Pages

Thursday, November 4, 2010

PISMP 6 - KKBI PDK (EN AZMI ABU BAKAR)


1.0  PENGENALAN

Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (2010), menyatakan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) merupakan hasil program yang telah dipelopori oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada peringkat global manakala di Malaysia progam ini merupakan sebuah kerjasama di antara pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang terlibat secara langsung bermula tahun 1984.


Azmi Abu Bakar (2010) telah menyatakan antara tujuan pelaksanaan Program Pemulihan Dalam Komuniti adalah seperti berikut :
1.    Meningkatkan kualiti hidup golongan orang kurang upaya ke tahap maksimum.
2.    Memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat bahawa golongan masyarakat yang tidak berupaya perlukan bantuan.
3.    Memberi pengetahuan, kesedaran pemulihan kepada golongan orang kurang upaya, ahli keluarga dan saudara mara terdekat dalam pemulihan.
4.    Membentuk jawatankuasa bertindak dikalangan ahli keluarga, golongan professional sukarelawan dan komuniti tempatan dalam merencanakan program untuk golongan kurang upaya.
5.    Mendekatkan perkhidmatan pemulihan dan intervensi awal untuk orang kurang upaya di peringkat komuniti.
6.    Menyediakan peluang bagi orang kurang upaya untuk membangunkan kebolehan dan kemahiran mengikut potensi mereka melalui sumber-sumber yang ada.
7.    Membolehkan integrasi social bagi orang kurang upaya yang mengurangkan sekatan fizikal, sosial, kebudayaan dan psikologi yang wujud antara ahli masyarakat dan orang kurang upaya.
8.    Menggalakkan penggunaan kaedah teknik pemulihan yang berkesan dan diterima masyarakat, sesuai dengan keadaan tempatan dan kemampuan.


1.1  KONSEP PDK

Konsep bagi Program Pemulihan Dalam Komuniti merupakan kaedah pembangunan komuniti untuk golongan orang kurang upaya dimana program pencegahan, pemulihan dan pembangunan boleh dilakukan dengan penglibatan aktif keluarga dan masyarakat setempat supaya dapat mengecapi peluang samarata serta diintegrasikan dalam masyarakat. Tumpuan diberikan kepada latihan pemulihan dan latihan asas dimana ia dibuka kepada semua jenis kecacatan, peringkat umur dan jantina.

Sebagai contoh, konsep PDK “One Stop Centre” yang merupakan pusat tumpuan melalui program berasaskan pendekatan integrasi komuniti di setiap daerah dan negeri. Melalui pusat tumpuan PDK “One Stop Centre” ini, perkhidmatan akan disediakan bagi OKU di suatu tempat supaya memudahkan masyarakat sekelilingnya mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan keperluan semasa serta latihan yang bersesuaian.

Antara peranan PDK “One Stop Centre” ini adalah seperti berikut :
                                              i.        Pusat Intervensi Awal OKU.
                                             ii.        Pusat Sumber maklumat OKU.
                                            iii.        Pusat Rujukan OKU.
                                            iv.        Pusat Pendaftaran OKU.
                                             v.        Pusat Advokasi.
Terdapat tiga kaedah pelaksanaan PDK, PDK Insani (2008):
1.    PDK di pusat (Centre Based) – Program pemulihan yang dijalankan terhadap OKU selama empat jam sehari bertempat di pusat. Pelatih atau OKU akan datang ke pusat PDK bagi menjalani program pemulihan.
2.    PDK di rumah (Home Based) - Program pemulihan dijalankan di rumah OKU yang tidak dapat hadir ke PDK kerana beberapa masalah seperti kecacatan yang dialaminya ataupun masalah pengangkutan. Pekerja PDK akan ke rumah OKU yang terpilih untuk menjalankan latihan pemulihan dan bertugas dalam tempoh empat jam sehari. Pelaksanaan PDK di rumah ini dapat dilaksanakan sekiranya terdapat lebih daripada 15 OKU yang tidak hadir ke PDK.
3.    PDK di pusat dan rumah (Centre-Home Based) – Program pemulihan dijalankan di pusat PDK selama empat hari di dalam tempoh empat jam dan di dalam tempoh seminggu, terdapat satu hari selama empat jam dikhaskan untuk ke rumah OKU. Perkara ini membolehkan perkembangan OKU dilihat setelah menjalani pemulihan.



