Pages

Thursday, November 4, 2010

PISMP 6 - PK : ISU DAN TRENDA (EN AZMI ABU BAKAR)


1.0  PENGENALAN

Dalam dunia pendidikan pada hari ini, terdapat banyak isu-isu yang diketengahkan samada melalui media cetak dan elektronik serta media massa. Pendidikan di Malaysia juga tidak terkecuali namun tidak ramai yang tahu atau tidak mahu ambil tahu tentang isu-isu yang terdapat dalam pelaksanaan program Pendidikan Khas di sekolah. Oleh itu, setiap dari kita perlu segera membuka mata dan minda supaya kita dapat memberikan tumpuan sejenak untuk menyelami duania kecil pendidikan di Malaysia iaitu Pendidikan Khas.


2.0  ISU DALAM PELAKSANAAN PROGRAM PENDIDIKAN KHAS DI SEKOLAH

2.1  PIHAK PENGURUSAN SEKOLAH

Pihak pengurusan merupakan tunjang kepada sesebuah organisasi termasuklah di sekolah-sekolah. Malang jika sesebuah program yang diadakan di sekolah tidak mendapat sokongan daripada pihak pengurusan khususnya program seperti Pendidikan Khas. Masalah ini merupakan masalah utama yang boleh terdiri daripada beberapa isu berbangkit iaitu isu pertama: isu layanan kelas kedua yang diterima oleh guru-guru dan murid Pendidikan Khas daripada pihak pentadbir. Kenapa guru Pendidikan Khas? Jawapannya kerana mereka tidak menerima layanan yang sepatutnya apabila sering diperkecilkan oleh guru-guru daripada aliran perdana. Contohnya, guru Pendidikan Khas diperlekeh kerana mengajar murid-murid yang rata-rata terencat akal, mempunyai masalah tingkahlaku dan masalah pengurusan diri. Guru-guru dari aliran perdana menganggap tugas mengajar murid-murid ini tugas yang sia-sia dan tidak kurang juga yang merasa jijik. Selain itu, isu elaun yang diterima oleh guru Pendidikan Khas turut menjadi pertikaian kerana melalui anggapan mereka mengajar murid-murid khas lebih senang berbanding mengajar murid aliran perdana. Manakala murid-murid khas pula dipinggirkan dan tidak diberikan perhatian dimana Guru Besar sekolah tidak mengamalkan pendemokrasian pendidikan. Contohnya Md Aziz B. Haji Lani (n.d.) melalui dapatan yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negara, mendapati terdapat Guru Besar yang merasakan tumpuan perlu diutamakan kepada murid aliran perdana yang ramai berbanding murid-murid khas yang sedikit.

Isu kedua berkaitan pihak pengurusan sekolah ialah dari aspek peruntukan kewangan. Setiap sekolah akan mendapat peruntukan dimana peruntukan ini merupakan salah satu perkara utama yang dirancang dalam Rancangan Malaysia sejak dari Rancangan Malaysia pertama bertujuan menaiktaraf kemudahan sekolah serta bantuan kepada murid-murid yang memerlukan. Namun, adakah semua pihak mendapat manfaat daripada peruntukan yang diberikan ini terutamanya program Pendidikan Khas?. Perkara begini menyulitkan para guru Pendidikan Khas untuk menjalankan pelbagai aktiviti untuk murid-murid khas seperti aktiviti lawatan sambil belajar kerana kekurangan sumber kewangan. Selain kesulitan menjalankan aktiviti-aktiviti, kemudahan yang terdapat di program Pendidikan Khas juga tidak dapat dibaikpulih. Rata-rata kelas yang digunakan untuk Program pendidikan Khas mempunyai ruang yang sempit dan tidak kondusif yang akan mempengaruhi proses pembelajaran murid-murid.

Isu ketiga pula adalah berkaitan dengan peperiksaan yang diambil oleh murid-murid Pendidikan Khas. Ari (2008) menyatakan Isu ini timbul kerana rasa kurang senang pihak pentadbiran apabila murid khas mengikuti peperiksaan umum di negara kita seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil pelajaran Malaysia(SPM). Pihak pentadbiran tidak begitu menggemari situasi ini kerana mereka takut perkara ini akan menjatuhkan graf peperiksaan sekolah.

