Pages

Tuesday, November 2, 2010

PISMP 5 - IP (EN MUSTOFFA)


Pengenalan
            Pendidikan pada zaman kolonialisme di negara kita dapat dilihat pada tiga perkara iaitu pertama, pendidikan oleh British yang dihadiri oleh anak-anak golongan bangsawan Melayu dan hartawan Cina serta India. Kedua, pendidikan rendah di sekolah Melayu yang dibantu oleh pihak British yang bermatlamat untuk menjadikan anak-anak Melayu sebagai petani yang lebih baik daripada ibu bapa mereka serta kewujudan sekolah vernakular  Cina dan India yang mana sukatan pelajaran dan kurikulumnya adalah berpandukan kepada negara asal mereka. Selain itu wujud juga sekolah agama dan mengaji Al-Quran. Secara kasarnya, setiap pendidikan daripada kumpulan etnik mempunyai acuan dan adunan yang berbeza yang dirancang mengikut agenda penjajah ketika itu.
            Namun, pada zaman pasca merdeka sistem pendidikan negara telah berubah dimana ia telah dicorakkan dan mempunyai elemen-elemen tempatan. Sistem pendidikannya telah diseragamkan dari segi kurikulum dan sukatan matapelajaran supaya mencapai matlamat bagi membentuk identiti kebangsaan Malaysia. Proses mencorak sistem pendidikan ini telah lama dilakukan semenjak sebelum merdeka lagi melalui dua laporan iaitu Penyata Razak pada tahun 1965 dan Penyata Rahman Talib tahun 1960 yang mahukan panyatuan kanak-kanak berbilang etnik di bawah satu bumbung pendidikan kebangsaan dengan menggunakan satu bahasa pengantar iaitu bahasa Melayu.
           
Justeru itu, dapat disimpulkan bermula waktu itu pendidikan di negara kita terbentuk dan berterusan sehingga ke hari ini dengan membawa matlamat perpaduan yang melibatkan budaya etnik yang berbeza. Sehubungan itu, pendidikan awal yang bermula di peringkat bilik darjah dan peranan guru untuk membentuk iklim mesra budaya adalah penting sesuai dengan konteks kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. 





