Pages

Sunday, October 31, 2010

PISMP 1 - KKBI IP II (EN KHALID)


PERANAN GURU DALAM MEREALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGASAAN DAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU


Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, segi rohani, segi emosi dan segi jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,  mempunyai ketrampilan, berakhlak mulia, yang bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat serta negara.


Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan ideologi yang terkandung dalam laporan pendidikan, Akta Pendidikan, Rukun Negara serta ideologi dan budaya masyarakat Malaysia. Pada hari ini, peranan guru dalam merealisasikan hasrat dalam Falsafah pendidikan Kebangsaan adalah sangat penting di mana guru merupakan penggerak utama kea rah mencapai matlamat pendidikan. Guru merupakan pendidik dan mempunyai iltizam yang lebih untuk melaksanakan aktiviti bagi mencapai aspirasi-aspirasi dalam Falsafah Pendidikan Negara.
                                                     
Dalam usaha untuk mencapai matlamat ini, para guru perlu bertindak sebagai model yang berpendidikan dan berpengetahuan dalam kebudayaan bangsa dan nilai-nilai tradisional  masyarakat. Mereka perlu berkelakuan dan menunjukkan tingkah laku yang baik dan menjadi contoh kepada para pelajarnya. Mereka perlu mengikis dan membuang sikap-sikap buruk yang tidak sesuai untuk dijadikan contoh kepada para pelajar mereka. Sikap buruk seperti hasad dengki, mementingkan diri sendiri, tidak bertanggungjawab, tidak komited terhadap kerja mereka harus dibuang dan dilupuskan dari diri mereka dalam usaha untuk menjadikan diri mereka sebagai idola dan ‘role model’ yang akan dicontohi dan diikuti oleh para pelajar mereka.

Para guru juga, perlu mempertingkatkan lagi diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang baru agar mereka lebih bersedia untuk melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran baru bagi melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Guru mesti berkeyakinan terhadap kebebasan, mempunyai semangat dan sanggup menerima risiko. Para guru hendaklah rajin dan tekun berusaha memajukan diri mereka dan tidak mudah berputus asa demi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada anak bangsa. Mereka juga harus mempunyai semangat yang tinggi, berkeyakinan, bermotivasi dan menyerahkan diri mereka sepenuhnya ke dalam bidang yang diceburi mereka. Tanpa semangat yang kuat dan jitu, para guru akan mudah berputus asa dan tidak sanggup untuk melaksanakan tangggungjawab untuk mendidik anak bangsa dengan jujur, ikhlas, amanah dan berkesan.

Golongan pendidik perlu berubah ke arah yang positif iaitu sanggup menanggung risiko untuk mendatangkan pembaharuan atau inovasi dalam bidang pendidikan. Mereka perlu membuang persepsi negatif yang akan menjadikan diri mereka mundur dan susah untuk maju ke hadapan.  Guru perlu membantu pelajar untuk berjaya dalam usaha mencari kesedaran kendiri. Guru mesti melibatkan diri bersama-sama pelajar. Melalui penglibatan antara guru dan pelajar terdapat pelbagai kebaikan dan kesan positif yang dapat diperolehi. Antaranya ialah, para guru dapat mengenalpasti kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh murid dan menyediakan kaedah penyelesaian yang efektif dan berkesan untuk menyelesaikan masalah pelajar dan secara tidak langsung akan dapat meninkatkan prestasi akedemik dan ko-kurikulum para pelajar. Selain itu, hubungan antara guru dan para pelajar dapat dieratkan dan ini dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih ceria dan kondusif. Suasana yang selesa ini akan menimbulkan minat para pelajar untuk belajar dan menerokai bidang ilmu dengan amat luas tanpa rasa bosan dan tertekan.

Selain daripada itu, para guru juga perlu berpandangan jauh dan luas. Mereka perlu terus berusaha untuk menjadikan hasrat yang terkandung dalam wawasan 2020 itu satu realiti. Melalui pandangan jauh dan bernas, para guru yang kreatif dapat mencipta satu kaedah pengajaran dan pembelajaran baru yang sesuai, efektif dan releven mengikut perkembangan dunia semasa. Pandangan jauh dan terbuka juga dapat mengikis sikap tradisional yang menjadi penghalang kepada perkembangan dalam bidang pendidikan. Contohnya, sistem atau kaedah pendidikan baru serta moden yang berbeza dengan sistem pendidikan tradisional dapat dilaksanakan dan hasilnya jauh lebih baik dan berkesan berbanding dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran tradisional yang dilaksanakan sebelum ini.  

Guru berperanan menimbulkan isu-isu sosial penting dan perlu menerangkan kepada pelajarnya bentuk masyarakat demokrasi untuk membentuk bakat yang ada dalam diri mereka. Bakat dan potensi yang terpendam dalam diri para pelajar harus dicungkil serta diketengahkan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang mahir dalam pelbagai bidang keduniaan dan juga keagamaan. Kegagalan para guru untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat yang terpendam dalam diri pelajar merupakan suatu pembaziran kepada sumber manusia pada masa akan datang. Para guru juga bukan sekadar terlibat dari segi akademik sahaja malah mereka juga secara tidak langsung terlibat dalam perkembangan sosial para pelajar mereka. Sekiranya penerapan nilai sosial tidak dilakukan dengan baik oleh guru terhadap pelajar mereka, dikhuatiri para pelajar mereka akan terlibat dalam gejala social yang tidak sihat seperti penyalah gunaan dadah, pergaulan bebas, penipuan, pecah amanah dan sebagainya.

Guru tidak mengenakan disiplin kepada pelajarnya tetapi meminta pelajar menerima disiplin yang dianggap berfaedah buat dirinya. Ini bermaksud para guru tidak mengutamakan hukuman semata-mata terhadap pelajar mereka yang melakukan kesalahan. Tetapi sebaliknya, guru menerangkan serta menjelaskan tentang disiplin, moral dan tatacara hidup agar para pelajar sedar bahawa mereka perlu patuh kepada peraturan yang dilaksanakan kerana ianya bertujuan untuk melatih mereka untuk mendisiplinkan diri serta dapat menjadikan mereka insan yang patuh kepada peraturan dalam kehidupan mereka pada masa akan datang.

Secara tuntasnya, peranan guru dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan kebangsaan adalah amat penting kerana merekalah insan yang bergelar pendidik anak bangsa dan hasil didikan merekalah yang menjadi penetu kepada pembangunan modal insan yang cemerlang pada masa akan datang. Tanpa komitmen para guru, maka usaha untuk melahirkan modal insan yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan social sebagaimana yang ditekankan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan mengalami kegagalan. Justeru itu, semua guru harus sedar akan kepentingan mereka terhadap perkembangan generasi akan datang dan terus berusaha dengan tekun untuk memajukan diri mereka serta anak didik mereka bagi memastikan masyarakat Malaysia yang mempunyai intelektual yang tinggi dan dapat menyumbang ke arah pembangunan,  kemakmuran dan kemajuan negara.

No comments:

Post a Comment