1.2  TEORI

Terdapat dua teori yang berkaitan iaitu teori Ekologi Bronfenbrenner serta teori pembelajaran sosial oleh Albert Bandura.

Teori ekologikal menekankan pengaruh persekitaran ke atas perkembangan organisma. Di dalam teori ini terdapat lima sistem persekitaran yang berkaitan dengan hidup seseorang iaitu :
1.    Sistem mikro – persekitaran terdekat OKU contoh rumah ataupun       pusat pemulihan
2.    Sistem meso – hubungan OKU dengan individu lain dalam persekitaran dimana individu itu berkembang. Contohnya :rumah, sekolah, pusat pemulihan, jiran
3.    Sistem ekso - persekitaran yang tidak melibatkan OKU secara langsung tetapi mempengaruhi sistem OKU dan keluarga. Contoh, tempat kerja bapa
4.    Sistem makro – persekitaran yang abstraks merangkumi system kepercayaan dan ideologi
5.    Sistem krono – merujuk kepada peristiwa dan transisi yang berlaku dalam persekitaran OKU sepanjang hayatnya.

Manakala dalam Teori pembelajaran manusia pula menyatakan bahawa kelakuan manusia saling bertindak di antara kognitif, kelakuan dan ejen penentu persekitaran. Teori pembelajaran ini menekankan kepada peranan kognitif dan persekitaran dalam perkembangan. Kebanyakan kelakuan manusia dipelajari melalui pemerhatian terhadap permodelan.

Kesimpulannya, kedua-dua teori ini menekankan kepentingan persekitaran terhadap seseorang individu apatah lagi kepada golongan orang kurang upaya. Mereka memang memerlukan persekitaran untuk membangun kerana mereka ini mempunyai banyak kekurangan dan tidak ramai yang mampu berdikari sendiri. 

2.0  KEPENTINGAN PDK OKU

Antara kebaikan PDK kepada golongan OKU adalah seperti berikut:
1.    Perkhidmatan disampaikan dimana golongan kurang upaya ini tinggal
2.    Tidak mengasingkan golongan kurang upaya daripada keluarga, kawan dan masyarakat dimana dia dibesarkan
3.    Menguatkan keyakinan komuniti tempatan terhadap kebolehannya dalam masyarakat sekaligus mewujudkan komuniti yang penyayang
4.    Perkhidmatan yang disediakan di kawasan luar bandar dan  bandar kecil bagi membolehkan taburan perkhidmatan di semua peringkat secara lebih saksama
5.    Pendekatan yang berupa pembangunan dimana perkhidmatan berkembang untuk melibatkan lebih ramai orang dan member faedah kepada lebih amai golongan orang kurang upaya
6.    Mengurangkan senarai menunggu golongan kurang upaya ke institusi pemulihan yang sesuai untuk mereka
7.    Pengubahsuaian boleh dilakukan di rumah-rumah dan dalam komuniti mengikut tradisi, kesesuaiandan kemampuan golongan orang kurang upaya dan keluarga mereka
8.    Kecacatan dapat dikurangkan dengan intervensi awal oleh ahli keluarga yang sudah dilatih

 
3.0  PENTADBIRAN PDK

3.1  CARTA ORGANISASI

Berikut merupakan contoh susunan carta organisasi pentadbiran PDK pada peringkat Daerah Kubang Pasu (PDK Jitra).


3.2  CARTA ORGANISASI

Berikut pula merupakan susunan carta organisasi pentadbiran PDK pada peringkat negeri dan kebangsaan.