a)    Bincangkan amalan-amalan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik darjah dalam konteks kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.
John Dewey (1952, dipetik daripada Choong Lean Keow, 2008 : 154) menyatakan bahawa “Para pendidik bertanggungjawab untuk membantu individu memahami serta menghargai norma dan amalan satu-satu budaya. Ini membawa implikasi bahawa pemupukan kemahiran kreatif dan kritis agak penting untuk mengatasi kekurangan yang sedia ada dalam masyarakat kini agar dapat menuju kearah pembentukan semula masyarakat yang lebih baik”.
      Petikan di atas yang dinyatakan oleh seorang tokoh pendidikan barat, John Dewey menunjukkan seorang guru mempunyai tanggungjawab bagi menggalakkan generasi baru berfikir untuk membentuk masyarakat yang lebih baik pada masa hadapan. Dalam konteks kepelbagaian sosio-budaya yang mempengaruhi sistem pendidikan di negara kita, maka guru merupakan orang yang paling sesuai untuk membentuk murid-murid daripada pelbagai etnik dan latarbelakang melalui pendidikan yang seimbang khususnya melalui amalan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Antara amalan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik darjah dalam konteks kepelbagaian budaya yang pertama ialah, melaksanakan banyak aktiviti pengajaran dan pembelajaran bersifat koperatif. Faktor ini adalah kerana guru seharusnya mengajar murid-muridnya tanpa mengelompokkan mereka mengikut kaum masing-masing dalam satu kumpulan sahaja. Perkara yang sama juga harus  dilakukan tanpa membezakan murid  dengan kelas sosial  mereka. Bagi memahami konsep pengajaran dan pembelajaran secara koperatif ini maka  marilah kita hayati definisi yang diberikan Mahyuddin, Habibah Elias dan Kamariah Abu Bakar (2009 : 35) iaitu pendekatan pembelajaran koperatif merupakan kaedah pedagogi yang berlandaskan prinsip pengajaran dan pembelajaran dengan melibatkan pelajar bekerjasama untuk belajar dan mempunyai tanggungjawab ke atas tugas masing-masing bagi mencapai tujuan pembelajaran yang sama. Ini bermakna guru akan meletakkan beberapa orang murid bersama di dalam sebuah kumpulan dan kemudian memberikan tugasan untuk diselesaikan secara bersama. Tugasan yang diberikan pula memerlukan ahli bekerjasama supaya ia dapat diselesaikan.
Dalam konteks kepelbagaian budaya contoh ini boleh dilihat apabila guru meletakkan beberapa orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dalam satu kumpulan dan meminta mereka melakukan perbincangan  yang bertajuk “ Satu Malaysia ”
Amalan pengajaran dan pembelajaran guru yang kedua ialah amalan penggunaan bahasa yang sesuai. Bahasa merupakan satu sistem komunikasi yang mempunyai makna bagi menyampaikan mesej daripada penghantar kepada pihak penerima samada dalam bentuk lisan mahupun bukan lisan. Penggunaan bahasa amat penting dalam komunikasi dua hala di antara guru dan murid, justeru laras bahasa yang digunakan adalah bersesuaian dengan tahap umur murid yang mana ia boleh difahami oleh murid-murid berbilang kaum yang turut mempunyai dialek daripada bahasa ibunda mereka. Contoh yang mudah adalah amalan penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa penghantar rasmi  dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah semasa proses pengajaran dan pembelajaran ataupun ketika perbualan biasa di antara guru dan murid.
Ketiga, amalan penerapan nilai-nilai murni dan disiplin semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Proses penerapan dilakukan oleh guru dengan menyelitkan nilai-nilai murni secara implisit dan eksplisit melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dirancangkan, mewujudkan peraturan di dalam bilik darjah yang terkandung nilai-nilai murni dan berbentuk mesra budaya serta memberikan contoh melalui tauladan iaitu mempamerkan perlakuan guru sendiri.
Sebagai contoh, guru sentiasa menekankan nilai-nilai murni seperti tolong-menolong, bertolak ansur dan kerjasama semasa meminta murid melakukan aktiviti secara berkumpulan dan juga aktiviti perbincangan. Guru juga boleh mencipta peraturan-peraturan yang menggalakkan interaksi murid daripada pelbagai kaum di dalam bilik darjah seperti, “Dilarang bercakap menggunakan bahasa dialek. Sila gunakan bahasa Melayu”. Contoh yang terakhir ialah guru mempamerkan tingkahlaku positif kepada murid-murid seperti datang awal ke bilik darjah, bercakap dengan sopan santun, menggunakan laras bahasa yang sesuai dan lemah-lembut serta menunjukkan sikap adil kepada murid-murid tanpa mengambil kira perbezaan kaum, jurang kelas sosial mahupun perbezaan jantina mereka.
           