Isu keempat  pula merupakan isu berhubung aspek pembangunan fizikal sekolah. Fokus isu keempat ini adalah kepada program Pendidikan Khas terutamanya program Integrasi dimana aspek pembangunan fizikalnya tidak mengikut keperluan murid-murid khas. Secara umumnya berdasarkan pengalaman semasa menjalankan Pengalaman Berasaskan sekolah(PBS) dan praktikum, kebanyakan kelas-kelas di program Pendidikan Khas mempunyai ruang yang terhad dan keadaan biliknya pula sangat uzur. Ruang yang terhad menyekat pergerakan murid untuk melakukan aktiviti dan masalah yang serupa berlaku kepada guru Pendidikan Khas. Sedangkan murid-murid normal pun berasa tidak selesa belajar di kelas yang sempit, apatah lagi mereka yang terdiri dari murid khas. tambahan lagi, program pendidikan Khas selalunya ditempatkan di blok bangunan-bangunan lama yang keadaannya teruk dan uzur, tidak kondusif untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

Isu kelima ialah isu berkenaan mencipta rangkaian perhubungan dengan pihak yang sepatutnya berkenaan program Pendidikan Khas. Pihak pentadbiran sekolah khususnya guru-guru daripada program Pendidikan Khas tidak mengetahui saluran yang perlu dirujuk bagi mendapatkan bantuan berkenaan murid-murid khas. Kadangkala guru buntu dan tidak tahu alternatif lain bagi menambahkan dana supaya dapat melakukan penambahbaikan kepada program Pendidikan Khas sendiri walaupun terdapat banyak saluran yang boleh dirujuk dan sedia membantu guru-guru.