4.0  PRASARANA PDK

Antara kemudahan dan prasarana yang terdapat pada sesebuah pusat PDK contohnya di PDK Jitra (Sila rujuk lampiran 1):-
                      i.        Pengangkutan – Dua buah van sumbangan pihak Malayan Banking        Finance (MAYBANK) dan pihak Kastam Diraja Malaysia bagi  urusan rasmi dan aktiviti-aktiviti yang membabitkan pelajar.
                    ii.        Kolam renang – Prasarana khusus untuk sesi hidroterapi kepada OKU
                   iii.        Bilik Pemulihan – Bilik yang berupa bilik darjah untuk aktiviti-aktiviti yang            berunsurkan akademik
                   iv.        Bilik Fisioterapi – Bilik yang lengkap dengan peralatan untuk           rawatan            pemulihan bagi OKU
                    v.        Dapur – Ruang memasak dan penyediaan hidangan PDK
                   vi.        Tandas - Tandas pelatih OKU dan tandas staf PDK berbeza. Tandas bagi pelatih adalah mengikut spesifikasi keperluan OKU
                  vii.        Komputer- Kegunaan pejabat untuk urusan surat menyurat rasmi.
                viii.        Lain-lain :
a.    Stor
b.    Surau
c.    Pondok rehat
d.    Tempat permainan
e.    Peralatan sukan
f.     Rak kasut



5.0  PROGRAM INTERVENSI/PEMULIHAN KANAK-KANAK OKU

Program intervensi awal merupakan satu proses penyediaan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak OKU atau kanak-kanak yang mempunyai risiko ketidakupayaan, PDK Ceria (2009).


Antara tujuan intervensi awal adalah seperti berikut :-
1.    Mengelakkan dan mengurangkan kesan ketidakupayaan dari menjadi lebih teruk
2.    Meningkatkan kesedaran ibu- ibu mengandung akan risiko yang menyebabkan kandungan menjadi cacat
3.    Meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai pentingnya pemulihan, perkhidmatan sokongan awal dan pengetahuan berkaitan pencegahan awal.
     

Antara program intervensi/ pemulihan yang dijalankan terhadap kanak-kanak OKU termasuklah :

1.    Pemulihan anggota (fisioterapi)
o   Pemulihan yang dijalankan oleh ahli fisioterapi bertujuan untuk membantu OKU mencapai kembali ke tahap fungsi fizikal tertinggi mereka. Pemulihan ditumpukan kepada pergerakan terkawal dan seimbang, peningkatan tenaga dan stamina untuk kebolehan bergerak yang lebih baik. Secara tidak langsung, melalui pemulihan yang dilakukan akan merangsang fizikal yang diperlukan di mana fungsi dan kemandirian lain boleh dibentuk.
o   Lebih kerap fisioterapi dijalankan, maka pergerakan-pergerakan otot-otot dan sendi OKU yang keras akan lebih mudah dilentur.


2.    Pemulihan cara kerja (Occupational)
o   Dijalankan oleh jurupulih carakerja bertujuan memperbaiki kualiti hidup OKU. Pemulihan bertumpu kepada memperbaiki kebolehan menjalankan aktiviti hidup seharian, penjagaan diri dan kemandirian di tempat kerja dan riadah.
o   Terapi cara kerja melibatkan penilaian fungsi kognitif dan persepsi OKU, kebolehan menjalankan tugas harian seperti berjalan, mandi, memakai baju, makan dan membuat kerja rumah.
o   Terapi cara kerja melibatkan latihan kepada OKU untuk menyesuaikan diri kepada kekurangan mereka supaya dapat menjalankan fungsi-fungsi kehidupan harian dengan paling berkesan, dengan cermat untuk mengelakkan kecacatan atau komplikasi. Contohnya, cara yang betul membantu kanak-kanak OKU bangun dari katil, duduk, masuk ke dalam kereta dan lain-lain tanpa mengabaikan bahagian tubuh yang terjejas, kerana ini boleh menambah kekakuan dan kesakitan.