b)   Sejauh manakah amalan tersebut dapat melahirkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya
Pertama, amalan pengajaran dan pembelajaran secara koperatif dapat melahirkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya apabila murid-murid tidak menimbulkan kekecohan kerana diletakkan didalam sebuah kumpulan. Ini kerana murid-murid akan lebih memahami dan menghormati antara satu sama lain serta budaya mereka. Melalui aktiviti pengajaran koperatif, mereka akan terdedah kepada pelbagai pendapat daripada murid yang berbeza etnik dan melakukan perkongsian ilmu tentang budaya dan  kepercayaan masing-masing.
Contohnya, jika sebuah kelas terdiri daripada murid berbangsa Melayu keseluruhannya dan pada sesi pembelajaran ketika itu guru melakukan perbincangan tentang topik budaya kaum Melayu dan kaum lain serta meminta pendapat daripada mereka. Maka pastinya murid-murid akan memberikan pendapat yang bersifat etnosentrisme dan terdapat unsur-unsur prejudis dan diskriminasi terhadap kaum lain. Begitu juga situasi yang sama akan berlaku di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Namun, di dalam kelas yang terdiri daripada pelbagai kaum, setiap murid akan memberikan pendapat serta penerangan tentang budaya masing-masing berdasarkan cara hidup yang diamalkan. Guru juga perlu memainkan peranan dengan menggalakkan perkongsian ilmu dikalangan murid-murid tersebut supaya unsur-unsur  stereotaip dan prejudis dapat dihindari selain mempromosikan persekitaran yang mesra budaya tanpa ada sebarang sekatan dan menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.
Kedua, penggunaan bahasa yang standard seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris merupakan satu amalan pedagogi yang sememangnya mesra budaya serta memenuhi salah satu tujuan pendidikan kebangsaan iaitu perpaduan. Akan tetapi, keadaan akan menjadi sebaliknya jika setiap kaum masih berdegil yang mahukan sistem pendidikan sendiri seperti orang Melayu belajar di sekolah Melayu menggunakan bahasa Melayu, orang Cina di sekolah Cina dengan bahasa Mandarin dan orang India di sekolah Tamil dengan bahasa Tamil.
Shamsul Amri Baharuddin (2007 : 136) memberikan kenyataan berikut, “Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda dan perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan untuk memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar. Keadaan ini menyebabkan interaksi sesama mereka hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama”. Jelas, ini mampu dijadikan pengukur untuk menilai persekitaran bilik darjah yang mesra budaya melalui amalan penggunaan bahasa yang standard dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran mahupun pergaulan harian di sekolah  yang berkesan dalam memupuk integrasi
Murid-murid daripada berbilang kaum dapat memahami input pengajaran yang disampaikan oleh guru selain dapat merapatkan jurang hubungan di antara guru dengan murid dan hubungan di antara murid dengan murid. Selain itu, seperti yang dinyatakan oleh Syed Ismail dan Ahmad Subki (2010 : 57), “Penggunaan bahasa yang standard akan memberi peluang yang sama rata kepada murid untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran”. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan bahasa yang difahami semua seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris juga bersifat adil kepada setiap murid tanpa mengira kaum.
Ketiga, nilai-nilai murni seperti kerjasama, bertolak ansur, berlaku adil dan hormat menghormati merupakan elemen-elemen penting dalam membina hubungan sosial di dalam sebuah masyarakat majmuk. Amalan nilai-nilai murni seperti ini apabila diterapkan oleh guru kepada murid-muridnya maka akan melatih dan membentuk mereka bermula di bangku persekolahan supaya dewasa kelak mereka menjadi generasi masyarakat yang hidup dengan teratur dan mengamalkan norma-norma kehidupan sosial yang aman dan bersatupadu seperti yang dapat dihasilkan pada hari ini. John Dewey (1952, dipetik daripada Choong Lean Keow, 2008 : 155) telah mengutarakan pendapatnya yang berbunyi seperti berikut, “Pendidikan tidak seharusnya tamat apabila individu meninggalkan bangku sekolah; ia seelok-eloknya berlaku sepanjang hayat seseorang demi perkembangan yang berterusan”. Melalui pendapat beliau, jelas sekali bahawa penerapan nilai-nilai harus dilakukan di peringkat akar umbi dan  ia seharusnya dibawa ke peringkat seterusnya sehingga akhir hayat.




