Pages

Tuesday, November 2, 2010

PISMP 5 - BIG 5 : LAWATAN /PENANDA ARAS/ BENCH MARK SEKOLAH CEMERLANG


REFLEKSI INDIVIDU PROGRAM BINA INSAN GURU SEMESTER 5

PENGENALAN
            Program Bina Insan Guru merupakan salah satu daripada perancangan bagi membina dan menerapkan nilai-nilai murni  dan hidup berlandaskan kepercayaan dan agama sebagai proses membentuk guru-guru yang serba boleh serta dapat menyesuaikan diri dalam apa jua persekitaran masyarakat. Segala  pengisian aktiviti yang dirancangkan di dalam program ini adalah berteraskan kepada Prinsip Negara yang didukung oleh semua rakyat yang sekaligus menjadi asas pembentukan rakyat  dan menjadi tonggak pembinaan sesebuah negara bangsa.
            Program Bina Insan Guru kali ini seperti yang dinyatakan didalam proforma kursus Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) adalah mengadakan satu lawatan penanda aras selama sehari, dalam tempoh yang diperuntukkan iaitu sepuluh jam ke sebuah sekolah pilihan tetapi perlulah mempunyai cirri-ciri dan diiktiraf sebagai sekolah kluster, sekolah bestari, sekolah harapan Negara dan yang terbaru sekali ialah sekolah berprestasi tinggi. Tujuan lawatan ini diadakan adalah bagi memberikan pendedahan kepada guru-guru pelatih tentang pengurusan sekolah, penerapan budaya-budaya cemerlang di sekolah berkenaan untuk dijadikan panduan semasa mengajar di sekolah kemudian hari.

            Melalui perbincangan dengan setiap pelajar kelas PISMP PK/PJ 02 serta persetujuan daripada pensyarah, kami telah memilih Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra Kedah atau lebih dikenali dengan singkatan nama SEMSAH. Sekolah ini telah menjadi pilihan kami sekelas kerana ia telah dicadangkan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG kampus Darulaman. Sekolah ini  dicadangkan kerana baru-baru ini ia telah diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai salah sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi. Selain itu, faktor jarak juga diambil kira dimana jarak IPG kampus Darulaman terletak berhampiran dengan Sekolah tersebut. Hal ini diambil kira kerana pada ketika kertas kerja bagi Program Bina Insan Guru ke-5 ini diusulkan kepada pihak pentadbiran, kami digalakkan untuk mengamalkan dasar penjimatan dimana ia meliputi kos perbelanjaan minyak kenderaan bas IPG dan permohonan terhadap barang-barang di Setor utama.
            Selain faktor yang telah dinyatakan di atas, sekolah tersebut kami pilih kerana ia merupakan sebuah sekolah yang terbilang dan elit bukan sahaja di dalam negei Kedah malahan pada pperingkat kebangsaan. Ia cemerlang dari segi akademik dan ko-kurikulum yang mana membuatkan kami tertarik dan berfikir faktor-faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan sekolah tersebut.
Bagi  menjayakan program ini, saya telah dilantik sebagai setiausaha program. Mulanya saya tidak bersetuju kerana faham akan cabaran dan tugas berat yang terpaksa dipikul sebagai seorang setiausaha. Akan tetapi, setelah dilantik maka saya pasrah dan terima dan menganggapkannya sebagai satu pengalaman berharga yang mungkin berguna semasa di sekolah kelak. Sebagai setiausaha, saya telah menyiapkan kertas kerja bersama naib setiausaha iaitu Nurulain Fazillah di mana ia dipersetujui dan diluluskan oleh mentor kami iaitu Pn Harlina Bt. Haji Ishak, Ketua jabatan Jabatan hal Ehwal Pelajar, Pelajar En Ahmad Sukri Bin Mustafa, Ketua jabatan Jabatan Pendidikan Khas, Haji Abdul Rahim B. Haji Marzuki, Pegawai Ekserkutif Kanan, En Padri Bin Ahmad, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Darulaman En Shaari Bin Osman dan Pengarah IPGM Kampus Darulaman, Tn Hj Roslan Bin Abd. Hamid.
 Dalam pada itu, saya dan naib setiausaha telah menyiapkan surat ke Pengetua Sekolah Menengah Sultan Abdul halim dan surat permohonan kebenaran untuk melaksanakan BIG kepada tuan pengarah. Selain itu, sebelum kami melaksanakan Program Lawatan Penanda Aras, saya bersama-sama pengerusi program beserta naib pengerusi turut melakukan perbincangan dengan pengetua sekolah bagi menyatakan hasrat kami untuk melaksanakan program Bina Insan Guru disekolahnya selain menentukan tarikh yang sesuai. Melalui tugasan kali ini, kerja-kerja dan tanggungjawab sebagai setiausaha saya akui amat berat, namun ia banyak mendedahkan saya dengan tugasan yang melibatkan pengurusan serta perancangan dimana perkara-perkara seperti ini sendiri amat ditekankan dalam program Bina Insan Guru kali ke-5.