2.2  GURU KHAS
Guru khas juga mempunyai isu-isu yang mengganggu tugas mereka bagi membolehkan anak-anak khas menerima pendidikan seperti murid-murid lain. Isu yang pertama ingin diketengahkan merupakan isu berkaitan bebanan tugas semasa di sekolah. Menjadi seorang guru memerlukan kesabaran dan ini merupakan perkara yang seharusnya diketahui oleh guru-guru sejak dari mula menjejakkan kaki ke bidang ini lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dengan program Pendidikan Khas, namun setiap perkara ada batasannya kerana guru juga manusia biasa dengan keperluan sama seperti orang lain. Guru Khas selalunya diberikan dibebankan dengan waktu ganti (relief class) kelas perdana. ini akan mengganggu perjalanan sesi pengajaran guru pendidikan Khas yang terpaksa meninggalkan kelas kerana menggantikan kelas guru aliran perdana yang tidak hadir ke sekolah. Selain itu, guru Pendidikan Khas juga dibebankan dengan tugas-tugas bukan mengajar kerana dilantik memegang jawatankuasa yang mempunyai tugasan berat seperti setiausaha sukan di sekolah. melalui jawatankuasa seperti ini, guru pendidikan Khas perlu guru sentiasa meninggalkan kelas untuk bermesyuarat dan menjalankan menghadiri aktiviti luar yang akan menyebabkan murid-murid khas terabai.
Isu kedua yang membabitkan guru-guru khas ialah berkenaan sikap dan minat mereka sendiri. Sikap guru Pendidikan Khas yang negatif membawa kesan buruk kepada murid-murid khas dan sekolah itu sendiri. Seorang guru Pendidikan Khas yang tidak berminat selalunya menjalankan tanggungjawabnya dengan tidak komited. Bak kata pepatah, seperti melepaskan batuk di tangga. Malang bagi murid-murid khas yang mendapat guru seperti ini. Contohnya, mengajar tanpa menggunakan rancangan pengajaran harian, tiada inisitif menggunakan bahan bantu mengajar semasa mengajar dan lain-lain.
Isu ketiga pula merupakan isu kemahiran guru Pendidikan Khas sendiri. Kebanyakan guru-guru yang mengajar di Program Pendidikan Khas adalah tidak terlatih untuk mengajar murid-murid Pendidikan Khas. Melalui kajian yang dilakukan oleh Aliza Alias dan Mohd Mokhtar Tahar dari fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia melalui petikan akhbar Utusan Malaysia (2007), menyatakan bahawa :
 “Hanya 13.3 peratus sahaja guru yang terlibat dalam kajian ini mempunyai bidang pengkhususan masalah pembelajaran. Secara keseluruhannya 86.7 peratus guru yang mengajar dalam program ini adalah guru yang tidak dilatih mengajar kanak-kanak masalah pembelajaran,” menurut kajian itu.
Ini bermaksud bilangan guru yang mengajar pendidikan Khas pada waktu itu bukanlah guru yang datang dari opsyen Pendidikan Khas yang mana mereka ini tidak terlatih. Contohnya terdapat segelintir manusia memasuki Pendidikan Khas sebagai batu loncatan untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi dengan mudah, ada yang memasuki bidang khas ini kerana mereka tidak mendapat pekerjaan lain setelah menamatkan pengajian di universiti. Menurut kajian itu lagi, guru perlulah mempunyai ilmu dan kemahiran tentang ciri kanak-kanak supaya perhatian terhadap keperluan mereka dapat ditumpukan dengan berdasarkan keupayaan murid untuk belajar. Kekurangan ilmu dan kurangnya latihan pedagogi untuk mengajar murid-murid khas akan mencetuskan rasa tidak puas hati oleh ibu bapa yang terdiri daripada golongan berpendidikan.
Isu keempat adalah isu berhubung kemahiran bersosial guru Pendidikan Khas. Melalui pengalaman praktikum semasa berada di sekolah, didapati kebanyakan guru yang berada di program Pendidikan Khas tidak mempunyai hubungan interpersonal yang rendah dengan guru-guru daripada aliran perdana. Sudahlah blok bangunan program Pendidikan Khas terletak berasingan dengan bangunan lain, guru-gurunya pula tidak bercampur gaul dengan guru-guru lain walaupun mereka boleh memilih untuk tidak berbuat demikian. Contohnya, mereka lebih selesa makan di bilik rehat yang terdapat di bilik program Pendidikan Khas daripada makan di kantin. Melalui sikap dan tindakan sebegini, mereka akan mengundang persepsi negative dari guru-guru lain.
Isu kelima ialah isu kekurangan guru-guru Pendidikan. Guru Pendidikan Khas menghadapi masalah untuk cuba menyelaraskan pelajaran apabila murid-muridnya terdiri daripada pelbagai jenis kecacatan malah akan menjadi lebih sukar sekiranya menerima murid-murid yang dalam kategori berat seperti autisme dan hyperaktif. Pada hari ini, seorang guru akan mengajar enam hingga lapan orang murid khas di sebuah kelas dan untuk menjalankan satu sesi pengajaran. Masalah ini boleh diatasi jika terdapat guru Pendidikan Khas yang terlatih dalam bilangan yang ramai.