3.    Pemulihan pertuturan
o   Terapi pertuturan merupakan pemulihan yang dikendalikan oleh ahli patologi pertuturan bagi membantu seseorang memperbaiki kebolehannya berkomunikasi. Perkara tersebut termasuk pertuturan, iaitu bagaimana bunyi dibentuk, dan bahasa, yang melibatkan pemahaman dan pemilihan perkataan yang sesuai.
o   Cara bantuan kepada OKU :
                                          i.    Pertuturan : OKU dengan masalah pertuturan mempunyai kesukaran membentuk bunyi yang dapat difahami orang lain.
                                         ii.    Bahasa  : bahasa merupakan penggunaan simbol, seperti perkataan, nombor atau gerak isyarat yang mempunyai makna. Seorang OKU mungkin menghadapi kesukaran memahami atau memilih perkataan atau nombor atau gerak isyarat yang betul.
                                        iii.    Menelan : Ramai OKU menghadapi kesukaran mengawal lidah dan menelan. Otot-otot lidah dan tekak adalah yang sama digunakan untuk membuat bunyi. Oleh itu, terapi yang membantu pertuturan juga boleh membantu kebolehan untuk menelan.

4.    Kaunseling  
o   Kaunseling bermakna mendengar luahan pelatih OKU dengan cara yang tenang dan tidak menghukum. Ini membantu mereka mencari kelegaan dan berkongsi, untuk menguatkan kepentingan pendapat mereka dan kepentingan diri mereka sendiri.
o   Kaunseling juga diberikan kepada ahli keluarga yang bermasalah menghadapi atau menyesuaikan diri dengan tanggungjawab dan perubahan gaya hidup dalam menjaga seorang ahli keluarga OKU.



6.0  PERANAN PIHAK LAIN
6.1  KERAJAAN

6.1.1     JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan perkhidmatan berkualiti berlandaskan teras perlindungan, pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasi bagi kumpulan sasaran termasuk golongan orang kurang upaya.

Antara perkhidmatan yang disediakan oleh JKM adalah :

A.   Bantuan kewangan
·         Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM 300.00
·         Geran Pelancaran
·         Bantuan Alat Tiruan dan Sokongan (BAT/S)
·         Bantuan penjagaan OKU terlantar / Pesakit Kronik Terlantar (BPT)
·         Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB)
·         Bantuan Tongkat Putih “ White Cane”  dan Mesin Braille

B.   Perkhidmatan pendaftaran Orang Kurang Upaya( OKU)
Antara objektif pedaftaran dibuat ialah supaya :
·         Data bilangan, taburan dan kategori OKU diketahui bagi tujuan perancangan program pencegahan, pendidikan, rehabilitasi, latihan serta perkhidmatan
·         Penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan OKU dapat disediakan
·         Menyediakan perkhidmatan bersesuaian mengikut keperluan OKU yang berdaftar berdasarkan tahap kefungsian / ketidakupayaan mereka

C.   Pemulihan dalam Komuniti (PDK)

Berkonsepkan “one stop centre” dimana perkhidmatan OKU disediakan di satu kawasan bertujuan memudahkan mereka dan masyarakat setempat bagi mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan keperluan semasa di samping latihan yang berterusan.

Peranan JKM khusus untuk PDK :
·         Bayaran sewa premis.
·         Saguhati Penyelia PDK- RM1,200.00 sebulan.
·         Saguhati Petugas PDK- RM800 sebulan.
·         Peralatan.
·         Utiliti.
·         Program / aktiviti
·         Elaun Khas RM150 bagi OKU yang mengikuti Program PDK.
·          Latihan kepada Penyelia dan Petugas PDK.
·         Kerjasama dengan JICA (Japan International Cooperation Agency) melalui Sukarelawan JOCV (Japan Overseas Cooperation      Volunteers - SET, PT , OT, SW)
·         Kerjasama dengan agensi Kerajaan, Swasta dan Badan Bukan Kerajaan.
·         PDKNet-Program IT dan Multimedia bertujuan membantu golongan          kurang upaya seperti kanak-kanak Sindrom Down dan            kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran.
·         Pengiktirafan- Anugerah Pusat PDK Cemerlang, Anugerah Petugas         PDK Cemerlang, Anugerah Keluarga Cemerlang

D.   Perkhidmatan Institusi

Menyediakan perkhidmatan jagaan, pemulihan, latihan serta peluan pekerjaan kepada orang kurang upaya.