            Lawatan kami telah diadakan pada 4 Mac 2010 dan kami telah merancangkan tiga sesi sepanjang lawatan disekolah tersebut. Pada sesi pertama dan sesi kedua yang dijalankan di Bilik persidangan, sesi yang dijalankan lebih berbentuk taklimat dan penerangan daripada pihak sekolah iaitu tentang aspek-aspek kepimpinan, pengurusan sekolah yang meliputi visi dan misi sekolah serta cara sistematik yang dilaksanakan oleh pihak sekolah sehingga mandapat pengiktirafan yang tertinggi dalam pencapaian sesebuah sekolah setakat ini. Selain itu, penerangan tentang iklim serta budaya sekolah turut menjadi isi penerangan daripada pihak sekolah. Setelah mendengar penerangan daripada pihak guru kanan sekolah maka sesi kami disusuli dengan sesi bersoal jawab diantara pihak pelajar IPG kampus Darulaman dengan pihak sekolah.
Akhir sekali kami akhiri lawatan kami dengan sesi melawat sekitar kawasan sekolah. Antara kawasan yang dilawati ialah pusat sumber sekolah, kawasan kantin sekolah yang unik kerana berbentuk y jika dilihat dari pemandangan udara, kawasan asrama sekoah yang bersih, Balai Adiwarna serta bilik muzik.

KELEBIHAN/ KEKUATAN
Sepanjang satu hari kami di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, banyak yang telah kami pelajari, antaranya membahagikan tugasan kepada setiap peserta program Bina Insan Guru kali ke-5 ini. Saya bersama-sama pengerusi dan naib pengerusi program telah ke sekolah tersebut bagi menemuramah pengetuanya dan dalam sesi temuramah tersebut kami telah memfokuskan topik perbincangan kepada tiga aspek penting iaitu ciri-ciri kepimpinan beliau dalam pentadbiran sekolah, bagaimana keadaan sekolah yang kondusif diwujudkan dan bagaimana beliau membentuk iklim sekolah yang mesra budaya. Melalui temuramah yang dijalankan, banyak ilmu-ilmu baru mengenai kepimpinan dan pentadbiran yang telah saya pelajari.
Melalui temuramah ini juga, saya dapati pengetua sekolah tersebut iaitu Haji Ahmad B. Haji Din merupakan seorang pengetua yang suka merendah diri. Beliau menyatakan bahawa, sebarang perubahan dan budaya kecemerlangan yang diterapkan di sekolah tersebut adalah sama seperti sekolah-sekolah yang lain, tiada banyak perbezaan dilakukan. Namun, beliau amat menekankan disiplin di sekolah tersebut. Bukan sahaja murid-murid perlu berdisiplin malahan guru-guru juga tidak terkecuali. Beliau juga mencipta sebuah program disiplin- “program bersih” yang meliputi aspek fizikal, mental, pertuturan, tingkah laku dan persekitaran bagi memastikan aspek disiplin dipandang serius.
Semasa melakukan lawatan ke SEMSAH antara kelebihan lain sekolah tersebut selain daripada faktor disiplin, faktor guru-guru juga telah menyumbang kepada pengiktirafan sebagai salah sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi. Faktor tersebut ialah faktor guru-guru. Kebanyakan guru-guru di sekolah ini sangat komited terhadap kerjaya mereka dan sanggup berkorban untuk memastikan pelajar-pelajar mereka berjaya. Malah di sekolah ini terdapat program “Caring Teacher” dimana mereka ini menjiwai watak sebagai ibu bapa kepada pelajar. Mereka juga sanggup datang untuk memberikan tunjuk ajar pada waktu malam meninggalkan anak dan keluarga di rumah dan mereka ini tidak mengharapkan sebarang balasan, cukuplah jika dapat mengetahui pelajar-pelajar telah berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara dan mendapat keputusan cemerlang. Saya turut berasa kagum kerana apabila ditanya kepada para guru, mereka menyatakan mereka tidak menginginkan gaji lebih atau sebarang elaun tambahan tetapi melakukannya diatas rasa tanggungjawab untuk melihat anak bangsa berjaya.
Kelebihan seterusnya ialah faktor penerapan budaya-budaya cemerlang ke atas pelajar-pelajar di sekolah tersebut.contohnya dari aspek akademik iaitu program Kawan Bestarikan Kawan (KBK). Melalui penerangan yang diberikan semasa lawatan dijalankan di sekolah tersebut, guru kanan sekolah telah memberitahu tentang program ini dimana pelajar yang cemerlang akan membantu kawan mereka yang lemah. Mereka akan mengadakan kelas seawal 6.45 pagi di tapak perhimpunan atau di kelas-kelas bagi memastikan kecemerlangan adalah milik setiap pelajar. Bukti hasil program ini dapat dilihat apabila sekolah tersebut selalunya akan terpilih sebagai sekolah yang cemerlang PMR setiap tahun serta mendapat pengiktirafan taraf lima bintang oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.
KELEMAHAN
            Antara kelemahan yang dapat dilihat pada Program Bina Insan Guru kali ke-5 ini ialah dari aspek peruntukan masa. Masalah yang kami hadapi ialah peruntukan yang diberi selama 10 jam tidak mencuupi bagi kami untuk mendapatkan maklumat keseluruhan tentang Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim yang berguna kepada kami.
            Selain itu, sekolah yang menjadi pilihan kami ini ialah sekolah pada peringkat menengah. Kami sepatutnya memilih sekolah rendah untuk menjalankan program BIG ke-5 ini kerana ia akan lebih membantu dan menepati konteks kami yang akan mengajar di sekolah rendah.

PENUTUP
            Kesimpulannya, pendedahan pada program Bina Insan Guru kali ke-5 ini banyak memberikan maklumat yang berguna dan akan saya jadikan panduan apabila mengajar di sekolah rendah kelak. Melalui Lawatan penanda aras seperti ini, para guru pelatih akan mendapat peluang untuk menimba ilmu terutamanya dari aspek pengurusan dan pentadbiran oleh pihak sekolah.

1 comment: