Pages

Monday, November 1, 2010

PISMP 3 - HET (EN ZAHIR B. MOHD DARUS)


PERANAN KERAJAAN KE ARAH PEMUPUKAN HUBUNGAN ETNIK DAN CABARAN – CABARAN YANG DIHADAPI

Antara program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan keharmonian hubungan etnik di Malaysia ialah pertama menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, telah membuka mata pelbagai pihak tentang pentingnya usaha-usaha yang lebih serius diberikan tumpuan dalam mengurus perbezaan serta sensitiviti yang terdapat dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, rusuhan kaum 1969 adalah terjadi kerana perjalanan kempen pilihanraya yang dipenuhi dengan isu-isu perkauman dan sensitiviti seperti bahasa, agama dan kedudukan istimewa orang melayu. Selain itu, ia juga berpunca daripada kecemburuan sosiekonomi yang berlaku antara tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Orang melayu masih ditakuk lama iaitu hanya mengusahakan pertanian, orang Cina di bandar menguruskan perniagaan manakala orang India masih di estet menjalankan aktiviti perladangan. Ini menimbulkan ketidakpuasan hati dikalangan orang Melayu kerana mereka merasa seolah-olah dianaktirikan di negeri sendiri.  Berikutan perisiwa tersebut, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan. Pada I Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara di bawah perintah MAGERAN telah diwujudkan bagi menangani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di negara kita pada waktu itu. ( JPNIN, 2006 ). Selepas pembubaran MAGERAN, Majlis Penasihat Perpaduan Negara telah ditubuhkan iaitu pada 23 Februari 1971 yang bertanggungjawab bagi memupuk dan memelihara perpaduan antara kaum di negara ini dan diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perpaduan Negara.

JPNIN melalui Pelan Tindakan Perpaduan dan Integrasi Nasional 2005-2010 telah merancang pelbagai strategi untuk memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Antaranya ialah melalui Strategi Politik, Strategi Ekonomi, Strategi Pendidikan, Strategi Penggunaan Bahasa Kebangsaan, Strategi Pembangunan Kawasan, Strategi Penggunaan Tenaga Manusia, Strategi Media Massa, Strategi Kesukanan, Strategi Pemasyarakatan Perpaduan, Strategi Pertubuhan Sukarela, Strategi Penyelidikan dan Penerbitan Bahan Bacaan, Strategi Pemantauan Isu-Isu Semasa dan Konflik, Strategi Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara ( PANEL ) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri ( JKPPN ), Strategi Program dan Aktiviti Perpaduan dan strategi-strategi lain yang dicadangkan boleh membantu memantapkan proses perpaduan ialah mewujudkan latihan dalam bidang komunikasi antara budaya, mewujudkan pengauditan dasar-dasar kerajaan, menghasilkan satu etika mengenai hak dan tanggungjawab kemanusiaan untuk rakyat Malaysia dan penerbitan bahan bacaan secara meluas mengenai kaum-kaum di Malaysia. Melaksanakan kesemua strategi-strategi tersebut dengan secara menyeluruh dan berkesan merupakan cabaran utama yang dihadapi kerajaan.
Cabaran seterusnya pula semasa kerajaan melaksanakan strategi-strategi ini ialah masih terdapat suara-suara minoriti yang sumbang kedengaran. Mereka ini masih tidak mempercayai sepenuhnya usaha-usaha yang dilakukan kerajaan atas sebab masih menyimpan dendam daripada peristiwa 13 Mei 1969, bersikap prejudis dan mengamalkan etnosentrisme. Tidak dinafikan juga hal ini berpunca daripada hasutan pengkhianat-pengkhianat negara yang mempunyai agenda-agenda tersendiri.
Selain cabaran diatas, cabaran lain dihadapi kerjaan ialah menunggu untuk mendapatkan keputusan. Untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum memerlukan masa yang sangat lama, apatah lagi apabila dengan peristiwa hitam yang pernah berlaku di negara ini. Justeru, kerajaan terpaksa menunggu supaya semua strategi yang dirancang berjaya dengan menyemaikan semangat patriotism kepada negara dan nilai bersatu padu secara progresif.