Antara Institusi bagi OKU di Negara ini :

·         Taman Sinar Harapan (TSH)
o   Institusi khas untuk orang kurang          upaya masalah pembelajaran yang memerlukan penjagaan,    latihan, pemulihan dan perlindungan dan terdapat tujuh buah Taman Sinar Harapan yang beroperasi di Malaysia.

o   Objektif :
                                                                                                        i.            Memberi jagaan, perlindungan dan pemulihan kepada orang kurang upaya bermasalah pembelajaran yang terbiar, yatim piatu, tidak mempunyai penjaga dan yang memerlukan latihan pemulihan.
                                                                                                      ii.            Memberi latihan pengurusan diri atau latihan aktiviti kehidupan seharian supaya mereka ini dapat melakukan sendiri tanpa bantuan dari orang lain.
                                                                                                    iii.            Memberi latihan pra-vokasional supaya mereka boleh hidup berdikari.
                                                                                                    iv.            Memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi atau bergaul dengan kawan-kawan, masyarakat atau orang lain melalui aktiviti-aktiviti sosial dan sebagainya.
                                                                                                      v.            Memberi latihan kemahiran sosial dan mendapatkan kerjasama dari badan-badan sukarela bagi tujuan integrasi dengan masyarakat.

·         Bengkel Terlindung (BT)
o   Bengkel terlindung ini dikhaskan untuk Orang Kurang Upaya yang tidak berdaya saing untuk mendapat pekerjaan di pasaran terbuka dan ditubuhkan mengikut Kaedah-Kaedah Worksyop Terlindung 1979.
o   Objektif Bengkel Terlindung :
                                                                                                        i.            Mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya.
                                                                                                      ii.            Mempertingkatkan tahap keupayaan, kebolehan, pengetahuan dan kemahiran warga kurang upaya.
                                                                                                    iii.            Memberi sumber pendapatan kepada warga kurang upaya.

E.   Perkhidmatan Kaunseling OKU
Merupakan satu pendekatan bagi memperkasakan OKU di dalam masyarakat melalui Kunseling Pemulihan khusus untuk OKU. Kaunseling ini ditumpukan melalui dua aspek iaitu aspek kerjaya dan ke  hidup berdikari.
Perkhidmatan kaunseling yang diberikan bersifat menyeluruh termasuk keluarga, masyarakat setempat, Badan Bukan Kerajaan dan pihak kerajaan sendiri.






6.1.2 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Memberikan kemudahan pendidikan seperti :
o   Penyediaan kelas khas kepada kanak-kanak OKU penglihatan, pendengaran dan masalah pembelajaran yang dilaksanakan di bawah Bahagian Pendidikan Khas.
o   Program pendidikan ini dilaksanakan melalui  Program Pendidikan Khas :
                                                                      i.        Sekolah Khas bagi murid  bermasalah penglihatan dan pendengaran            serta pembelajaran (menengah)
                                                                    ii.        Program Pendidikan Khas Integrasi bagi murid bermasalah pembelajaran, pendengaran dan penglihatan yang diwujudkan di sekolah harian biasa di peringkat menengah dan rendah serta menengah teknik/ vokasional yang menggunakan pendekatan p & p secara berasingan dan separa inklusif.
                                                                   iii.        Elaun RM 150.00 sebulan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah bagi pelajar kurang upaya.
o   Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas - Menyediakan perkhidmatan kepakaran kepada ibu bapa dan murid-murid berkeperluan khas setempat. Pusat ini bersifat saling lengkap-melengkapi kepada agensi-agensi yang berkecimpung dalam hal-hal yang berkaitan dengan keperluan khas. Antara perkhidmatan yang disediakan:-
                                                                      i.        Khidmat audiologi
                                                                    ii.        Kelas bahasa isyarat
                                                                   iii.        Aktiviti terapi
                                                                   iv.        Kaunseling ibu bapa
                                                                    v.        Perpustakaan permainan
                                                                   vi.        Bahan rujukan
6.1.3 KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja bertindak menggalakkan pihak swasta dan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya melalui :
o   Sistem Penempatan Orang Kurang Upaya (SPOKU)
o   Dasar Satu Peratus Pekerjaan dan Peluang Pekerjaan :
                                                                      i.        Sektor kerajaan: berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988 dan dipertingkatkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3/2008, kerajaan telah membuka peluang pekerjaan kepada OKU dalam sektor awam.
                                                                    ii.        Sektor Swasta : wujud Kod Amalan Penggajian Orang Kurang Upaya di sector swasta melalui Jawatankuasa Penggalakan Penggajian Orang Kurang Upaya.