c)    Cadangkan amalan-amalan pengajaran dan pembelajaran baru yang difikirkan dapat meningkatkan tahap persekitaran bilik darjah mesra budaya.
Pertama, antara amalan-amalan pengajaran dan pembelajaran baru yang difikirkan dapat meningkatkan tahap persekitaran bilik darjah yang mesra budaya ialah melalui pengajaran berasaskan teori kontekstual. Guru akan memilih bahan, merancang pengajaran yang bersesuaian dengan konteks kepelbagaian budaya dan murid-murid akan boleh mengaitkan bahan-bahan tersebut kepada realiti kehidupan hari ini. Secara tidak langsung, murid akan bersemangat seterusnya membuat perkaitan di antara ilmu pengetahuan dan pengaplikasiannya kepada budaya kehidupan mereka sebagai ahli dalam sesebuah keluarga, masyarakat dan rakyat. Syed Ismail dan Ahmad Subki (2010 : 117) menyatakan, “kontekstual penting kerana mengaitkan pembelajaran kepada reality kehidupan”. Melalui petikan ini, dapat kita melakukan kesimpulan bahawa pengajaran secara kontekstual adalah berkesan dalam meningkatkan tahap persekitaran bilik darjah yang mesra budaya yang mana ia mampu mempengaruhi kehidupan harian murid dengan ilmu yang disampaikan.
Cadangan kedua pula ialah dengan menggalakkan penggunaan internet dalam pengajaran dan pembelajaran atau lebih dikenali sebagai E-pembelajaran. Pada zaman globalisasi yang mana sistem telekomunikasi dan internet berkembang pesat, banyak maklumat dalam pelbagai bidang ilmu kini mudah diperolehi. Berbekalkan sebuah computer dan sambungan internet, seseorang dapat mencari pelbagai jenis ilmu termasuklah para guru. Ciri fleksibiliti kognitif yang terdapat pada Internet melalui laman - laman web dapat menjelaskan sesuatu konsep daripada pelbagai sudut dan pendekatan. Dengan kemudahan multimedia yang terdiri daripada animasi, bunyi, grafik, warna, dimensi 2D dan 3D, beberapa konsep dan fenomena dapat dijelaskan untuk memudahkan kefahaman, lebih-lebih lagi di kalangan pelajar yang berpencapaian rendah. Abd Rahim Abd Rashid (2005 : 91) memberikan contoh penggunaan internet dalam pedagogi yang relevan dengan kepelbagaian sosio-budaya masyarakat di negara kita seperti berikut:-
 “ 2. penerbitan elektronik (electronic publishing). Internet menyediakan peluang untuk sesiapa pun menerbitkan sesuatu di ruang siber. ruang percuma diberikan untuk membolehkan pelajar dan guru membina laman web bagi meletakkan bahan untuk diterbitkan. Contohnya, hasil kerja  pelajar samada untuk kajian geografi tempatan (KGT) atau kajian sejarah tempatan boleh diterbitkan di ruang siber lengkap dengan teks, rajah, gambar untuk dibaca oleh masyarakat seluruh dunia”
Jika murid berbilang kaum diletakkan dalam satu kumpulan seperti contoh di atas, dan hasil kerja mereka diterbitkan di ruang siber, langkah ini bukan sahaja dapat memupuk integrasi di kalangan murid-murid malah akan berlaku proses interaksi budaya ke seluruh dunia yang merentasi agama, bangsa dan negara.

            Cadangan ketiga ialah guru perlu banyak menggalakkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut teori kecerdasan pelbagai yang diciptakan oleh Howard Gardner. Dalam konteks kepelbagaian budaya masyarakat di Malaysia amnya dan murid-murid di sekolah khususnya, kecerdasan pelbagai yang harus guru tekankan ialah kecerdasan interpersonal.
            Abd Rahim Abd Rashid (2005 : 121) menyatakan bahawa guru perlu merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk menggalakkan murid-murid menggunakan kemahiran secara interpersonal seperti kemahiran berkomunikasi verbal dan bukan verbal atau menekankan kepada murid tentang sikap  bekerjasama dalam sebuah kumpulan. Selain itu, guru juga perlu mengajar murid untuk menghargai murid lain melalui perasaan empati tanpa sedikit pun tersimpan rasa diskriminasi.
            Antara cadangan supaya kemahiran interpersonal dikembangkan  ialah dengan meminta murid membayangkan diri sebagai seorang tokoh sejarah dan membincangkan sesuatu isu kini (contohnya, Tun Tan Cheng Lok, Tun Sambathan dan Tun Abdul Rahman melawat Kuala Lumpur pada hari ini)
Cadangan keempat ialah guru perlu mewujudkan bilik darjah pelbagai tugasan (multi-task) untuk meningkatkan tahap persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Menurut Sharifah Md Nor (2000 : 72 ),melalui kewujudan bilik darjah pelbagai tugas,  keberkesanan yang tinggi diperolehi bagi mewujudkan iklim bekerjasama yang seterusnya melahirkan interaksi sosial yang membolehkan pelajar bekerja dengan rakan yang berbeza latarbelakang dan kebolehan tetapi mempunyai minat yang sama. Selain itu, hubungan antara guru dan murid adalah berbentuk dua hala tanpa ada sekatan mengikut batas budaya dan kaum. Dari aspek kawalan kelas pula, keadaan menjadi lebih tertutup (private). Oleh yang demikian, persaingan antara individu dalam bilik darjah akan berkurangan tetapi ini akan menggalakkan lebih banyak kerjasama antara ahli kumpulan yang melakukan sesuatu tugasan dengan minat bersama.

3 comments:

  1. sy perlu bahan ni.. tp xboley copy...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih.Sumbangan bahan ini sangat berguna.

    ReplyDelete
  3. saya nak rujukan...huhu

    ReplyDelete