Selain mewujudkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, kerajaan juga berperanan untuk menjalankan satu program iaitu Memperkasakan Sekolah Kebangsaan. Sistem pendidikan pelbagai aliran telah menyebabkan tidak ada acuan khusus yang boleh digunakan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu. Sistem pendidikan pelbagai aliran yang wujud sekarang telah mengakibatkan ibu bapa pelajar memilih aliran mengikut kaum masing-masing. Usaha memupuk perpaduan haruslah dimulakan sejak awal lagi dengan membabitkan murid sekolah rendah dalam acuan yang sama. Dengan itu, sekolah kebangsaan perlu diperkasakan bagi menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai etnik. Para pelajar juga haruslah dilatih untuk hidup saling bekerjasama dan mempunyai semangat patriotisme serta berakomodatif yang tinggi.

Memperkasakan dan memantapkan lagi sekolah kebangsaan merupakan agenda penting negara dan merupakan cabaran kepada kerajaan bagi menjaga dan meningkatkan hubungan etnik di Malaysia. Oleh itu, pelbagai usaha diambil untuk memperkasakan sekolah kebangsaan dalam sistem pendidikan negara bagi meletakkan landasan yang lebih kukuh ke arah menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini. Antaranya ialah tidak mengetepikan terus sekolah rendah jenis kebangsaan. Ini telah dipersetujui oleh semua golongan etnik di bawah kontrak sosial. Setiap ibu bapa, diberi kebebasan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Jika mereka memilih sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil, maka tidak ada sesiapa yang boleh menghalang mereka. Namun, Sekolah Kebangsaan merupakan institusi pendidikan utama bagi anak-anak Malaysia untuk memenuhi aspirasi dan memiliki jati diri nasional. Sekolah Kebangsaan bukan sahaja berkemampuan untuk mendidik pelajar tetapi membantu menanam nilai-nilai perpaduan dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum. Sekolah Kebangsaan merupakan aliran utama pendidikan untuk semua warganegara Malaysia tanpa mengira kaum.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, bagi menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan, kualiti pengajaran di sekolah kebangsaan akan dipertingkat dengan 100 peratus guru di sekolah menengah dan 25 peratus guru di sekolah rendah akan mempunyai kelayakan ijazah pertama menjelang tahun 2010. Pihak kerajaan hampir berjaya merealisasikan impian mereka kerana kini telah wujud beberapa program khas untuk lepasan-lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) iaitu program yang mengiktiraf pelajar untuk menjadi seorang guru yang berijazah.

Cabaran utama yang dihadapi untuk memperkasakan sekolah kebangsaan ialah untuk menarik minat orang bukan Melayu untuk memasuki sekolah ini. Ini kerana ramai ibu bapa dari golongan bukan melayu merasakan mereka lebih suka sistem pendidikan menggunakan bahasa pengantar mengikut bahasa ibunda mereka. Mereka merasakan melalui pendidikan di sekolah rendah jenis kebangsaan samada tamil atau cina, anak mereka akan lebih berjaya.

Cabaran seterusnya ialah usaha untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar. Tanggungjawab ini bukan hanya diletakkan kepada pihak sekolah semata-mata tetapi juga institusi pendidikan tinggi. Oleh itu, antara langkah dijalankan untuk mengatasi cabaran ini ialah tidak mengetepikan proses penguasaan bahasa ibunda masing-masing dengan memperkenalkan pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil. Selain itu, peranan sebagai seorang guru juga perlu, dengan memberikan kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan interaksi antara golongan etnik. Seterusnya, guru juga boleh mengadakan lebih banyak aktiviti antara golongan etnik dan mengadakan program interaksi antara sekolah dan memasukkan unsur-unsur interaksi etnik dalam kurikulum serta meningkatkan kemahiran berinteraksi dengan golongan etnik lain.