6.2  BADAN BUKAN KERAJAAN & PIHAK SWASTA

6.2.1     PERTUBUHAN KIWANIS (SINDROM DOWN)

Sebuah pertubuhan yang komited terhadap kebajikan kanak-kanak Sindrom Down yang berfokus kepada aspek pendidikan kanak-kanak tersebut sehingga umur enam tahun.
Kebanyakan aktiviti pertubuhan ini menekankan :
1)     Penjagaan dan menaiktaraf Program Pendidikan Khas
2)     Memberikan latihan kepada guru dalam Pendidikan Keperluan Khas
3)    Khidmat  kaunseling kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak Sindrom Down
4)    Promosi kesedaran kepada masyarakat sekeliling tentang Sindrom Down
6.2.2     PERTUBUHAN AUTISM KEBANGSAAN (NASOM)

Pertubuhan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1986  sebagai pertubuhan kebajikan sukarelawan kebangsaan bagi menyediakan bantuan pendidikan, kebajikan dan perlindungan kepada penghidap Autism dan keluarga mereka. Misi pertubuhan ini adalah untuk memperjuangkan hak individu Autism dengan menyediakan peluang-peluang untuk belajar dan menjalani hidup produktif.

Antara perkhidmatan dan program yang disediakan oleh pertubuhan ini :

A.   Program Intervensi Awal
·         Kanak-kanak diajar tentang kemahiran mengurus diri, kemahiran belajar dan berasaskan akademik serta diberikan terapi pembelajaran bagi membantu mengatasi kekurangan dan kecacatan mereka.

B.   Program Transisi
·         Program khas bagi menyediakan kanak-kanak Autism dengan sekolah formal. Kanak-kanak diajar kemahiran akademik asas, belajar secara berkumpulan dan pelbagai kemahiran lain yang diperlukan semasa di bilik darjah. Kanak-kanak yang berjaya dengan program ini akan diserapkan ke sekolah-sekolah harian biasa.

C.   Program pra vokasional
·         Bagi kanak-kanak berumur 14 tahun ke atas yang tidak terlibat dengan sekolah harian biasa akan ditempatkan di program latihan vokasional dimana kemahiran-kemahiran mereka dikembangkan termasuklah kemahiran hidup berdikari, kemahiran sosial dan perdagangan.

D.   Program vokasional



6.3  INDIVIDU & AHLI MASYARAKAT

Antara tugas dan peranan komuniti sebagai khidmat sokongan ialah :
·         Mengikis pandangan negatif dan prejudis terhadap golongan OKU
·         Menyedari tanggungjawab sebagai ahli masyarakat dan memberikan layanan yang sewajarnya kepada golongan OKU
·         Menerima kehadiran golongan OKU di dalam masyarakat
·         Memberikan pelbagai bantuan dan sokongan kepada keluarga golongan OKU


7.0  LAPORAN KESELURUHAN

Pada semester ini, kami pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan bagi opsyen (PISMP) Pendidikan Khas dikehendaki melawat dan menjalankan program di sebuah Pusat latihan Dalam Komuniti (PDK) bagi melengkapkan syarat mendapat Ijazah.
Setelah pelantikan dan mesyuarat daripada ahli jawatankuasa induk dijalankan selain perbincangan bersama pensyarah, terdapat beberapa PDK di seluruh negeri Kedah disenaraikan dan kelas kami iaitu PISMP Pendidikan Khas/ Pendidkan Jasmani 2 telah memilih PDK Jitra. Pemilihan ini adalah berdasarkan beberapa faktor seperti masalah pengangkutan selain jarak PDK tersebut yag berhampiran dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman sendiri bagi memudahkan penyeliaan daripada pihak pensyarah.
Selain jawatakuasa induk, kelas kami membentuk lagi sebuah jawatankuasa kecil bagi memudahkan pembahagian tugas dan perancangan aktivtiti di PDK Jitra. Saya merupakan bendahari bagi jawatankuasa kecil kumpulan ini yang bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan.

Terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan mengikut hari dan aktiviti  ini dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu aktiviti akademik, home base dan keceriaan. Aktiviti yang dirancang ini dibahagikan kepada mengikut tahap perkembangan pelatih dari segi fizikal dan mental serta kebolehan mereka untuk menjalankan aktiviti. Justeru, aktiviti dibahagikan kepada dua kumpulan besar, iaitu kumpulan sederhana dan kumpulan lemah. Segala aktiviti yang dirancang adalah seperti dibawah :-






HARI PERTAMA, 3 OKTOBER 2010

SENAMAN PAGI
Aktiviti senaman pagi merupakan rutin kepada para pelatih di PDK Jitra bertujuan merangsang perkembangan psikomotor mereka yang lemah. Antara aktiviti senaman yang dijalankan termasuklah aktiviti regangan sendi, senamrobik, tarian poco-poco serta tarian ‘chicken dance’. Kemudian, pelatih akan menyayikan lagu Negaraku dan membaca doa beramai-ramai.

BUAT DOH TEPUNG & MEMBUAT BENTUK PADA TEPUNG
Aktiviti ini merupakan aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan yang sederhana yang merupakan satu terapi bagi melatih kemahiran manipulatif para pelatih melalui penggunaan bahan-bahannya iaitu tepung dan minyak. Pelatih dikehendaki menguli tepung dengan menggunakan tangan dan jari masing-masing bagi membentuk doh. Para pelatih kemudian diminta membuat bentuk-bentuk bulat, bentuk panjang dan lain-lain mengikut kreativiti dan tunjuk ajar dari fasilitator. Pelatih yang mempunyai perkembangan psikomotor yang lebih rendah tahapnya diberikan doh tepung yang telah siap diuli dan diminta membuat bentuk-bentuk bulat, meramas, mencubit dan membuat lubang di doh tersebut. (Rujuk lampiran 2)

MENCORAKKAN KAIN DAN KERTAS LUKISAN MENGGUNAKAN BERUS & STRAW.
Aktiviti ini merupakan aktiviti berbentuk terapi yang menggabungkan kreativiti pelatih dalam menghasilkan corak pada sehelai kertas lukisan dan sehelai kain putih. Bagi pelatih dari kumpulan sederhana, mereka diminta mencorakkan kain putih yang telah diikat menggunakan gelang getah dengan menggunakan berus dan warna air manakala bagi kumpulan lemah pula mereka diminta mencorakkan kertas lukisan putih dengan meniup warna air menggunakan straw. Ini merupakan satu terapi untuk pertuturan dan aktiviti ini sesuai dengan kumpulan lemah kerana mereka tidak mampu memegang berus lukisan yang berkaitan dengan tahap kemahiran manipulatif  yang rendah. Aktiviti ini perlu disiapkan segera akan kerana ia penting pada hari seterusnya.(Rujuk lampiran 2)

HARI KEDUA, 4 OKTOBER 2010

Aktiviti dimulakan dengan rutin pelatih iaitu aktiviti senaman pagi diikuti nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa.

MENCUCUK NUGGET PADA LIDI & MEMASUKKAN BARANG-BARANG MAKANAN KE DALAM BEG KERTAS.
Bagi aktiviti memasukkan nugget ini, kumpulan sederhana telah dipilih kerana ia melibatkan risiko kecederaan. Nugget yang telah digoreng akan diberikan kepada pelatih dimana pelatih akan menggunakan sebatang lidi dan mencucuk nugget dalam turutan untuk dimakan pada waktu rehat nanti. Selain berbentuk terapi, aktiviti ini juga melatih murid berdikari. Bagi pelatih daripada kumpulan lemah, mereka diminta memasukkan barang-barang makanan seperti kek Apollo, snek dan gula-gula ke dalam beg plastik untuk diagihkan kepada para pelatih.(sila rujuk lampiran 3)

MEMBUAT GELANG & AKTIVITI MEWARNA
Aktiviti selepas rehat ialah membuat gelang dengan meggunakan tiub dan penyambungnya. Aktiviti ini khas bagi kumpulan sederhana dimana pelatih akan menggunakan kain yang telah dicorakkan pada hari pertama untuk dimasukkan ke dalam tiub untuk menghasilkan gelang tangan. Bagi murid dari kumpulan lemah pula, mereka diberikan aktiviti mewarnakan kertas lukisan dengan berus. Mereka dikehendaki melukis bentuk-bentuk dan kebanyakan aktiviti berbentuk mekanis.