2.3  MURID KHAS
Selain isu yang melibatkan pihak pengurusan sekolah dan guru Pendidikan Khas terdapat juga isu-isu yang datang daripada murid-murid khas sendiri. Isu pertama ialah isu kehadiran murid. Murid-murid khas ini didapati kerap tidak hadir ke sekolah. Antara faktor penyebab kepada masalah ini ialah masalah pengangkutan dan masalah kesihatan. Terdapat Ibu  bapa yang tidak berkemampuan serta tidak memiliki kenderaan yang menyukarkan mereka untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Pernah saya lihat seorang tua yang menghantar cucunya ke sekolah dengan menaiki basikal setiap hari, namun apabila dia jatuh sakit maka cucunya tidak dapat hadir. Namun perkara ini adalah satu masalah kerana kehadiran merupakan salah satu perkara penting yang termaktub dalam undang-undang sekolah dan menjadi perhatian Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah.
Isu kedua merupakan isu komunikasi. Kebanyakan murid-murid khas mempunyai masalah komunikasi yang menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran terjadi diantara guru dengan murid. Contohnya masalah tiada nahu tentang bahasa yang mana mereka menghasilkan bunyi yang tidak mempunyai sebarang makna.
Isu ketiga pula ialah dari segi Rancangan Pengajaran Individu (RPI). Isu ini berkenaan keberkesanan pelaksanaan RPI terhadap murid-murid khas di sekolah. Rancangan pengajaran Individu yang terdapat disekolah kurang berkesan dalam membantu murid-murid. Ini kerana bagi seorang pelajar, harus ada seorang penilai supaya perkembangan murid dapat lebih diperhatikan dan dilaksanakan.
Isu keempat yang melibatkan murid adalah berkenaan pelabelan murid semasa berada di program Pendidikan Khas. murid-murid khas sering dilabel dengan panggilan-panggilan yang buruk. Ini membuatkan mereka tertekan secara emosi. Kadangkala ia akan menimbulkan masalah tingkahlaku seperti bersembunyi bagi mengelakkan daripada diejek oleh murid-murid lain ataupun terdapat murid yang bertindak lebih ganas sehingga memukul.
Isu kelima pula merupakan isu gangguan seksual dan ketidakseimbangan hormone yang berlaku kepada murid-murid khas. Murid-murid khas yang tidak mengerti apa-apa selalu dijadikan mangsa gangguan seksual oleh rakan-rakan malah guru Pendidikan Khas sendiri. Isu ini merupakan isu serius yang perlu diberikan perhatian kerana ia merupakan satu jenayah pedofilia. Lain pula dengan ketidakseimbangan hormone yang berlaku sesama murid-murid Pendidikan Khas. Murid-murid khas juga manusia yang diciptakan oleh tuhan dan mempunyai keinginan untuk berpasangan seperti orang lain, namun mereka tidak pandai mengawal keterujaan mereka sekiranya mereka menyukai seseorang. Contohnya, murid daripada kategori sindrom Down. Isu-isu seperti ini akan membawa kepada masalah-masalah lain jika tidak dibendung seperti hubungan jenis sesame murid.



2.4  IBU BAPA/ WARIS
Antara isu-isu yang melibatkan ibu bapa atau waris dalam pelaksanaan program Pendidikan Khas di sekolah-sekolah ialah : isu pertama, kerjasama oleh pihak ibu bapa kepada pihak sekolah. Melalui isu ini, pihak ibu bapa didapati tidak memberikan kerjasama kepada pihak sekolah khususnya program Pendidikan Khas. Terdapat ibu bapa yang enggan membenarkan anak-anak mereka mengikut program yang dianjurkan oleh pihak program Pendidikan Khas untuk anak-anak mereka. Sebagai contoh, aktiviti luar kelas seperti lawatan sambil belajar dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan unsure-unsur terapi seperti terapi renang dan terapi berkuda kerana khuatir keselamatan anak-anak mereka. Malah ada yang tidak membenarkan anak anak mereka mengikuti aktiviti yang diadakan kerana takut jika pihak sekolah meminta bayaran daripada mereka. Selain itu, ibu bapa mahupun waris juga tidak memberikan kerjasama apabila tidak hadir ke program bersama yang dianjurkan di sekolah terutamanya yang berkaitan dengan Pendidikan Khas seperti perbincangan Rancangan Pengajaran Individu (RPI).
Isu kedua pula merupakan isu tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Maksud tanggungjawab ibu bapa di sini menjadi isu apabila mereka kurang memberikan perhatian terhadap pelajaran, pemakanan dan kesihatan anak-anak mereka sebaliknya melepaskan tanggungjawab tersebut kepada guru Pendidikan Khas. Antara contoh yang boleh diperhatikan ialah apabila ibu bapa tidak mengambil inisiatif untuk melakukan tindakan susulan dirumah seperti aktiviti berbentuk intervensi ataupun bagi yang ibu bapa yang berkemampuan, mereka boleh mendapatkan khidmat daripada pakar-pakar terapi untuk membantu mengurangkan masalah anak-anak mereka. Selain daripada contoh di atas, terdapat ibu bapa yang menganggap program Pendidikan Khas di sekolah sebagai pusat asuhan apabila menghantar anak-anak pada awal pagi tetapi lewat mengambil mereka.
Isu seterusnya ialah jangkaan atau harapan ibu bapa yang tinggi terhadap anak-anak dan guru-guru. Isu ini terjadi apabila ibu bapa mendatangkan tekanan ke atas guru-guru Pendidikan Khas kerana inginkan peningkatan dalam pencapaian anak-anak dalam masa yang singkat. Melalui isu ini, ibu bapa akan sentiasa memberikan komen-komen yang negatif kerana apa yang mereka harapkan tidak menjadi.
Isu keempat merupakan isu penyalahgunaan bantuan murid-murid khas. terdapat ibu bapa yang menyalahgunakan bantuan yang diterima oleh anak-anak mereka terutaamanya ibu bapa yang tidak bekerja. Contoh penyalahgunaan yang melabtkan bantuan kepada murid-murid khas ialah elaun murid-murid khas dan elaun Orang Kurang Upaya (OKU).