Melalui usaha-usaha kerajaan dalam aspek pendidikan, selain daripada memperkasakan sekolah kebangsaan kerajaan juga telah memperkenalkan Konsep Sekolah Wawasan. Langkah ini adalah sebagai salah satu pendekatan alternatif untuk memupuk nilai perpaduan kaum dan integrasi nasional dengan membina dua atau tiga jenis sekolah rendah baharu yang berlainan bahasa pengantar dan pentadbiran dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan asas seperti padang permainan, dewan dan sebagainya. Konsep sekolah wawasan ini merupakan salah satu daripada peranan kerajaan dalam usaha pemupukan hubungan etnik. Pelaksanaan Sekolah Wawasan juga, bertujuan mewujudkan persekitaran yang memberi peluang yang luas kepada para pelajar pelbagai kaum untuk bergaul dan berinteraksi dalam pelbagai aktiviti tanpa menjejaskan status dan perkembangan Sekolah Jenis Kebangsaan yang sedia ada.
Akan tetapi, pelaksanaan sekolah wawasan juga mempunyai masalahnya yang tersendiri. Walaupun pihak pentadbiran sekolah menggalakkan supaya melakukan pergaulan sesame murid yang berlainan kaum namun ia tidak menerima respons yang dikehendaki mereka. Walaupun berkongsi satu kawasan tetapi murid-murid ini masih duduk sesama kaum masing-masing, bercakap meggnuakan bahasa ibunda masing-masing yang mana ini menyebabkan usaha kerajaan tidak seratus peratus tercapai.


Seterusnya, kerajaan telah memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara. Program ini ialah sebuah program yang mula dilaksanakan pada tahun 2004 dan ia merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan secara berkhemah dan berasrama bagi remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. Ia dilaksanakan berteraskan Rukun Negara dan mempunyai kurikulum pelbagai disiplin yang merangkumi empat modul iaitu Modul Fizikal, Modul kenegaraan, Modul Pembinaan Karakter dan Modul Khidmat Komuniti. Modul Fizikal merangkumi aktiviti kawad, merempuh halangan merentas desa dan kembara hutan. Modul Kenegaraan pula melibatkan pengetahuan tentang pembinaan negara. Modul Pembinaan Karakter adalah untuk memperlihatkan tentang penerokaan diri sendiri dan hubungan interpersonal manakala Modul Khidmat Komuniti merangkumi aktiviti gotong-royong seperti membersih, mengindah dan menceriakan kawasan persekitaran yang dipilih. PLKN tidak bersifat kerahan tenaga dan tidak mengikut gaya hidup yang diamalkan oleh negara lain. PLKN sememangnya menyumbang terhadap usaha memupuk perpaduan kaum, terutamanya dalam kalangan golongan remaja kerana semua aktiiti yang dijalankan menekankan semangat muhibah dan saling bertolak ansur antara peserta tanpa mengira kaum dan agama. Modul Kenegaraan dapat menyemai semangat cinta akan tanah air disamping membolehkan para peserta mempelajari adat dan budaya pelbagai kaum.

Antara cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan program ini adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional, membentuk perwatakan positif melalui pemupukan nilai-nilai murni, menyemarakkan semangat kesukarelaan dan melahirkan generasi muda yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan.

 Cabaran kedua ialah bagi menyatukan remaja berbilang kaum di bawah satu bumbung. Pihak pengendali Program Latihan Khidmat Negara perlu bijak dalam mengendalikan program agar semua peserta diberikan layanan adil dan tidak berat sebelah. Ketidakelancaran program ini akan menambahkan jurang antara etnik dan juga sikap prejudis dan stereotaip terhadap etnik lain dalam diri para peserta. Apabila ini berlaku maka tidak wujudlah rasa cintakan negara dalam diri peserta, maka perpaduan dan kerjasama antara kaum di Malaysia tidak dapat diwujudkan kerana masing-masing tidak mempunyai  satu matlamat yang sama iaitu untuk melihat Malaysia sebagai negara yang aman dan harmonis. Hal ini akhirnya dapat  tidak dapat melahirkan remaja yang sanggup berkorban demi perpaduan bangsa.

            Dasar Ekonomi Baru ialah satu bentuk perancangan yang dilancarkan oleh kerajaan dalam tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua yang bertujuan untuk membetulkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di Negara ini. Matlamat utamanya ialah perpaduan negara. Menyedari hakikat bahawa matlamat untuk mewujudkan sebuah negara yang mempunyai rakyat yang bersatu padu hanya boleh dicapai sekiranya penduduknya menikmati pengagihan ekonomi yang seimbang, DEB telah dirancang dengan mengambil kira kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain.

Wujudnya kemiskinan dengan sendirinya telah menimbulkan ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta. Sewaktu tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, masalah kemiskinan di Malaysia sebenarnya bukan merupakan masalah
orang Melayu sahaja tetapi juga masalah kaum-kaum yang lain. Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. W alaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik, tetapi yang jelas ialah orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain. DEB dirancang sebagai satu program jangka panjang yang akan berjalan selama 20 tahun, bermula dari tahun 1970 hingga tahun 1990.

Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru dijalankan menerusi strategi serampang dua mata iaitu seperti yang dijelaskan diatas iaitu, pertama; pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan keduanya; penyusunan semula masyarakat dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

Antara cabaran utama yang dihadapi dalam melaksanakan dasar ini ialah untuk menghapuskan kemiskinan di kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Berdasarkan banci penduduk 1970, didapati bahawa kira-kira 49.3% daripada semua keluarga miskin di Malaysia berpendapatan di bawah garis kemiskinan (pendapatan garis kemiskinan tahun 1970 ialah RM200) dan kira-kira 86% daripada jumlah itu berada di kawasan luar bandar. Bagi mencapai matlamat dan mengatasi masalah tersebut, kerajaan telah melaksanakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam melalui kemudahan pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, keutamaan juga diberikan kepada golongan miskin untuk mendapatkan bantuan seperti program bantuan subsidi baja, biasiswa pelajaran dan buku teks, makanan tambahan kepada kanak-kanak serta program rumah murah. Menjelang tarikh akhir pelaksanaan DEB, matlamat untuk membasmi kemiskinan telah tercapai.

Cabaran kedua pula adalah untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Berasaskan pada ketidakseimbangan antara kaum, kerajaan telah melancarkan beberapa program seperti perindustrian, perdagangan, perlombongan, pembinaan, pengangkutan dan pertanian. Bagi menjayakan matlamat yang kedua dalam DEB ini juga, beberapa strategi telah dirancang, antaranya ialah dengan meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin di luar bandar, mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga supaya penyertaan pelbagai kaum dalam sektor utama akan mencerminkan kedudukan  tenaga buruh mengikut komposisi kaum menjelang tahun 1990, menambah dengan cepat bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan sektor   produktif. Perhatian khusus akan ditumpukan kepada kaum Bumiputera yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain dan akhir sekali ialah dengan mempastikan pembentukan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya mereka dapat menguruskan dan memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi.
Cabaran ketiga pula adalah menyusun semula guna tenaga kerana matlamat yang ditetapkan tidak tercapai sepenuhnya. Bagi memastikan matlamat ini tercapai, kerajaan telah membentuk Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan kesinambungan pelaksanaan DEB. Melalui Dasar Pembangunan Negara, kerajaan menggalakkan penyertaan bumiputera yang lebih meluas terutamanya dalam sector-sektor moden seperti pembuatan dan perkhidmatan.

No comments:

Post a Comment