HARI KETIGA, 5 OKTOBER 2010

SUKANEKA
Pada hari ketiga selepas melakukan senaman pagi, para pelatih dibahagikan kepada empat kumpulan bagi acara sukaneka. Kumpulan ini dibahagikan mengikut warna iaitu hijau, biru, kuning dan merah. Bagi aktiviti ini, semua pelatih terlibat dan dicampurkan ke dalam empat-empat kumpulan. Antara acara-acara yang terdapat di dalam sukeneka ini ialah acara merenyuk kertas dan membalingnya ke dalam bakul yang telah disediakan. Melalui aktiviti ini, unsur terapi diterapkan dan kemahiran motor kasar turut dilatih melalui aktiviti merenyuk dan membaling kertas ke dalam bakul. Acara lain ialah memasukkan tali dalam straw untuk membentuk straw terpanjang. Setiap ahli dalam kumpulan perlu bekerjasama untulk memasukkan tali kedalam straw dalam masa dan tiada had masa ditetapkan kerana mengambil faktor fizikal pelatih.

Pada hari ini juga, kami sempat meraikan harijadi pelatih-pelatih pada bulan Oktober dan September dengan mengadakan jamuan. Malah, kami bernasib baik kerana kedai kek Nash Doughnut & Bakeries sudi menyumbangkan kek harijadi kepada pelatih-pelatih PDK Jitra.

HARI KEEMPAT, 6 OKTOBER 2010

HOME-BASED
Pada hari keempat, kami telah menyertai staf PDK Jitra untuk aktiviti ‘Home-based’ di kawasan sekitar. Aktiviti ini merupakan aktiviti oleh pihak PDK yang akan bergerak dari rumah ke rumah untuk membantu pelatih yang menghadapi kesukaran untuk ke PDK. Kami telah pergi ke lima buah rumah dimana kebanyakan pelatih mempunyai menhidap masalah Cerebral Palsy. Tujuan aktiviti ini adalah memudahkan pelatih dan keluarga yang rata-rata datangnya dari latarbelakang keluarga susah dan mempunyai masalah pengangkutan. Antara aktiviti dilakukan adalah dengan memberikan khidmat nasihat dan panduan kepada keluarga atau waris untuk menguruskan pelatih selain melakukan aktiviti susulan di rumah. Selain itu, pihak PDK turut melakukan aktiviti fisioterapi kepada pelatih-pelatih.(sila rujuk lampiran 3)

HARI KELIMA, 7 OKTOBER 2010

AKTIVITI KECERIAAN
Hari terakhir kami di PDK Jitra adalah berkenaan soal keceriaan PDK. Aktiviti yang telah dirancang adalah untuk menghias bangunan dan kelas PDK supaya lebih cantik dan menarik. Antara aktiviti keceriaan yang dilakukan termasuklah membuat mural pada pintu hadapan bangunan dan menghias ruang utama PDK Jitra



KESIMPULAN
Kesimpulannya, PDK merupakan satu program yang banyak membantu golongan OKU dan bersama-samanya disokong oleh pihak kerajaan, bukan kerajaan, individu-individu serta masyarakat setempat. Melalui jalinan padu ini, kesedaran terhadap kehadiran golongan OKU telah meningkat dan sifat prejudis serta tanggapan negative terhadap mereka telah berkurangan.
Sehubungan itu, program ini perlu diteruskan dan usaha untuk membolehkan golongan OKU perlu dipergiatkan lagi supaya mereka mendapat hak yang sama yang diberikan-Nya kepada kita sebagai khalifah di muka bumi ini.














No comments:

Post a Comment