Isu yang kelima merupakan isu ibu bapa yang tidak mengetahui jenis bantuan dan saluran yang perlu dirujuk bagi membantu anak-anak mereka. Terdapat ibu bapa yang prihatin terhadap keadaan anak-anak mereka dan mereka ingin membantu anak-anak mereka namun mereka tidak mengetahui kemanakah hala yang patut ditujui dan apakah jenis bantuan atau khidamat yang boleh diberikan kepada anak-anak mereka selain daripada sekolah. ini juga merupakan isu yang dihadapi oleh segelintir pihak waris atau ibu bapa.



3.0  CADANGAN UNTUK MENGATASI MASALAH
Masalah yang banyak mempengaruhi seorang guru Pendidikan Khas ialah masalah dari aspek pihak pengurusan sekolah. Oleh itu, saya ingin memberikan cadangan untuk mengatasi isu layanan kelas kedua yang diterima oleh guru-guru dan murid Pendidikan Khas daripada pihak pengurusan sekolah.
Terdapat beberapa cadangan bagi mengatasi isu yang tedapat dalam masalah ini, yang memerlukan penglibatan beberapa pihak seperti Kementerian Pelajaran Malaysia dan guru Pendidikan Khas sendiri. Melalui pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, cadangan yang diberikan supaya boleh dilaksanakan ialah dengan mengeluarkan pekeliling  ataupun peringatan kepada sekolah tentang kepentingan program Pendidikan Khas. Pekeliling yang dikeluarkan oleh Pihak Kementerian harus dipatuhi oleh semua guru dan mampu menjadi titik tolak kepada perubahan pemikiran prejudis terhadap guru-guru dan murid Pendidikan Khas.
Cadangan kedua ialah berkaitan tindakan yang boleh diambil oleh guru Pendidikan Khas untuk mengatasi isu ini. Guru-guru pendidikan Khas perlu mengadakan sebuah ceramah pendedahan tentang program pendidikan Khas di kalangan pihak pengurusan pentadbiran dan guru-guru aliran perdana terutamanya jika sekolah tersebut baru sahaja membuka program Pendidikan Khas.
Adalah diharapkan melalui kedua-dua cadangan seperti ini mampu membuka mata dan minda guru-guru lain tentang kepentingan program Pendidikan Khas di sekolah.


4.0  KESIMPULAN
Kesimpulannya, setiap pihak mempunyai isu yang perlu diketengahkan dalam pelaksanaan program Pendidikan Khas di sekolah. Maka, pihak tersebut iaitu pihak pengurusan pentadbiran, guru Pendidikan Khas dan ibu bapa perlu menjalankan peranan masing-masing dan melalui kerjasama yang dibentuk, segala isu yang timbul diharapkan dapat diselesaikan.



No comments:

Post a Comment