Pages

Tuesday, November 2, 2010

PISMP 4 - PJ : KURIKULUM DAN PEDAGOGI (EN ABD SHUKOR B. ZAINAL ABIDIN)

REFLEKSI INDIVIDU
MUHAMMAD ZULHILMI B. ISMAIL
           
Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan telah menyediakan banyak kursus-kursus berkaitan dalam usaha menyediakan para guru pelatih untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar. Penekanan diberikan kepada amalan dan etika keguruan serta kaedah-kaedah pedagogi yang betul untuk semua subjek yang diajar di sekolah termasuklah subjek Pendidikan Jasmani.
            Sehubungan itu, pada semester keempat pengajian dalam Pendidikan Jasmani telah diajarkan kursus PJM 3110, Kurikulum dan Pedagogi Pendidikan Jasmani yang mana di dalam pro forma terdapat hasil pembelajaran yang memerlukan guru pelatih untuk melaksanakan program pengajaran mikro di sekolah. Program ini mengandungi pelaksanaan pengajaran mikro, membuat penilaian dan analisis terhadap pengajaran mikro yang telah dilakukan di sebuah sekolah terpilih yang meliputi 20 jam jumlah kredit.

            Bagi melaksanakan program ini kami telah menjalani beberapa peringkat sebelum melaksanakan proses pengajaran mikro termasuk menubuhkan jawatankuasa bersama daripada dua buah kelas iaitu Pendidikan Seni Visual/ Pendidikan Khas 02, mengadakan mesyuarat serta mengadakan rundingan dengan pihak sekolah yang terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Darulaman, Jitra Kedah. Setelah selesai urusan berkaitan pentadbiran dan surat menyurat, kami telah melalui peringkat yang seterusnya iaitu melakukan perancangan untuk mengajar.
 Oleh kerana kumpulan kami merupakan kumpulan yang pertama dalam senarai, kami terpaksa banyak bersabar dan melalui proses berulang bagi menyediakan rancangan pengajaran bagi tempoh satu jam. Namun, kami redha dan menganggap ini sebagai salah satu proses dalam usaha mendidik kami menjadi guru pendidikan Jasmani yang boleh berdikari di sekolah kelak. Secara ringkasnya, saya dan rakan sekumpulan, Noor Faiza Bt. Hashim telah bersetuju untuk mengajar kemahiran melambung dan menyambut iaitu kemahiran memanipulasi alatan dengan menggunakan pundi kacang. Kemahiran ini kami rujuk di dalam sukatan pelajaran tahun satu dalam tunjang kemahiran. 
Pada tarikh 28/7/2009, kami melaksanakan pengajaran mikro bersama murid dari kelas tahun 1 Arif pada jam 7.45 pagi hingga 8.45 pagi iaitu kelas yang diajar oleh Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum sekolah tersebut, Tuan Haji Abdul Aziz B. Samsudin. Kedatangan kumpulan kami para guru pelatih pada pagi itu juga telah disambut mesra oleh beliau. Pada hari tersebut juga, terdapat beberapa kumpulan lain juga menjalankan pengajaran mikro bersama kelas masing-masing sehingga tamat sesi pada waktu yang ditetapkan. Pada sebelah petang di hari yang sama, kami telah mengadakan post-mortem untuk dinilai dan segala kelemahan yang didapati akan dijadikan panduan kepada kumpulan lain supaya mengatasinya di sesi pengajaran mikro selepas itu.
          Pada pemerhatian saya semasa menjalankan sesi pengajaran mikro tersebut, antara kekuatan utama kumpulan kami ialah dari segi kemahiran yang kami ajarkan kepada murid-murid tersebut. Ini kerana kemahiran yang dipilih adalah kemahiran yang mudah untuk dipelajari oleh murid daripada tahap satu. Begitu juga dengan aras yang telah kami tetapkan bagi kemahiran tersebut iaitu pada aras sederhana, kerana sesi pembelajaran di sekolah telah masuk ke penggal kedua semester. Tidak sesuai bagi murid-murid sekiranya aras yang ditetapkan terlalu mudah mahupun sebaliknya jika terlampau susah kerana dikhuatiri objektif pembelajaran dari aspek afektif iaitu berkongsi keseronokan ketika bermain tidak tercapai. 
            Kekuatan kedua yang dapat saya lihat ialah semasa melaksanakan pengajaran mikro ialah daripada aspek peralatan. Ini kerana peralatan tersebut adalah alatan yang mudah digunakan oleh murid-murid iaitu pundi kacang. Hanya dengan menggunakan pundi kacang, banyak aktiviti boleh dilakukan daripada aktiviti memanaskan badan, aktiviti kelonggaran dan seterusnya melatih kemahiran memanipulasi alatan. Selain itu, pundi kacang juga merupakan alatan yang sesuai bagi melatih perkembangan motor murid tahap satu terutamanya motor halus.
            Kekuatan seterusnya pula ialah kekuatan dari segi waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) dijalankan. Pada tarikh tersebut, sesi pengajaran mikro kami adalah pada waktu pertama dalam jadual iaitu pada jam 7.45pagi hingga 8.45 pagi yang mana pada waktu tersebut, murid-murid mempunyai banyak tenaga untuk menjalankan aktiviti fizikal. Melalui pemerhatian ketika aktiviti dijalankan, murid-murid begitu aktif dan tidak sabar untuk memulakan aktiviti. Ini secara tidak langsung membolehkan kami menjalankan aktiviti mengikut perancangan dengan licin.
            Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki. Hasil daripada post-mortem bersama pensyarah, En Abdul shukor B. Zainal Abidin dan rakan-rakan sepelatih, kami dapati ia berpunca daripada faktor terutama sekali faktor guru jika dilihat dari aspek kaedah pedagogi. Semasa melakukan aktiviti, suara kami tidak begitu jelas dan ditambah dengan bilangan murid yang ramai maka ada diantara mereka tidak mendengar arahan yang diberikan oleh kami. Maklumbalas ini juga kami terima daripada komen rakan-rakan yang turut menyaksikan sesi pengajaran kami. Selain itu, organisasi murid yang tidak sesuai semasa diberikan penerangan juga menyumbang kepada kelemahan ini. Kami telah menyusun murid dalam organisasi bulatan dimana guru akan berada ditengah namun kedudukan ini kami dapati tidak sesuai bagi seorang guru jika ingin member penerangan. 
            Kelemahan yang kedua ialah dari aspek transisi kedatangan dan kepulangan murid ke kelas sebelum dan juga selepas melakukan aktiviti. Kelemahan ini disenaraikan kerana murid-murid mengambil masa yang lama untuk bergerak ke padang dari kelas mereka. Ini secara langsung telah menjejaskan perancangan kami dari aspek pembaziran masa. Masalah ini juga terjadi kerana murid-murid tidak mengetahui mereka akan diajar oleh kami pada hari tersebut.
            Kelemahan ketiga ialah dari segi etika pemakaian. Pada saya, guru-guru pelatih harus dipuji kerana pakaian kami seragam dan bersesuaian dengan aktiviti yang dilakukan namun sebaliknya pula jika dibandingkan dengan murid-murid. Terdapat sebilangan murid yang tidak memakai pakaian sukan yang betul semasa pengajaran mikro dijalankan. Ada yang memakai uniform sekolah, tidak memakai kasut dan menanggalkan baju yang mana ini boleh mendatangkan kecederaan kepada diri mereka.
            Seterusnya ialah peluang yang kami dapati di sekolah tersebut sepanjang tempoh pengajaran mikro dilaksanakan. Pertama, kemudahan stor sukan yang lengkap dan kawasan padang yang luas lagi hijau. Stor sukan di sekolah tersebut membekalkan banyak peralatan untuk kegunaan subjek pendidikan jasmani dan juga untuk aktiviti sukan. Contohnya, bilangan pundi kacang boleh dinisbahkan sebagai seorang murid dengan satu pundi kacang (1 murid: 1 pundi kacang). Ini kerana pada mulanya kami amat gusar jika peralatan yang kami ingin gunakan tidak mencukupi tetapi setelah masuk ke dalam stor, maka segala kebimbangan kami hilang. Selain lengkap dengan peralatan, ia juga terletak berhampiran dengan padang dan telah dibuka seawal jam 7.00 pagi sekaligus memudahkan kami melakukan persiapan.
            Peluang yang kedua ialah faktor murid. Saya kategorikan sebagai peluang kerana murid-murid boleh dikawal. Setiap arahan yang kami beri akan dipatuhi tanpa bantahan. Selain itu, murid-murid juga bersungguh-sungguh dalam melakukan aktiviti yang mana ia membuatkan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur dan hasil pembelajaran pada sesi itu tercapai.
            Terdapat juga beberapa perkara yang boleh dikategorikan sebagai ancaman. Ancaman ini kami definisikan sebagai perkara yang mampu menggugat sesi pengajaran kami dan menimbulkan masalah kepada kami serta pihak sekolah. Ancaman yang pertama ialah perkara yang saya namakan sebagai faktor ekstrinsik. Contohnya, semasa melakukan pengajaran mikro terdapat gangguan rakan-rakan murid dari kelas lain. Murid-murid akan terpengaruh dan tidak tumpukan perhatian kepada perkara yang diajar oleh guru.
            Ancaman kedua ialah dari aspek keselamatan murid sepanjang sesi pengajaran mikro. Murid-murid sentiasa terdedah kepada risiko kecederaan semasa melakukan aktiviti-aktiviti fizikal dan banyak faktor menyumbang kepada ancaman ini. Antaranya ialah kehadiran benda-benda asing di kawasan padang. Jika terjadi kecederaan, mungkin kami akan dipersalahkan oleh pihak sekolah kerana tidak tahu menjaga murid dan lebih teruk lagi sekiranya kami terpaksa berdepan dengan pihak ibu-bapa. 
            Kesimpulannya, sepanjang sesi pengajaran mikro dijalankan terdapat beberapa perkara yang boleh memberikan kekuatan dan boleh dianggap sebagai peluang kepada seseorang guru. Begitu juga sudah tentu akan terdapat kelemahan dan beberapa ancaman. Namun guru harus bijak membuat keputusan untuk memperbaikinya. Oleh itu, seseorang guru itu haruslah merancang sesuatu pengajaran dengan mempraktikkan kaedah dan strategi pedagogi yang betul untuk mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan.

No comments:

Post a Comment