murid mereka.  

            Kepentingan ketiga mempunyai kaitan dengan kepentingan kedua di atas iaitu penyediaan Rancangan Pengajaran Individu (RPI) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) serta melakukan penempatan. Penyediaan RPI dan RPH memerlukan data awal supaya pengajaran yang dirancang dapat membantu menyelesaikan masalah murid. Selain itu melalui data awal yang diperoleh, penempatan murid boleh dilakukan seperti dikategorikan mengikut masalah. Contohnya, data yang diperoleh dari ujian diagnostik, membolehkan guru merancang pengajaran yang sesuai dan juga melakukan penempatan murid samada kategori masalah bacaan, lisan mahupun tulisan. 

Selain itu, pentaksiran juga membolehkan guru melakukan penilaian terhadap murid. Aspek penilaian boleh meliputi bidang-bidang kemahiran sosial, tingkah laku, kemahiran bahasa dan matematik. Malahan, melalui penilaian yang dilakuakn oleh seseorang guru Pendidikan Khas membolehkan guru berfikir tentang intervensi-intervensi yang sesuai untuk mengurangkan maslah murid-murid khas.



Refleksi

            Segala puji bagi Allah SWT atas limpahan rahmat dan kurnianya dapat saya siapkan tugasan ini. Pertama sekali, saya ingin menggunakan kesempatan yang ada untuk merakamkan rasa terima kasih saya kepada semua pihak yang banyak membantu dalam proses menyiapkan tugasan ini terutamanya pensyarah yang saya hormati dan saya anggap seperti bapa saya sendiri iaitu En Azmi B. Abu Bakar di atas tunjuk ajar yang dicurahkan yang banyak membantu saya untuk menyiapkan tugasan ini. Tidak dilupakan juga kepada rakan-rakan sepelatih yang banyak membantu dan mendorong saya. 

            Tugasan kali ini adalah berkaitan dengan kuliah harian yang bertajuk Pentaksiran Dalam Pendidikan Khas. Melalui pro-forma yang diberi, kami diminta untuk membuat pentaksiran, penilaian dan kesimpulan yang meliputi bidang-bidang kemahiran sosial, tingkahlaku, kemahiran bahasa dan juga matematik. Tugasan yang diberikan membolehkan saya mengaplikasikan teori yang dipelajari semasa kuliah dengan situasi sebenar di sekolah selain memberikan saya pendedahan dan pengalaman untuk melakukan pentaksiran apabila mengajar murid-murid khas nanti. 

            Melalui tugasan PBS kali ini juga, saya dapat memahami kepentingan pentaksiran dalam Pendidikan Khas kepada sekolah mahupun guru itu sendiri. Justeru, saya berpuas hati kerana dapat menambah ilmu pengetahuan saya menjadi seorang guru Pendidikan Khas sebelum  mengajar di sekolah nanti. Walaupun terdapat beberapa masalah dari perkara yang remeh mahupun sebesar besar masalah, namun tugasan ini berjaya disiapkan tepat pada masanya. Akhir kata, segala yang baik itu dating dari-Nya, manakala yang buruk itu dating dari kesilapan saya sendiri.






No comments:

Post a Comment